I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Wanita Bujang Untuk Lelaki Bujang

Assalamualaikum ustaz,

Di sini saya ingin berkongsi tentang masalah saya dan ingin pandangan dan nasihat daripada ustaz. Saya seorang perempuan berumur 24 tahun dan belum berkahwin dan sentiasa gusar dengan soal kahwin ini. Saya adalah anak bongsu daripada 5 orang adik beradik, kakak dan abang saya semua sudah berumah tangga. Tetapi sebelum kakak dan abang berkahwin ibu bapa tidak setuju dengan pilihan kakak dan abang saya, dan disebabkan kakak dan abang mendesak juga dengan pilihan mereka, ibu bapa terpaksa akur dengan keputusan mereka. Disebabkan itu juga, saya adalah mangsa keadaan dimana kakak saya dan suami sering bergaduh dan tidak bersependapat dan ibu selalu berpesan pada saya selagi tidak berkahwin kita tidak akan kenal perangai pasangan kita. Kadang-kadang saya terfikir, kalau tidak berkahwin macam mana nak kita hendak mengenali perangai pasangan kita? Selepas itu bila saya berkawan dengan mana-mana lelaki saya sering bertanya pendapat ibu bapa kakak dan abang saya, dan mereka sering tidak setuju dengan pilihan saya dan saya akur dengan keputusan mereka sebab saya tidak mahu mengulangi kesilapan kakak dan abang dan tidak mahu mengecewakan ibu bapa saya. Pada masa yang sama walaupun saya mempunyai kenalan lelaki yang ramai tetapi saya tidak tertarik kepada mereka sehingga untuk berkahwin disebabkan kecewa dengan lelaki sebelum ini.

Walaubagaimanapun, baru-baru ini saya telah bertemu dengan seorang lelaki duda berumur 26 tahun dan mempunyai seorang anak berumur setahun 4 bulan. Beliau telah bercerai disebabkan tidak bersependapat dengan isteri dan mertua yang suka kawal kehidupan anak perempuannya iaitu isterinya. sebelum dia menceritakan soal status duda dia saya telah mengetahuinya terdahulu tentang status duda tersebut. sebelum saya menerima beliau apa yang saya fikir hanya dia mampu untuk menjaga dan memimpin saya disebabkan pengalaman berkahwinnya sebelum ini. sebelum dia berjumpa saya hidup dia hilang arah disebabkan perceraian dan jauh dari anak beliau. Apabila dia bersama saya, dia sangat selesa dengan saya, hidup dia totally berubah dan saya pun sangat selesa dan tenang bila bersama dia. Sejak itu saya tekad, jika berjumpa dengan lelaki yang betul-betul bersungguh, saya juga akan bersungguh. Setiap hari saya berdoa pada Allah S.W.T supaya pertemukan saya dengan seorang lelaki yang dapat pimpin saya ke jalan Allah S.W.T. Entah kenapa hati saya terlalu yakin mengatakan dialah orangnya. Dan saya dengan dia telah membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan tetapi ibu bapa saya tidak merestui hubungan kami. Mereka berkata saya wanita yang belum berkahwin kena cari lelaki yang belum berkahwin juga. Kadang-kadang saya rasa kasihan dan bersalah sangat bila melihat kesedihan ibu bapa saya dengan pilihan dan keputusan yang telah saya buat dan pada masa yang sama saya juga menyayangi bakal tunang saya. Kadang-kadang saya juga berasa takut menghadapi hari-hari mendatang tetapi saya cuba kuatkan diri dan hanya berfikiran yang positif sahaja. Dan dia tidak mengetahui bahawa keluarga saya tidak suka dengan status duda beliau.

Apa yang harus saya lakukan ustaz ? Kadang-kadang saya terfikir, saya tidak minta pun semua ini berlaku. Saya sendiri pun tidak mengetahui apa yang Allah S.W.T aturkan untuk saya. Tetapi saya yakin bahawa perancangan Allah S.W.T lebih baik apa yang saya impiankan. Mohon pencerahan ustaz love.

~ Tanpa Nama.

Dalam sesebuah perkahwinan, kita sangat memerlukan doa daripada ibu bapa. Doa kebaikan daripada ibu dan bapa kepada anaknya adalah doa yang mustajab.  Ia merupakan satu anugerah dan kelebihan, namun bukan suatu syarat yang wajib diikuti. Belum tentu pasangan yang berkahwin tanpa restu ibu bapa akan berakhir dengan kegagalan, dan belum tentu juga pasangan yang berkahwin dengan restu ibu bapa akan kekal bahagia sehingga ke syurga.

Kebiasaannya, pasangan yang berkahwin tanpa restu, susah untuk mendapat doa yang baik-baik daripada ibu bapa mereka. Ada sesetengah ibu bapa yang terlalu ego sehinggakan sanggup melihat perkahwinan anak mereka gagal disebabkan ingin memuaskan hati mereka sendiri. Pelbagai perkara yang dilakukan daripada perbuatan zahir (seperti selalu menyindir menantu, bersikap pilih kasih terhadap menantu dan cucu dan sebagainya) mahupun melibatkan perbuatan yang tak zahir (seperti selalu mendoakan keburukan atau yang lebih teruk lagi melibatkan diri dalam aktiviti perbomohan). Namun, ada juga ibu bapa yang mendoakan kebaikan buat anak mereka secara rahsia, walaupun nampak macam zahirnya mereka masih belum dapat menerima pilihan anaknya.

Pengalaman lalu juga biasanya dijadikan panduan oleh ibu bapa untuk membuat keputusan terhadap pilihan anaknya. Namun, kita kena selalu bersangka baik dengan Allah. Allah itu yang memegang hati manusia. Bila-bila masa saja Dia boleh terbalikkan situasi daripada tidak suka kepada suka, dan begitu juga sebaliknya. Sangka baik ini akan menjadi asas dalam tindakan kita supaya kita tak berputus asa dalam berusaha. Tugas kita hanya berusaha, dan natijahnya nanti serahkan saja pada Allah.

Orang tua dengan pemikiran orthodox memang akan melihat sekufu (sepadan) itu hanya pada status. Seorang dara dikatakan lebih sekufu dengan seorang teruna. Manakala seorang janda itu dikatakan sekufu dengan seorang duda. Jadi, kalau begitu halnya, bagaimana dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin dan hendak berpoligami? Adakah mereka kena berkahwin dengan seorang wanita yang masih bersuami? Inilah antara kelemahan pemikiran yang terlalu bergantung pada adat setempat.

Memang benar Nabi s.a.w. sendiri menyuruh seorang sahabat menikahi seorang gadis (yang belum berkahwin) supaya boleh bergurau senda, namun sejarah juga mencatatkan betapa ramai para sahabat yang berkahwin dengan janda, bahkan Nabi s.a.w. sendiri bernikah dengan ramai janda atas pelbagai faktor. Aisyah r.anha sendiri berkahwin dengan Nabi s.a.w. dalam keadaan Nabi ketika itu merupakan seorang duda. Jadi, tafsiran kepada galakan Nabi s.a.w. supaya menikahi anak gadis adalah bersifat subjektif.

Memang ada benarnya apa yang ibu bapa saudari katakan itu. Kita takkan kenal pasangan kita, sehinggalah kita sudah hidup bersamanya nanti. Jadi, jangan letakkan harapan terlalu tinggi kepada manusia, bimbang bila jatuh nanti, kita akan jatuh terhempas dan hancur berderai umpama agar-agar yang terhempas ke lantai. Nak dibuang, sayang. Nak dimakan, dah kotor.

Apa pun, yang paling penting dalam mencari pasangan seperti yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. adalah pasangan yang baik agamanya. Jika baik agamanya, insyaAllah akan baiklah kehidupan selepas perkahwinan. Maka, jika lelaki duda itu baik agamanya, janganlah saudari melepaskannya sebaliknya berusahalah memujuk ibu dan bapa untuk menerimanya.

Proses memujuk ini mungkin akan mengambil masa yang agak lama. Namun, jika dilakukan dengan betul dan bersungguh-sungguh berdoa pada Allah, insyaAllah ia akan dipermudahkan. Yang penting, jangan putus harap dengan rahmat Allah. Jangan anggap usaha yang kita lakukan ini, kita sendiri yang menentukan natijahnya. Yakinlah pada Allah, bila kita nak melakukan sesuatu yang betul dengan cara yang betul, insyaAllah akan diberikan keputusan yang betul juga. Carilah jalan untuk mempertemukan lelaki itu dengan keluarga saudari.

Banyakkan bersabar dan tunaikanlah solat serta berdoa bersungguh-sungguh pada Allah. Semoga Allah memakbulkan doa saudari, lelaki duda itu dan juga doa ibu bapa saudari yang sudah tentu semuanya ini cuma mengharapkan kebaikan buat diri saudari saja.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme