I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Kekasih Duda Mat Saleh Tak Direstui Keluarga

Salam ustaz.

Saya perempuan yang berusia 24 tahun. Saya berkeinginan untuk berkahwin dengan pasangan saya tapi setelah hampir setahun saya cuba memujuk ahli keluarga saya tentang hasrat saya ini gagal kerana pasangan saya itu foreigner yang telah bercerai dan mempunyai beberapa orang anak. Untuk pengetahuan, dia warga eropah yang sudah tinggal di Malaysia lebih 15 tahun. Kadang-kadang dia datang ke rumah saya di KL dengan anak-anaknya. Kadang-kadang mereka tidur rumah saya dan kami hidup macam sebuah keluarga (kami tak pernah tidur bersama).

Saya nak elakkan berlakunya zina dengan minta izin untuk berkahwin dengannya memandangkan ibu bapa saya tinggal jauh di kampung. Ayah saya terlalu garang dan abang saya pernah ugut untuk bunuh dan hancurkan hidup saya jika saya berani minta izin untuk bernikah dengan lelaki pilihan saya itu lagi. Saya buntu.

Anak perempuan perlukan izin bapa untuk berkahwin. Tapi apa hukumnya apabila ibu bapa menghalang niat anaknya berkahwin sedangkan mereka tahu itu adalah jalan untuk mengelakkan zina? Dan apakah dibolehkan saya berkahwin dengan pasangan saya di luar negara (berwakilkan wali hakim) tanpa keizinan ibu bapa?

~ Insan Buntu.

Sesetengah orang menganggap bahawa perbuatan zina itu seumpana makan nasi. Kalau perut terasa lapar, dan kebetulan ada nasi di atas meja makan, laju saja dia nak sambar tanpa memikirkan sama ada nasi itu halal dimakan atau tak, kerana ia bukan milik kita untuk mengambilnya tanpa izin, sekalipun dalam keadaan lapar. Otak kita laju saja memikirkan alasan untuk menghalalkan perbuatan salah kita itu dengan menyalahkan orang lain yang meletakkan nasi itu di meja makan secara terbuka. Sama la situasi yang dialami oleh saudari ini. Akal saudari laju saja nak menyalahkan ibu bapa kerana menghalang keinginan saudari untuk berkahwin dengan alasan takut berlakunya zina, sedangkan saudari seolah-olah melupakan kesalahan saudari sendiri yang membiarkan punca yang mungkin boleh menyebabkan berlakunya zina itu masuk ke rumah saudari dengan jayanya.

Keinginan untuk berkahwin itu adalah suatu perkara yang mulia. Ia bukanlah sesuatu yang dinafikan oleh sesiapa pun, kerana ia merupakan fitrah manusia dan juga tuntutan agama. Namun, apabila kita terlalu fokus menjadikan matlamat berkahwin itu hanyalah semata-mata untuk mengelakkan zina, adakah ia wajar? Sama juga seperti kita berpuasa. Sesiapa pun tak menafikan kebaikan berpuasa dan tuntutannya dalam agama. Namun, bila kita menjadikan puasa itu sebagai alat untuk mencapai matlamat kita yang nak menguruskan badan, adakah ia wajar?

Jangan mencampur adukkan niat beribadah dengan perkara lain selain daripada Allah. Letakkan perintah Allah dan RasulNya di depan, dan lakukan perintah itu semata-mata kerana Allah. Barulah amalan kita tadi itu diterima dan mendapat ganjaran yang baik daripadaNya. Jika saudari berkahwin semata-mata dengan niat untuk mengelakkan zina, apakah selepas berkahwin dan tercapai hasrat melakukan seks halal itu, maka hubungan perkahwinan itu sudah boleh diakhiri atas alasan matlamat seks halal itu sudah tercapai? Inilah yang berlaku dalam kebanyakan perhubungan hari ini, bila mana mereka meletakkan kepuasan nafsu di tempat yang tertinggi dalam perkahwinan. Akibatnya, bila mereka tidak dapat mencapai kepuasan yang diinginkan dalam perkahwinan, mereka mencari kepuasan lain pula di luar. Maka, perkahwinan itu hanya akan menjadi kosmetik, kerana ia tidak dapat menghalang seseorang itu daripada melakukan zina selepas berkahwin.

Matlamat perkahwinan ini lebih jauh dan lebih tinggi daripada semata-mata untuk tujuan seks. Bila berkahwin, ia akan melibatkan dua buah keluarga. Ia melibatkan mertua, ipar duai, biras beras, sepupu sepapat, mak pak sedara, atuk nenek dan sebagainya. Ia juga melibatkan isu perwarisan, Ia juga melibatkan isu halal haram dalam perkahwinan, kerana bukan semua perkara yang diharamkan di luar perkahwinan itu, jadi halal disebabkan berkahwin (seperti meliwat isteri, seks semasa haid dan nifas dan sebagainya). Juga ia melibatkan nafkah zahir dan batin. Melibatkan juga tarbiyyah dan pendidikan isteri serta anak-anak. Melibatkan persoalan tanggungjawab. Melibatkan persoalan hati dan perasaan. Melibatkan isu-isu kewangan. Dan banyak lagi sebenarnya isu-isu dalam perkahwinan ini. Bukan hanya semata-mata nak menghalalkan hubungan seks. Yang lebih tinggi daripada semua itu adalah matlamat untuk mendapatkan keredhaan Allah dan hidup bersama sehingga ke syurga.

Atas faktor-faktor seperti inilah yang memungkinkan ibu bapa untuk membuat penelitian sebelum memberikan keizinan kepada anak-anak mereka untuk berkahwin dengan pasangannya. Ada jenis ibu bapa yang tak kisah dengan pilihan anak. Baik pada mata anak, baik jugalah pada mata mereka. Namun, ada juga ibu bapa yang sangat mengambil berat dengan pilihan anak-anak, kerana mereka sudah lama hidup dan mengalami pelbagai jenis pengalaman yang boleh dijadikan panduan dalam bertindak. Jadi, mereka tidak mahu anak-anak tersilap langkah dan akhirnya menyusahkan diri sendiri. Apatah lagi saudari sebagai anak perempuan, bila berlaku masalah dalam perkahwinan saudari nanti, ke pangkuan ibu bapa jugalah tempat saudari kembali merintih hiba nanti.

Apa pun, saudari fikirkanlah sedalamnya sebelum membuat keputusan. Memang orang kata kalau dapat pasangan mat saleh ni, anak yang lahir nanti cun-cun belaka. Namun, saudari kena fikirkan dahulu kemampuan saudari. Saudari sebagai seorang bujang, sekiranya berkahwin dengan lelaki itu nanti, mampukah saudari menjaga anak-anaknya juga? Ustaz Love tak mampu nak jawab soalan itu, kerana setiap orang ada tahap kemampuan masing-masing. Tugas Ustaz Love hanya mengingatkan saja. Jangan ingat nak sedap dan seronok saja dalam perkahwinan, kerana alam perkahwinan itu seumpama lautan. Seorang yang pertama kali nak turun ke laut mungkin membayangkan betapa indahnya keadaan laut yang selalu dilihat dari tepi pantai. Mungkin di tengah laut nanti, keadaannya lebih indah. Nak tangkap ikan pun pakai tangan saja. Boleh berenang sebebasnya. Indahnya irama bayu menghembus ke telinga.

Namun, hakikatnya belum tentu seperti yang dibayangkan. Jika tiada persiapan yang baik dengan kapal yang teguh, nakhoda yang berpengalaman, anak kapal yang taat, peralatan yang mencukupi serta doa dan tawakkal yang tinggi, mungkin saudari boleh tenggelam kelemasan tanpa pelampung di badan. Hanya pelaut dan nelayan saja yang memahami betapa hebatnya dugaan di lautan.

Sebaiknya saudari bukan setakat memujuk, sebaliknya berbincang dan bertanya baik-baik alasan mereka menolak pilihan saudari itu. Ketahui punca masalah dahulu, barulah kita boleh fikirkan jalan untuk mengatasinya. Adakah sebab beliau duda? Mat Saleh bukan Melayu? Ada anak? Non-Muslim? Muallaf? Atau apa sebenarnya punca mereka menolak. Ambil masa lagi untuk teruskan usaha.

Jangan sekali-kali terniat untuk kahwin lari. Bukan ini balasan sepatutnya seorang anak terhadap keluarganya. Perbuatan kahwin lari ini samalah seperti menconteng permanent marker ke wajah ibu bapa. Bukan semudah itu untuk menghapuskannya. Mungkin nanti seumur hidup saudari terpaksa korbankan demi memujuk hati ibu bapa yang sudah terluka.

Kalau sekalipun saudari dah nekad, gunakan segala saluran yang betul. Pergi ke mahkamah syariah dan failkan kes permohonan wali enggan. Biar hakim yang memutuskan sama ada saudari layak untuk berkahwin menggunakan wali hakim ataupun tidak.

Yang penting sekarang ini, saudari tutuplah punca maksiat tersebut. Janganlah memakai skirt pendek sekiranya tidak mahu orang lelaki mengintai spender. Janganlah buka pintu kepada lelaki tersebut untuk masuk ke rumah seorang gadis seperti saudari. Saudari sendiri bertanggungjawab terhadap maruah sendiri. Kalau berlaku sesuatu yang tidak baik disebabkan perbuatan saudari sendiri, maka jangan salahkan ibu bapa yang jauh di kampung, sebaliknya salahkan diri sendiri kerana menjemput maksiat itu masuk ke rumah.

Persediaan nak berkahwin ini bukan hanya melibatkan prosedur dan perkara zahiriah saja, bahkan yang lebih utama adalah membuat persediaan rohani. Perkahwinan itu adalah ibadat. Jika bercampur baur dengan maksiat, maka akan hilanglah nilai ibadat itu sendiri. Jadi, selain daripada berusaha secara zahir, kena tambahkan lagi amal ibadah. Jaga solat fardhu dan memperbanyakkan amalan sunat seperti sedekah serta banyakkan berdoa. Jauhi diri daripada maksiat atau mempelawa maksiat masuk ke rumah. InsyaAllah, jika saudari melakukan sesuatu yang betul dengan cara yang betul, hasilnya nanti saudari juga akan dapat perkara yang betul.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

8 Comments

Add a Comment
  1. Sekali lagi syabas Ustaz Love dengan jawapan dan nasihat yang cukup mantap sekali tentang niat seorang wanita melayu untuk berkahwin dengan duda warga eropah. Nauzibillah, nasihat saya kepada wanita tersebut ialah patuhlah kepada nasihat ibubapa dan adik-beradik saudari, memang wajar mereka menentang hasrat saudari. Banyakkan buat solat sunat, saya yakin melambak lagi teruna2 orang Melayu kita yang lebih tegap, handsome, bersih, berseri, bertanggungjawab, romantik dan salih di sekitar yang saudari akan ketemukan nanti, insyallah, aamin,

    1. Ustaz Love tak melarang beliau nak berhubungan dengan lelaki itu, cuma jangan sampai mengenepikan keluarga dan terlibat dengan perkara maksiat.

  2. Ustaz lupa nk mention yang anak juga ada hak ke atas ibu bapa. Sy tak pernah brlakangkan ibu bapa saya. Saya dah pujuk selama setahun dgn cara baik. Habis adik beradik dgn makcik skali saya pujuk tp takda satu org pon nk buka jalan utk prkhwinan ni. Islam tak sesusah itu….. Kalau ibu bapa ada hak ke atas anak untuk ditaati dan dihirmati.. Anak2 juga ada hak ke atas ibu bapa mereka yg ustaz love lupa nk sebut.. Setahu saya ada 3 perkara hak anak ke atas ibu bapa.. Dan salah satunya ibu bapa perlu mengahwinkan anak nya setelah baligh.. Dgn bantu ank2 siapkn diri utk layari bahtera petkahwinan..

    1. Kalau saudari baca betul2 dengan hati yang terbuka tanpa emosi, saudara akan jumpa jalan yang Ustaz Love jelaskan di atas. Segalanya terpulang pada saudari. Orang tengah hangat bercinta ni memang susah nak nampak sisi pandangan yang lain. Sama ada saudari nak membelakangkan keluarga dan undang2 negara dengan bernikah di siam, atau mengikut prosedur yang betul seperti yang dijelaskan di atas, itu adalah hak saudari. Tak guna saudari bersoal jawab di sini, kerana tidak akan memberikan apa2 kesan pun pada diri saudari. Tugas Ustaz Love cuma menasihati dan memberikan pandangan. Soal nak terima atau tak, itu hak saudari.

      Apa pun, Ustaz Love doakan semoga Allah memudahkan segala urusan saudari dan memberikan kebahagiaan pada jalan yang saudari pilih.

      WA

  3. Untuk jawapan en.buggy.. Sedarlah bahawa budaya org melayu ni dh bnyk terpesong dengan tuntutan islam yg sebenar. Bila org mlayu nk kahwin dgn mat saleh dikatanya kerana mrk lebih hnsem.. Mrk lebih putih.. Walhal sepanjang persahabatan kami.. Terlalu byk salah faham budaya dan amalan agama.. Dn dia bermazhab hanafi. Dan di negaranya wanita above 19 tak perlu mintak izin mak bapak pon kalu nk kawin… Orang kita.. Selagi tak dapat restu mak ayah tu dianggap haram nikah sedangkan islam ada bg bnyk lg pilihan lain.. Org melayu gemar persoalkn ttg hukum .. Seolah olah menggambarkan islam itu FEQAH .. Sedangkan hukum feqah itu adalah sebahagian drp menyempurnakan islam.. Kalau encik buggy gemar berbicara ttg feqah… Apa hukumnya ibu bapa yg diberikan mandat oleh Allah utk nikahkan ank dia ttp mrk memilih utk mghalang hasrat itu? Takut bercerai? Takut teraniaya? Seolah2 saudara sudah tau apa yg akan berlaku. Seolah2 saudara boleh meramal masa depan dang mengambil kerja tuhan?

  4. Setelah lebih setahun sejuta persoalan saya utarakan dan semuanya sy dh jelaskan pd kluarga..dia islam sejak lahir dan pernah berjihad utk islam time perang di negara dia.takda 1 kekurangan pon dpt ditimbulkan oleh sy dn kluarga sy melainkn Mrk mmg tak nk terima krn 1 alasan.. Sebab dia “orang luar” dan jawapan ni tak masuk akal bg sy kerana ni bukan cara org islam (sebb fmly sy ni org yg kuat agama)

  5. Pada pendapat saya, saudari Insan Buntu bukan mahukan nasihat ustaz. Saudari cuma mahu mencari sokongan and merasionalkan keputusan yang sebenarnya saudari sudah pun muktamatkan.

  6. bagi pendapat saya pulak kalau sis yakin dengan apa yg sis buat then go on..memang susah sikit nak convince parents hanya dia sebabkan “orang luar”.. tapi sis kena gak cuba sedaya upaya untuk meyakinkan mereka.. why not kalau itu dah jodoh.. just kena usaha tawakal dan berdoa.. tak perlu nak cari kesalahan sesiapa… niat manusia bukan terletak pada kulit dan warna dan mahupun “orang luar” kalau baik baik lah jalannya kalau buruk sama-sama beringat lah.. itu pun kalau sis still lagi alami masalah ni

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme