I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Keluarga Tidak Menerima Janda Pilihan Teruna

Assalamualaikum ustaz…

Saya seorang pekerja kilang, bekerja sebagai technician. Masalah yang saya alami sekarang ini, saya telah bercinta dengan janda di kilang. Kerana terlalu akrab, saya telah beberapa kali melakukan maksiat. Disebabkan itu, saya menjadi lalai untuk solat, begitu juga dia. Kami selalu solat, tapi disebabkan hal ini, kami jarang solat.

Saya dah bertekad untuk menikahinya kerana saya mahu solat saya diterima semula. Tapi keluarga saya tidak setuju kerana dia janda dan seorang anak. Saya nekad untuk bernikah di Siam tanpa pengetahuan ibubapa.

Adakah saya anak derhaka ustaz? Si janda dahulunya seorang Kristian. Dia dibuang keluarga dan bekas suami. Hanya saya saja harapan dia untuk percaya dengan Islam. Adakah saya anak derhaka jika merahsiakan perkahwinan dari ibu bapa? Minta pendapat ustaz. Terima kasih.

~ Mr. Sinaga

Manusia ini biasanya akan memusuhi perkara yang beliau tidak ketahui atau fahami. Suatu masa dulu ketika orang kampung sangat bergantung harap kepada bidan kampung, kehadiran bidan kerajaan dan jururawat desa sangat diragui. Bila mereka sudah berkenalan dan mendapatkan khidmat jururawat kerajaan, barulah sedikit demi sedikit rasa permusuhan dan keraguan itu hilang dan diganti dengan rasa kasih sayang dan penghargaan. Dalam situasi saudara, Ustaz Love nampak situasinya seakan sama.

Ustaz Love membuat telahan bahawa saudara belum lagi memperkenalkan beliau kepada keluarga. Kebiasaan orang yang cepat sangat buat keputusan nak kahwin lari (atau bernikah di luar negara atau yang seumpamanya), mereka tiada keberanian untuk berterus-terang dan mempertahankan keinginan mereka itu dengan penuh sabar dan hikmah. Akibatnya, mereka hanya nampak satu jalan saja untuk merealisasikan impian mereka tanpa memikirkan risiko baik buruk yang bakal menimpa akibat daripada tindakan terburu-buru itu. Maafkan Ustaz Love sekiranya tersalah membuat telahan. Ustaz Love cerita berdasarkan pengalaman.

Sekiranya saudara telah mempertemukan mereka dengan pilihan hati saudara, dan hasilnya seperti dijangka, mereka tidak bersetuju seperti awalnya, maka bolehlah saudara memikirkan jalan lain untuk melaksanakannya. Namun, jika nak bawa berjumpa pun saudara sudah gagal, alangkah ruginya kerana saudara telah menutup jalan yang terang dengan kegelapan demi kegelapan. Sekiranya saudara terus merahsiakannya, maka ia akan bercambah menjadi sejuta penipuan demi menutup satu penipuan yang saudara rahsiakan itu.

Ustaz Love juga ada sedikit khuatir bila saudara hanya berpegang pada ‘kisah sedih’ wanita itu yang dibuang keluarga dan suaminya tanpa menyelidik terlebih dahulu kebenaran kata-kata beliau. Wanita ni kadang-kadang tak perlu keluarkan ayat panjang lebar pun, cukup hanya dengan sebuah senyuman, mahupun setitis air mata, maka sang jejaka akan tercair hatinya dan meruntunlah perasaannya. Sebab itu, jika kita ingin mendapatkan sebuah kebenaran, elemen emosi sangat perlu diketepikan. Jika tidak, kita pasti takkan dapat berfikir dengan waras dan seterusnya gagal membuat tindakan yang sepatutnya.

Jika beliau telah bercerai juga, maka dapatkan dokumen perceraiannya. Jika tidak, keadaan itu bakal membelit saudara juga suatu hari nanti sekiranya suami beliau mendakwa belum pernah menceraikannya. Makin bertimpa-timpa pula masalah yang saudara nak kena fikirkan nanti.

Walaupun soalan saudara sangat mudah (iaitu nak bertanyakan hukum merahsiakan perkahwinan daripada keluarga), namun Ustaz Love rasa bertanggungjawab untuk memberikan sedikit peringatan supaya saudara dapat sama-sama fikirkan. Situasi saudara sekarang ini nampaknya agak terburu-buru. Memanglah niat saudara itu baik untuk membimbingnya dan menjalin sebuah perhubungan yang halal, namun banyak faktor yang perlu saudara pertimbangkan juga dan bukan semata-mata terlalu fokus kepada faktor nafsu.

Perkahwinan merupakan suatu perkara yang besar kerana ia bukan hanya melibatkan batang tubuh lelaki dan perempuan saja, bahkan ia melibatkan dua buah keluarga yang tidak boleh dinafikan hak mereka. Saudara memang tak perlukan wali untuk bernikah, tetapi wanita itu perlukan wali sekalipun dengan wali hakim. Maka, prosedur dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan wajar diikuti demi memudahkan urusan di kemudian hari. Selesaikan urusan perkahwinan mengikut peraturan yang ditetapkan, insyaAllah segalanya akan menjadi mudah buat saudara nanti.

Jika saudara nak membina sebuah masjid, perkara pertama yang perlu saudara pastikan adalah arah kiblatnya. Jika saudara tak menentukan dari awal (sama ada dengan mendapatkan bantuan orang yang lebih pakar, atau saudara sendiri yang mengukur ketepatannya), maka dikhuatiri masjid yang dibina itu tersalah arah kiblat. Masa tu nak buat pengubahsuaian akan memakan kos yang lebih besar. Cara paling mudah adalah dengan meruntuhkan kembali dan membinanya daripada awal.

Sekiranya saudara tak menentukan dengan jelas matlamat sebuah perkahwinan, dikhuatiri saudara akan memakan modal masa dan tenaga serta wang ringgit yang bukan sedikit jumlahnya. Cara terbaik adalah fikirkan sedalamnya sebelum membuat keputusan. Jika sudah nekad sekalipun, buatlah dengan cara yang betul. InsyaAllah, sesuatu perkara yang betul, yang dilakukan dengan cara yang betul, akan menghasilkan keputusan yang betul juga.

Jangan abaikan nasihat dan pandangan keluarga. Mereka cuma mahukan yang terbaik buat anak kesayangan mereka. Sekiranya saudara berbincang elok-elok dan memperkenalkan calon isteri dengan cara yang baik, disertai doa yang bersungguh-sungguh pada Allah, insyaAllah segalanya akan dimudahkan.

Ambillah masa untuk berfikir dan beristikharah sebelum membuat keputusan yang besar ini. Semoga perkahwinan saudara nanti akan menjadi suatu perkara paling indah dalam hidup, dan bukannya menjadi mimpi ngeri yang tidak pernah saudara terfikir.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme