I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Non-Muslim Dilamar Suami Orang

Salam ustaz.

Saya perlukan pandangan dan nasihat ustaz. Saya bukan Islam, berasal dari Sarawak tapi sekarang bercinta dengan seorang Islam berasal dari Semenanjung dan bekerja di Sarawak. Saya berumur 34thn, bekerja sebagai penjawat awam. Hubungan ini sudah terjalin selama 2 tahun.

Pada awal perkenalan, niat kami hanya untuk berkawan kerana perbezaan agama, dan sentiasa berhubung melalui telefon bimbit. Akhirnya dia meluahkan perasaan suka dan sayang. Saya juga berperasaan seperti itu. Pada masa yang sama saya rasa serba salah kerana isu agama, terfikir dengan penerimaan keluarga. Masa bercinta dengan dia saya masih ke gereja, berdoa minta petunjuk tapi perasaan sayang antara kami makin kuat dari sehari ke sehari. Dia minta saya beritahu keluarga tentang hubungan ini kerana dia tak nak sembunyikan. Pada mulanya mak memang tak setuju, tapi sekarang ini mak terima juga selepas sudah berjumpa dengan dia. Dia berniat untuk berkahwin. Ini pertama kali saya bawa lelaki berjumpa dengan keluarga. Semua ahli keluarga sudah tahu tentang hubungan ini. Hati ni bersedia untuk terima islam dan dia, dan merancang untuk bernikah bulan 11 tahun ini.

Bila semua sudah dirancang, rupa-rupanya ada perkara yang dia rahsiakan selama ini. Dia sudah berumahtangga. Dia berterus terang bulan lepas. Dia sembunyikan status selama ini sebab takut kehilangan saya. Selepas dia beritahu semuanya, niatnya untuk bernikah dengan saya masih ingin dteruskan. Dia betul-betul merayu untuk tidak berpisah. Sebelum dia berterus terang, dia sudah minta pndangan ahli keluarganya dan kawan-kawan. Jika saya setuju terima dia, dia dah rancang apa yang akan dia lakukan untuk nikah secara sah.

Saya belum beritahu keluarga saya tentang perkara ini kerana pastinya mereka tidak akan terima. Saya hanya mampu meluahkan masalah ini kepada majikan saya, lagipun majikan saya memang kenal dia. Majikan saya cuma minta saya supaya banyak bersabar dan berdoa, apa-apa keputusan saya kemudian hari, yang penting saya perlu bersedia dengan rintangan dan risiko yang mendatang. Tapi hati ini terlalu lemah dan masih keliru dengan keputusan. Saya perlu nasihat dan pandangan ustaz. Saya akui keputusan di tangan saya.

~ HambaMu.

Sesungguhnya jalan hidayah itu datang melalui pelbagai bentuk dan cara. Ada orang yang bernama Umar, berazam untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w. tetapi Allah berikan hidayah kepadanya sehingga beliau bukan saja menjadi sahabat yang rapat, bahkan menjadi mertua Nabi s.a.w. melalui pernikahan anak perempuannya, Hafsah r.anha. Jalan perkahwinan juga merupakan salah satu cara Allah nak memberikan hidayah Islam kepada seseorang.

Kebiasaannya, seseorang yang menerima Islam melalui jalan perkahwinan, sangat memerlukan seorang suami yang mampu membimbing dirinya dalam beragama, supaya tidak timbul fitnah terhadap agama dan dirinya sendiri. Sudah tentu ahli keluarga dan masyarakat akan memandang beliau dengan pandangan teliti, bimbang tersilap memilih jalan dan berakhir dengan penderitaan.

Sebagai seorang Islam, sudah tentu Ustaz Love gembira dan bersyukur sekiranya saudari meneruskan hasrat untuk kembali kepada Islam. Namun, Ustaz Love juga tidak mahu saudari tersalah langkah dengan memilih seseorang yang tidak amanah dalam agama, untuk menjadi pembimbing saudari. Ditakuti kehidupan saudari selepas itu bermula dengan derita sehingga terbayang-bayang kehidupan bahagia sebelum beragama Islam dan seterusnya berhasrat untuk keluar daripada agama Islam. Nauzubillah.

Maka, jalan yang paling selamat adalah saudari terimalah Islam dahulu sebelum saudari menerima orang Islam sebagai suami. Oleh kerana keluarga saudari sendiri sudah bersetuju untuk saudari mengahwini seorang Muslim, secara tak langsung mereka juga sebenarnya sudah bersetuju untuk saudari menerima Islam sebagai agama. Berikan masa kepada diri saudari untuk mempelajari dan memahami asas agama ini sebelum saudari melangkah ke fasa yang seterusnya.

Tak dapat dinafikan, dalam usia 34 tahun itu, agak lambat bagi seorang wanita mengakhiri zaman bujangnya. Namun, ini tak bermakna saudari perlu terburu-buru untuk berkahwin disebabkan usia sudah semakin lanjut. Berkahwinlah disebabkan saudari sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab perkahwinan dengan seseorang yang mampu membantu saudari memikul tanggungjawab itu bersama.

Asas bagi sesebuah perhubungan itu adalah kepercayaan. Kepercayaan tidak akan hadir kecuali melalui kejujuran. Kejujuran lelaki itu memperisterikan saudari terpancar melalui kesungguhannya untuk bertemu dengan keluarga saudari dan meyakinkan mereka untuk bersetuju dengan pilihan anaknya. Namun, pada sudut yang lain, beliau sudah tidak berlaku jujur dengan menyembunyikan status perkahwinannya sebelum ini. Perkara ini jika tak ditangani dengan baik, akan menimbulkan konflik yang besar pada masa akan datang.

Bila beliau berterus-terang berkenaan statusnya, itu menunjukkan beliau sebagai manusia biasa tak dapat lari daripada kesilapan (dengan menipu saudari pada awalnya), namun beliau tidak sanggup berterusan menipu saudari sehingga beliau terpaksa memberanikan diri berterus-terang. Ini menunjukkan beliau seorang lelaki yang baik, kerana sebaik-baik manusia itu bukanlah mereka yang tidak pernah melakukan kesilapan, sebaliknya mereka adalah manusia yang kembali bertaubat dan membetulkan kesilapan yang pernah mereka lakukan.

Oleh kerana poligami adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam, maka tiada masalah bagi lelaki itu untuk berpoligami sekiranya beliau berkemampuan untuk memberi keadilan terhadap isteri-isterinya. Namun, dalam hal memilih jodoh, sebelum memikirkan kebaikan buat orang lain, kena fikir dulu kebaikan buat diri sendiri. Perkahwinan itu adalah berkaitan dengan kita. Segala baik buruk selepas berkahwin nanti, kita juga yang akan menanggungnya.

Dalam hal ini, tidak dapat tidak, berterus-terang itu adalah jalan paling selamat. Ramai orang menganggap dengan melakukan penipuan, mereka akan mendapat kebaikan. Percayalah, satu penipuan akan melahirkan lebih banyak lagi penipuan disebabkan mahu menyelamatkan penipuan pertama daripada terbongkar.

Sebaiknya, saudari bertemu dulu dengan isteri pertamanya untuk mengetahui kisah mereka. Sama ada saudari bertemu dengan pengetahuan lelaki itu atau tanpa pengetahuannya, saudari boleh memilih sendiri. Biasanya kalau bertemu tanpa pengetahuan, saudari akan dapat info yang lebih tepat berbanding dengan pengetahuannya (yang mungkin terdedah dengan perancangan licik dan sebagainya). Sekiranya tiada masalah di pihak isterinya, maka saudari boleh meneruskan langkah kedua iaitu berterus-terang dengan keluarga saudari.

Mungkin pada tahap ini, saudari boleh menjemput lelaki itu dan isterinya untuk berterus-terang dengan keluarga saudari sendiri (sebab berdasarkan pengalaman lalu, penerangan saudari kepada keluarga agak kurang meyakinkan sehingga terpaksa berjumpa dulu dengan lelaki tersebut sebelum bersetuju). Apa yang akan berlaku nanti sebenarnya di luar pengetahuan dan kawalan manusia. Kita hanya mampu berdoa semoga semuanya berakhir dengan baik. Jika berakhir dengan sebaliknya, yakinlah bahawa pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya.

Berdoalah kepada Allah semoga Allah menunjukkan kepada saudari jalan yang terbaik. Ustaz Love doakan saudari ditetapkan hati untuk menerima Islam, sama ada melalui jalan perkahwinan atau bukan melalui jalan tersebut. Allahu yahdiik.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 Comments

Add a Comment
  1. Terima kasih ustaz Love dengan nasihat dan pandangan yang diberikan. Saya pernah minta dia berterus terang dengan keluarga saya dan isteri dia. Dia bersedia lakukan itu, tapi saya pula belum ada kekuatan. Memang perkara itu saya dan dia pernah bincangkan.

    Besarnya dugaan hidup ini. Sebelum mengenali dia, saya sentiasa berdoa supaya saya ditemukan jodoh dengan seorang seagama, dapat membimbing saya dalam agama dan semestinya “BUJANG” hihihi…tapi yang hadir bukan seperti yang didoakan. Ujian pertama, hadirnya seorang yang bukan seagama dan kedua, “Suami orang pula”. Dalam kotak fikiran sering timbul “Kenapa Tuhan”. Adakah ini sekadar ujian untuk menguji kekuatan iman saya? Atau untuk menguji sejauh mana teguhnya saya dengan doa saya selama ini? Atau kehadiran dia membawa hikmah?

    Majikan saya islam juga.(sekarang ni bekas majikan) pernah juga bertanya bagaimana penerimaan saya terhadap Islam?, bagaimana dengan perasaan saya dapat terima ke tidak menjadi yang “kedua”. Majikan saya minta lakukan doa istikharah (betul ke ejaan tu Uztaz. hihi)saya cari2 la kat google.

    Setiap insan memang ada perasaan cemburu. Sekarang ni saya cuba belajar dan membiasakan diri untuk terima hakikat dan keadaan. Sekarang ni, kalau dia nak beli barang untuk anak2 dan telefon mereka, dia akan bagitau saya. Pada mulanya bermasam muka jugak, tapi bila fikir secara waras, saya tidak hak untuk melarang dia. Itu tanggunjawab dia. Terfikir juga bagaimana kalau saya ditempat mereka. Ini keadaan sebelum menjadi yang sah, bagaimana kalau menjadi yang sah kelak, lagi besar dugaan yang akan dilalui.

    Memang sentiasa ada persoalan dalam minda, adakah ini pilihan yang dan keputusan yang betul. Ada juga perasaan risau kalau menderita di kemudian hari. Risau kalau tersilap langkah. Saya terima nasihat Uztaz Love dengan hati terbuka untuk bersemuka dengan isterinya dan berterus terang dengan keluarga saya, walaupun berat bagi saya. Sebelum ini dia rasa berat untuk berterus terang pada saya, sekarang ni saya pula rasa berat berterus terang pada keluarga saya.

    Terima kasih ya Uztaz Love.

    1. Biar rasa berat sekarang, jangan berat kemudian. Kerana beratnya sekarang seumpama kita mendaki gunung berseorangan, sedangkan beratnya kemudian seumpama kita mendaki gunung dalam keadaan penuh beban di atas belakang. Bila kita buat sesuatu yang betul dengan cara yang betul, insyaAllah kita akan mendapat hasil yang betul.

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme