I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Perangkap Wanita

Assalamualaikum Ustaz Love..

Saya nak berkongsi masalah saya ni. Saya merupakan mualaf yang telah jauh menyimpang dari tujuan asal saya memeluk Islam. Dulu saya sebelum masuk Islam, saya tercari-cari siapa yang mampu bantu saya untuk memeluk Islam. Tetapi masa tu saya tak tahu bertanya pada siapa. Jakim, Jais, Perkim, Ikram semua tu saya tak kenal lagi. Bila saya sampaikan hasrat saya untuk memeluk Islam kepada keluarga saya, bapa saya memberi syarat saya mesti kahwin kalau nak masuk islam. Dan kebetulan saya mempunyai kenalan lelaki Muslim.

Di situ mind set saya, saya kena kahwin untuk dapatkan Islam. Masa tu saya tak tahu cara saya salah. Kami bercinta. Tak sampai 2 bulan, dia memujuk untuk bersetubuh dan berjanji akan mengahwini saya. Dari situ kami terus berzina. Ketika itu saya belum memeluk Islam lagi. Nak jadikan cerita, saya balik ke negeri saya kerana kecewa 2 tahun saya minta dia menikahi saya tapi dia memberi 1001 alasan. Saya mengharapkan kejauhan itu buat dia ingin menikahi saya tapi semua itu tinggal harapan. Walau berjauhan, saya masih memujuk untuk menikahi saya kerana dia satu-satunya lelaki yang telah menyentuh saya.

Dia berjanji akan datang dan menikahi saya tapi dia kata dia tak ada duit untuk datang. Saya pun kerja untuk membantu dia agar dapat datang ke sini. Bila saya dah belikan tiket untuk dia, dia tak datang dan buat saya sedih sangat. Sejak dari itu dia jarang contact saya. Saya selalu cari dia sampai satu tahap dia marah saya menganggu dia.

Disebabkan kecewa, saya berkenalan dengan seorang lelaki di sini. Dalam masa sebulan dia memberitahu bahawa dia menyukai saya. Saya serba salah dan memberitahu keadaan saya bukan dara lagi dan dia kata dia terima saya seadanya dan mengajak untuk nikah. Saya terima. Dan di situ lah saya melafazkan syahadah dan menjadi Islam. Namun dia juga seperti lelaki sebelum ni, dia ingin bersetubuh dengan saya dan dia kata dia mahu saya menjadi milik dia. Pada mulanya saya tolak, tetapi pada hari seterusnya bila dia terus memujuk membuat saya terpujuk dan akhirnya melakukan dosa zina sekali lagi.

Masa kami nak uruskan kursus kahwin, saya diserang oleh seorang perempuan yang rupanya adalah kekasih dia. Mereka dah bersama 5 tahun. Saya dengar dia pernah mengandungkan perempuan lain. Saya rasabersalah sangat. Tak mungkin saya rosakkan hubungan orang lain. Jadi saya tinggalkn dia. Saya cuba teruskan hidup. Tiba-tiba lelaki yang sebelum ini kembali menghubungi saya dan menyatakan dia rindukan saya. Saya memberitahu dia saya tak nak dengan dia lagi kerana saya telah bersetubuh dengan lelaki lain. Dia marah tapi lepas tu dia pujuk saya balik. Dia tak nak berpisah dan saya terima dia kembali. Tapi lelaki yang seorang lagi datang balik dan tetap mahu menikahi saya, dan kemahuan dia disokong oleh kakak saya. Saya berkeras tak nak sebab dia ugut dia akan bunuh diri. Buat saya menyampah. Disebabkan tekad saya lari kembali ke KL. Sampai di KL saya dengan lelaki sebelum ini mulakan hidup baru.

Saya cuba menjadi muslimah yang jauh dari dosa, tetapi dia selalu datang memujuk. Bila saya tak bagi dia marah. Kami bergaduh, dan akhirnya terlanjur lagi kerana saya takut kehilangan dia. Saya cuba lagi ajak dia kahwin. Dia letakkan syarat saya mengandung dulu baru dia nikahi saya. Sebelum saya masuk Islam dulu dia kata masuk Islam dulu baru dia nikahi saya. Saya bagaikan kerbau dicucuk hidung. Saya turuti semuanya apa yang dia cakap. Saya menjadi tempat dia melepaskan nafsu sehinggalah saya disahkan mengandung.

Bila saya dah mengandung dia lupa janji dia. Dia tak hiraukan saya dan buat saya tertekan. Saya suruh dia beritahu family dia. Dia tak nak. Dia kata dia masih muda. Saya mengambil langkah berani beritahu mak dia. Saya harapkan mak dia akan mengambil tindakan, tapi rupanya dia sokong anak dia. Sepanjang saya mengandung saya dapat tahu dia curang. Dia berkasih sayang dengan 9 perempuan. Saya nak putus dengan dia tapi dia tak nak. Dia minta maaf dan tak ulang lagi.

Saya sangat tertekan memikirkan tentang anak yang dikandung, tentang kami. Lepas itu dia kata kami akan nikah lepas saya bersalin. Saya menaruh harapan pada janji dia. Dipendekkn cerita, lepas saya bersalin dia kata lepas saya habis darah nifas dan pantang, dia akan menikahi saya. Lepas dah habis pantang dia kata akan nikah lepas kakak dia bertunang. Lepas kakak dia bertunang,  dia kata akan nikah lepas kakak dia berkahwin.

Saya tetap tunggu kerana buta cinta dan fikirkan anak. Selepas setahun lebih, saya tanya lagi bila dia nak nikahi saya? Dia kata lepas kakak dia yang seorang lagi bertunang. Hanya Allah yang tahu azab yang saya sedang tanggung dari dosa ini. Bila saya dah berhenti berharap barulah dia gelabah. Dia ajak pegi kursus kahwin dan kami pun bernikah.

Tapi untuk pengetahuan ustaz, semasa nikah saya mengandung lagi. Saya bertaubat. Saya buta dulu. Saya harapkan bila kami berkahwin, kami boleh menjadi keluarga yang soleh dan solehah tapi saya terkejut dengan reaksi dia bila dia kata dia tak suka saya menutup aurat, berjubah dan bertudung labuh. Solat dia pandang ringan. Dia boleh kata Islam masuk neraka tak kekal dalam tu. Habis denda akan masuk syurga. Saya sangat terkedu dengan pandangn agama dia. Kami baru berkahwin setahun lebih, tapi kami dah kenal 5 tahun, dan family dia masih tak tahu kami ada anak luar nikah dan dia tak pernah berniat untuk memberitahu perkara sebenar. Kalau ikutkan dia , dia nak lari dari semua tu. Hanya mak dia saja yang tahu kami ada anak luar nikah dan mak dia pun tak nak family lain tahu, tapi sampai bila?

Saya sangat tertekan fikir anak ini makin membesar tapi masih dirahisakan.  Sekarang ni dia punya habit baru adalah nak rakam video seks kami. Saya tak nak tapi dia kata suami isteri juga. Lagi satu dia selalu pujuk nak masukkan zakarnya melalui dubur bila kami bersama. Saya tak nak dan selalunya dia tak berjaya. Cuma ada satu malam tu saya datang bulan. Dia mahu bersetubuh. Saya kata tak boleh, tapi dia dekati juga dan meminta melalui dubur. Saya merayu pada dia tapi dia langsung tak endah. Saya menangis masa dia lakukan. Memang baru sekali dia masukkan melalui dubur, tapi saya rasa saya tak sanggup lagi nak hidup dengan dia. Saya tak rasa selamat. Saya minta cerai tapi dia tak nak ceraikan. Dia kata dia sayang saya, tapi saya tak nak lagi hidup dengan dia ustaz. Semua yang saya ceritakan ini boleh dijadikan alasan kukuh untuk bercerai ke ustaz? Saya nak bercerai. Saya tak nak hidup dengan dia. Saya menderita sepanjang dengan dia. Cuma dulu saya bertahan kerana masih mampu bertahan dan menaruh harapan dia akan berubah. Tapi sekarang saya tak nak semua tu dah..

~ Hyperstress women

Pepatah Melayu ada mengatakan, “Dengar guruh di langit, air dalam tempayan dicurahkan”. Akibatnya, jadilah seperti pepatah komik Alam Perwira, “Bila keranda sudah diusung, barulah air mata bercucuran”. Manusia ni biasanya takkan pernah serik sekiranya tidak terkena, walaupun sudah berpuluh orang menasihatkannya. Namun, ada juga yang dah berpuluh kali terkena pun, masih lagi membiarkan diri terkena hanya kerana percayakan sebuah harapan yang palsu.

Memang biasa manusia yang boleh berubah daripada baik kepada jahat, kerana kejahatan itu banyak jalannya. Namun, perubahan daripada jahat kepada baik itu sangat susah, melainkan perlu keazaman dan usaha yang tinggi berpandukan taufiq dan hidayah daripada Allah. Jadi, kalau nak menilai perubahan manusia secara zahirnya, nilaikan amal perbuatannya. Jika dia kata nak berubah, tetapi perbuatannya masih lagi menunjukkan yang beliau belum berubah, jangan simpan harapan yang terlalu tinggi untuk melihat perubahannya.

Wanita tak dinafikan mempunyai hati yang lembut. Kelembutan hati wanita ini kadang-kadang boleh menyebabkan mereka tiada kekuatan dalam menetapkan pendirian. Biarpun berkali-kali ditipu, dia tetap menipu hatinya sendiri untuk memberikan harapan kepada orang yang menipunya berkali-kali. Kesannya, dia akan menanggung kesan tindakannya mungkin sampai ke tua.

Bersyukurlah yang puan sudah sedar. Tapi agak terlambat kerana puan sudah terikat dengan lelaki tersebut atas ikatan yang sah. Namun, puan masih lagi punya cara untuk melepaskan diri daripada kezaliman ini. Ia memerlukan keazaman dan usaha yang tinggi juga daripada puan. Kena banyak bersabar kerana kes berkaitan syariah ini mengambil masa yang agak lama, kecuali jika terdapat persetujuan bersama untuk bercerai.

Langkah pertama yang boleh puan lakukan, adalah membuat aduan kepada pihak berkuasa. Dapatkan laporan perubatan daripada pihak hospital untuk dijadikan bukti bahawa suami puan telah melakukan jenayah seks luar tabi’ie dan adukan ke mahkamah syariah untuk memohon fasakh atau tebus talak.

Namun, jika perkahwinan itu masih boleh diselamatkan, puan cubalah berbincang dengan suami baik-baik. Cuba bayangkan betapa susahnya puan nak berkahwin secara sah dengan beliau dulu. Tapi, kalau puan dah nekad nak berpisah, pun puan boleh cuba berbincang baik-baik dengan beliau dahulu sebelum menggunakan jalan lain. Jika beliau bersetuju, maka prosesnya akan jadi lebih mudah.

Apa pun, kisah puan ini boleh dijadikan iktibar kepada yang lain. Jangan terlalu percayakan cakap lelaki sehingga sanggup menyerahkan maruah diri. Lelaki yang baik pasti tidak akan merosakkan wanita sebelum menikahinya. Kuatkan iman dan amal agar tidak terjebak dalam tipu daya dan pujukan syaitan bertopengkan manusia.

Seorang mukmin itu tidak akan disengat dalam lubang yang sama berkali-kali. Yang lebih baik daripada itu adalah, mukmin yang mengambil iktibar daripada kisah mukmin yang lain supaya tak disengat dalam lubang seperti itu.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

1 Comment

Add a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme