I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Kesian Lelaki Itu!

Assalamualaikum ustaz,

Saya berusia 30 tahun, belum berkahwin dan bekerja sebagai pramugari. Saya mempunyai seorang teman lelaki berusia 26 tahun. Kami tinggal serumah selama 3 tahun.

Saya pernah terfikir nak berubah tapi selalu kalah dengan nafsu dan harapan nak berubah hilang. Tapi setelah pemergian arwah ayah, hati saya meronta-ronta untuk bertaubat, sebab saya kesiankan arwah diazab atas dosa-dosa saya. Lagipun kerja saya amat dekat dengan kematian dan saya takut mati dalam keadaan kufur. Saya perlahan-lahan muhasabah diri dan menolak ajakan teman lelaki untuk berzina, dan baru-baru ini saya nekad untuk bertaubat. Saya niatkan perubahan kerana Allah. Saya jauhkan diri dari teman lelaki. Dia menyokong perubahan saya. Dia juga dah start solat tapi kerana darah mudanya, dia masih cuba-cuba nak mengajak saya berzina. Saya dah tiada keinginan itu kerana saya benar-benar takut dengan azab Allah.

Teman lelaki masih tak cukup duit untuk berkahwin, walau berkali saya minta menghalalkan perhubungan kami. Sekarang saya dah tegaskan pada dia saya tak nak lagi melakukan maksiat. Cuma kami masih lagi serumah sebab saya kesiankan dia. Dia cakap saya kejam kalau tinggalkan dia mcm tu saja setelah macam-macam dia buat untuk saya. Dia mempunyai ilmu agama yang baik, cuma saya tak tau kenapa dia tak dapat menilai dosa berzina ini sangat besar. Kalau saya nasihatkan dia, dia tak boleh terima sebab menganggap saya cetek ilmu agama.

Sekarang saya telah membataskan pergaulan saya dengan dia. Jika tak bekerja saya akan habiskan masa membaca buku-buku agama dan Al-Quran. Saya merasa tenang sangat, cuma saya keliru, adakah Allah menerima ibadah saya sebab saya masih serumah dengan teman lelaki walau tiada lagi zina? Adakah patut saya meninggalkan dia? Tidakkah saya menganiaya dirinya? Boleh ke dia dan yang lain terima alasan saya melakukan ini kerana Allah? Boleh ke kami tinggal bersama walaupun berasingan bilik? Saya buntu dan perlukan jawapan dari ustaz. Terima kasih.

~ Jass.

Dalam al-Quran, Allah menyatakan,

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan (yang membawa kerosakan)”. (al-Israa’ : 32)

Allah bukan setakat melarang berzina, bahkan melarang kita untuk melakukan perbuatan yang boleh menghampiri kepada perbuatan zina. Salah satu perbuatan yang boleh menjebakkan seseorang dengan perbuatan zina adalah khalwat dan berdua-duaan. Dan itulah situasi yang dialami oleh saudari sekarang ini.

Setiap orang punya kekuatan sendiri untuk meninggalkan perbuatan yang mungkar sekiranya tidak diuji dengan perbuatan tersebut. Bukan semua orang lepas dalam menghadapi ujian. Para agamawan sekalipun, belum tentu terlepas daripada ujian nafsu sekiranya mereka diuji. Sebab itulah, mereka sedaya upaya cuba menjauhkan diri daripada terlibat ataupun menghampiri sesuatu perkara yang boleh menjebakkan mereka ke dalam perbuatan maksiat.

Dalam keadaan saudari berkhalwat, tetapi telah mampu menjaga diri daripada melakukan perzinaan sekalipun dipujuk dan dirayu, menunjukkan saudari mempunyai kekuatan dan keazaman untuk bertaubat dan meninggalkan perbuatan zina tersebut. Namun, situasi saudari adalah seumpama telur di hujung tanduk, atau seumpama meniti di atas tali yang halus. Bila-bila masa saudari boleh terjatuh kembali ke lembah perzinaan sekiranya pada masa itu iman saudari sedang dalam keadaan lemah (iman manusia biasa seperti kita ini biasa naik dan juga turun).

Jadi, jalan yang selamat adalah saudari menghalau punca maksiat itu keluar daripada rumah saudari. Jangan pernah kesiankan seseorang dalam perkara maksiat. Utamakan perintah Allah daripada perasaan saudari terhadap lelaki itu. Dia seorang lelaki, campak di tepi jalan pun dia boleh hidup. Dia bukannya baby yang langsung tak boleh berikhtiar.

Jika saudari nak berkahwin dengan beliau pun, sewajarnya saudari berfikir sedalam-dalamnya. Jenis lelaki macam itukah yang saudari mahu jadikan pembimbing dan menjadi bapa kepada anak saudari suatu masa nanti? Kalau betul beliau pandai bab agama ni, beliau akan tahu betapa besar dosanya zina itu dan juga berterusan dalam perbuatan khalwat. Dan juga beliau nampaknya terlalu ego untuk menerima nasihat daripada orang yang yang dianggap kurang beragama.

Jika beliau serius untuk memperisterikan saudari, duit tidak akan menjadi penghalang. Besar mana sangat majlis yang nak dibuat itu? Setakat nak selesaikan bab akad nikah dan prosedur jabatan agama, RM200 pun dah cukup dah untuk bernikah. Dalam usia saudari yang sudah semakin lanjut ini, saudari sudah tidak punya banyak masa untuk dibuang dengan lelaki jenis ini. Kalau ikutkan akal yang waras, sepatutnya saudari singkirkan saja beliau dari hidup saudari kerana beliau sekarang ini bertindak seumpama parasit yang mengambil kesempatan ke atas saudari. Bayangkan kalau beliau dah jadi suami saudari nanti, macam mana pula lagaknya.

Apa pun, saudari kena mulakan langkah secara bertahap. Ibadah takkan memberikan kesan yang maksimum, selagi kita tak meninggalkan maksiat. Saudari kena singkirkan dulu punca maksiat dan dosa iaitu lelaki itu daripada rumah saudari, selepas itu barulah saudari akan merasai ketenangan dalam beribadah. Soal saudari nak berkahwin dengan beliau atau tak, itu dah jadi persoalan yang kedua. Banyakkan istikharah dan berdoa semoga Allah memberikan petunjuk kepada saudari dalam memilih jalan yang betul.

Pilihlah jodoh yang baik dengan cara berusaha menjadi seorang yang baik. Jangan mengharapkan seorang yang jahat menjadi pembimbing kita untuk menjadi baik.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4 Comments

Add a Comment
  1. Assalamualaikum ustaz..saya nak tanya satu kemusykilan..adakah sah nikah pasangan yang berzina yang belum bertaubat..sbb saya pernah terbaca pendapat ustaz2 yang lain mengatakan pasangan berzina perlu bertaubat dahulu, baru sah nikahnya..minta ustaz beri penjelasan..

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme