I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Islam Bukan Agama Bangsa

Assalamualaikum Ustaz,
Saya ingin bertanya sebab saya seorang muallaf yang baru bertunang dan tunang saya anggap dia seorang Melayu dan tahu segalanya tentang Islam. Tapi apa yang saya tengok konsep dan teori dia tentang Islam bercanggah dari apa yang saya belajar dan tengok dalam al-Quran. Tunang saya seorang kaki media sosial dan paling aktif dalam facebook dan wassap. Saya pernah tegur berapa kali kerana tengok dia nusyuz dan dia tak endah dan marahkan saya balik. Masa bertunang ni dia telah berapa kali berhubung dengan lelaki lain sampai berpanggilan sayang, ayang dan abang dan saya telah nampak mesej itu dan tegur. Ada mesej yang sampai bercakap lucah dan mengajak ke ranjang atau hotel dan pusat karaoke. Dan dia lepas tu minta izin berhubung dengan lelaki lain atas alasan untuk kerja akan datang dan macam-macam lagi tapi saya tak benarkan dan dia buat juga secara sembunyi. Dan bila saya tegur dia marah cakap saya psiko lah, buat dia tension, bagi dia tekanan dan sebagainya dengan alasan tak munasabah. Dia masih lagi seorang penuntut di universiti tempatan dan mengambil bidang kewartawanan. Dan selalu guna alasan yang kursus dan kerja dia memerlukan dia bergaul dengan orang dan sosialisasi banyak. Tapi pergaulan tu banyak terlibat dan tertumpu pada kaum lelaki saja.

Jadi di sini saya nak tanya apakah hukum dan adab serta adatnya dari segi Islam dan adat orang Melayu. Dan adakah perangai, sikap dan tindakan dia itu haram atau sah dalam Islam. Sekian terima kasih dan minta pencerahan dan penjelasan.

~ Danial.

Terlebih dahulu, Ustaz Love ingin mengucapkan tahniah buat saudara Danial kerana telah kembali kepada Islam. Sesungguhnya Islam adalah agama untuk semua bangsa, tak kira Melayu mahupun Cina, Arab mahupun Jawa. Ia bukan seperti agama Yahudi yang merupakan agama bangsa, tetapi ia merentasi sempadan bangsa dan bahasa. Tiadalah lebih baik seseorang itu berbanding yang lain, melainkan dia mengamalkan Islam yang dipelajarinya, sekalipun dia bukanlah berbangsa Arab yang diturunkan Islam pada asalnya.

Adat Melayu kebanyakannya sudah mengalami proses asimilasi. Ada yang diceduk daripada budaya bangsa India, ada yang menerima budaya Cina sebagai sebahagian daripada adat dan tak kurang juga yang mengadaptasi budaya Arab masuk ke dalam adat dan budaya Melayu. Bila sudah bercampur baur, keasliannya sukar untuk dikenalpasti. Melayu dengan kemeja labuh (jubah) mengambil daripada budaya Arab, makan mee yang merupakan makanan kaum Cina, makan kari menggunakan rempah dari India dan sebagainya.

Jadi, untuk menentukan kesahihan sesuatu perbuatan yang dikaitkan dengan adat dan budaya, tak dapat tidak kena menggunakan agama sebagai garis panduannya. Adat Melayu seperti bersalam cium tangan dengan ahli keluarga, masih perlukan batasan agama bagi mengenalpasti siapakah ahli keluarga yang dibenarkan untuk bersentuhan dan siapakah yang tidak dibenarkan. Yang mana satu mahram muabbad (kekal) dan mana satu mahram muaqqat (sementara). Itu sebagai salah satu contoh untuk menjelaskan bahawa budaya Melayu itu tak semestinya betul. Ia kena melalui proses penapisan mengikut kaca mata agama.

Seorang yang Islam semenjak lahir seperti kebanyakan orang Melayu, tidaklah bermaksud mereka lebih alim dan  warak daripada muallaf yang baru kembali kepada Islam. Ada antara orang yang dilahirkan sebagai bukan Islam, kemudian memeluk Islam dan akhirnya menjadi seorang Islam yang lebih baik daripada mereka yang Islam semenjak lahir. Sebagai contoh pakar hadis seperti Dr. Farid Ravi, pakar perbandingan agama seperti Bro. Shah Kirit, pendakwah antarabangsa seperti Ustaz Hussin Yee, pendakwah muda seperti Ustaz Firdaus Wong Wai Hung dan sebagainya. Mereka menjadi pakar dalam bidang masing-masing disebabkan keinginan dan usaha serta semangat yang mereka ada untuk mendalami agama Islam.

Jika seorang Melayu Muslim mengatakan mereka lebih baik Islamnya berbanding Muslim daripada bangsa lain, nyatalah dakwaan itu hanya semata-mata ingin memenuhi keegoan diri sendiri. Apatah lagi bila dinilai dengan akhlak yang mereka pamerkan. Memang mudah untuk kita berselindung di sebalik kenyataan ‘manusia tidak mengetahui apa yang ada dalam hati manusia yang lain’, namun bukankah buah yang baik itu lahir daripada dahan, batang dan akar yang sihat? Kita tidak disuruh menilai hati manusia, tetapi kita hanya mampu menilai apa yang terzahir pada pandangan mata.

نحن نحكم الظواهر والله يتولّى السرائر

 

(Kita menghukum berdasarkan apa yang zahir, dan Allah sahaja yang layak menghukum apa yang tersembunyi).

Jika secara zahirnya tunang saudara itu menunjukkan akhlak yang tidak elok, maka ia bukanlah daripada adab bangsa Melayu, bahkan jauh sekali daripada ajaran agama. Saudara sudah tentu telah mempelajari serba sedikit asas dalam agama Islam, maka sebab itu saudara sudah dapat membezakan apa yang baik dan apa yang buruk menurut kaca mata agama. Namun, mungkin saudara terkeliru dengan dakwaan tunang saudara yang dikatakan lebih tinggi ilmu Islamnya, tetapi sangat rendah amal dan akhlaknya.

Pada pandangan Ustaz Love, sebaiknya saudara nasihatkan beliau untuk berubah. Sekiranya beliau tidak mahu berubah dan masih mengekalkan tabiat buruknya, saudara tinggalkan saja beliau dan carilah wanita lain yang lebih baik akhlaknya. Jika belum berkahwin lagi saudara sudah nampak tembelangnya, bayangkan nanti jika sudah berkahwin dan beranak-pinak. Jika saudara tak kasihankan diri sendiri pun, kasihanilah anak-anak saudara yang bakal dilahirkan nanti jika mendapat seorang ibu yang buruk akhlaknya.

Jangan risaukan persoalan jodoh. Jika saudara berusaha memperbaiki diri, mendekatkan diri dengan masjid, menghadiri kuliah-kuliah pengajian agama dan sebagainya, insyaAllah saudara akan ditemukan dengan seseorang yang lebih baik dan sesuai dengan diri saudara, sekiranya ditakdirkan saudara tidak panjang jodoh dengan tunang tersebut. Jika beliau mahu berubah, alhamdulillah. Jika beliau masih berdegil, jangan buang masa saudara.

Hidup atas dunia ni bukannya lama mana sangat pun. Jadi, adalah tidak wajar kita menghabiskan masa memikirkan perkara-perkara yang tiada faedah dan kebaikan untuk akhirat nanti. Carilah seseorang yang boleh membantu memudahkan tugas saudara menuju akhirat, bukannya seseorang yang sentiasa membuatkan saudara melencong daripada fokus yang sebenarnya.

Wallahu A’lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 Comments

Add a Comment
  1. islam baka ie dilahirkan islan tp sgt jahil tentang hukum hakam halal haram..org2 gini yg merosakkan imej islam…
    lots of things to be done utk ubah benda2 gini…
    tp memang sgt susah nak ubah..Allah takkan ubah suatu kaum melainkan kaum itu juga yg ingin mengubah nasib sendiri..
    wallahua’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme