I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Skizofrenia Dan Bisikan Halus

Salam ustaz,

Saya baca artikel ini sebab saya perasan yang saya sering marah setiap kali tiba senja. Simptom pada saya ketika mimpi, cuma mimpi bayi, itu pun hanya 2 kali sahaja, selebihnya tiada. Kecuali ketika jaga, sedar. Sakit belakang, sentiasa marah, orang disayangi kini dibenci, ragu-ragu tentang agama, terdengar bisikan, terasa seperti diekori, bercakap seorang diri, malas beribadat dan hampir semua yang tertera pada simptom yang diterangkan.

Pada mulanya saya fikirkan ia cuma stress, maka saya banyakkan memakan sayuran, exercise dan kurangkan merokok. Bulan pertama saya merasa bebas, saya mampu kawal marah, tidur dengan nyenyak, tiada lagi insomnia, dan semua orang selesa dengan saya. Tetapi condition itu datang kembali dan saya gagal walaupun saya bersenam 4 atau 5 hari seminggu sehingga sekarang! Adakah sebab saya hanya menjaga fizikal dan tak hiraukan dari segi spiritual? Kenapa saya tak mampu istiqamah dari segi amal ibadah?

Saya akui saya sangat gemar menonton filem horror terutama sekali filem antarabangsa. Filem hantu melayu buat saya ketawa. Maaf, saya sudah mengarut. Dan juga filem ngeri, sila baca gore. Saya fikir tiada kaitan minat saya pada filem-filem macam ni boleh mengubah personaliti saya. Kalau nak tengok dari sudut perubatan, saya mungkin mengalami penyakit skizofrenia kerana sering dengar bisikan ataupun ia hanya suara dalam minda saya.

Ada kalanya, saya sering berimaginasi tentang pembunuhan. Dan setiap imaginasi itu membuat saya rasa seronok seakan-akan saya menyumbang makanan kepada jiwa saya. Mungkin sebab itu saya jarang marah apabila memandu atau menunggang kenderaan kerana saya hanya perlu bayangkan mereka, pemandu yang tak berhemah itu, mati dalam keadaan ngeri yang hanya mampu dibayangkan dalam minda saya. Adakah saya psikosis?

Saya tahu, kenyataan saya akan mengundang kemarahan kepada mereka yang lemah imannya kerana manusia seperti saya perlu dihadapi dengan kesabaran. Dan, saya mampu jamin, ramai lagi manusia beragama islam seperti saya di luar sana. Saya ada baca surah al-Kahfi ayat 96, tentang pilihan yang dibolehkan atau digalakkan yang diberikan oleh Allah swt kepada Zulqarnain sama ada hendak melakukan kezaliman pada kaum Scythian (kemungkinan Ya’juj Ma’juj) atau pun berbuat baik kepada kaum itu, maka berdasarkan filosofi yang difahami dari ayat ini, saya membuat pendekatan maksimum, pendekatan yang digalakkan iaitu memohon pandangan dan nasihat profesional ustaz walaupun saya dibolehkan (pendekatan minimum) untuk membuat tafsiran sendiri tentang condition saya atau membiarkan sahaja dan ‘makan diri sendiri’.

Saya mengharap akan balasan ustaz kerana kebanyakan kawan-kawan saya yang kuat ibadahnya hanya hipokrit yang gunakan agama untuk meruntun hati para gadis dan saya tak mahu berbincang persoalan ini dengan para hipokrit. Saya sudah terlalu jauh dan sudah lama terperangkap dalam jurang yang dalam dan kelam. Mohon ustaz beri pandangan dan pencerahan agar saya mampu memperbaiki diri dan juga orang di sekeliling saya.

~the dude.

 ————————————————————–

Ustaz Love tak dapat nak pastikan akan jantina sang penanya. Cuma, telahan Ustaz Love, soalan ini datang daripada seorang wanita berdasarkan mimpi bayi (yang kebiasaan dialami oleh wanita) dan perasaan tidak sukanya kepada ustaz-ustaz yang menggunakan ayat power untuk menggoda wanita. Kalau salah, maafkan Ustaz Love.

Bila kita sebut tentang perasaan, ia adalah sesuatu yang melibatkan hati dan jiwa. Orang yang tenang perasaannya, mampu untuk tidur lena sekalipun cuma beralaskan tikar dan berbumbungkan langit. Orang yang jiwanya tak tenang, tidak mampu untuk lena walaupun di atas katil yang empuk dan bersaiz raja (king size). Jadi, oleh kerana masalah jiwa itu tempatnya pada hati, tidaklah senaman fizikal yang kita lakukan itu mampu menyembuhkannya, melainkan kita berusaha juga untuk mengubati masalah hati dan jiwa.

Setiap orang tak sama penyakitnya dan juga tak sama cara pengubatannya. Seorang yang sakit perut, belum tentu disebabkan beliau tersalah makan. Mungkin juga ada masalah lain yang takkan mampu diselesaikan sekadar makan pil pochai mahupun ubat tahan sakit. Mungkin juga sampai ke tahap terpaksa dilakukan pembedahan dan membuang punca penyakit tersebut.

Masalah jiwa ini juga lebih kurang sama. Perlukan rawatan rohani dan jasmani. Dari sudut jasmani, mungkin pengambilan ubat-ubatan tertentu mampu untuk mengurangkan kesan penyakit yang dialami. Namun, ia tidak mampu menyembuhkannya seperti sedia kala dan kebiasaannya akan menyebabkan pergantungan terhadap ubat-ubatan sehingga ke akhir hayat (bergantung atas nasihat doktor).

Oleh kerana jiwa dan roh manusia ini tidak diciptakan dari tanah, maka perawatan masalah ini tidak tertumpu kepada bahan-bahan yang diperolehi secara zahir. Makanan dan ubatan rohani ini adalah bersumberkan daripada Allah sebagai pemilik mutlak kesembuhan dan kesakitan. Bukanlah Ustaz Love nak kata panadol itu yang menyembuhkan sakit kepala (sakit zahir), tetapi itu adalah asbab yang Allah ciptakan untuk digunakan oleh manusia atas dasar ikhtiar. Yang menyembuhkan tetap Allah s.w.t.

Maka itu, ubat kepada masalah hati dan jiwa ini, tidak lain dan tidak bukan adalah kembali kepada mentaati perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Segala perintah Allah yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. sama ada berupa al-Quran atau hadis, adalah ubat kepada masalah jiwa. Membaca al-Quran akan menenangkan hati. Mengamalkan sunnah Nabi akan memberikan ketenangan jiwa. Sebaliknya, segala larangan Allah berupa maksiat dan dosa, akan menyebabkan hati menjadi semakin sempit dalam dunia yang luas, gundah gulana dalam ketenangan malam, keluh-kesah dan sebagainya.

Maka, nak atau tak nak, saudari kena mendekatkan diri dengan Allah melalui jalan memperbanyakkan amal soleh dan meninggalkan segala bentuk maksiat dan dosa. Yang paling utama, saudari kena menjaga solat 5 waktu. Jangan lengahkan, apatah lagi mengabaikannya. Itulah benteng ampuh daripada serangan bisikan syaitan dan nafsu. Jika benteng itu pun saudari tak jaga, tak perlu nak merayau merata nak berubat, kerana ubat yang sedia ada itu pun saudari tak nak makan.

Setiap kali saudari keseorangan, ambillah al-Quran dan bacalah. Jangan biarkan masa saudari berlalu dengan khayalan dan angan-angan. Ini akan membuka pintu syaitan untuk membisikkan perasaan was-was ke dalam diri saudari. Peringkat yang paling teruk yang mungkin dialami oleh mereka yang mengalami masalah skizo dan bisikan halus ini adalah apabila mereka tidak dapat lagi membezakan mana satu realiti dan mana satu fantasi. Mereka akan fikir yang bisikan itu adalah real, sedangkan mereka sedang dihasut. Akibatnya, kita boleh baca sendiri di dalam akhbar. Bagaimana kita pernah dikejutkan dengan seorang pemuda yang mendakwa menerima arahan dan bisikan halus, memenggal kepala ayahnya tanpa rasa bersalah. Ada juga kisah bapa yang mengelar leher anaknya disebabkan terpengaruh dengan bisikan-bisikan halus seperti itu.

Jadi, saudari kena kuatkan diri untuk melakukan ibadah. Disamping itu, saudari juga perlu berikhtiar secara jasmani dan rohani. Berjumpalah dengan pakar psikiatri dan juga pengamal perubatan Islam. Dan hentikanlah atau kurangkanlah menonton cerita khurafat, dan banyakkan menonton cerita yang boleh mengingatkan kita kepada akhirat. Tak kira hantu melayu mahupun hantu foreigner, dua-dua kelakar, sebab dua-dua cerita karut tapi masih ramai orang yang suka menontonnya termasuklah Ustaz Love sendiri. Tak salah untuk kita berusaha, kerana natijah daripada usaha kita itu bukan milik kita, sebaliknya milik Allah.

Apa yang penting, jangan putus asa dengan rahmat Allah. Banyakkan berdoa dan bersedekah. Semoga Allah memelihara kita daripada bisikan dan tipu daya syaitan yang direjam.

WA

——————————————

Iklan :

 

Sebarang pertanyaan berkaitan produk Jamu Anggun Ibu, boleh hubungi :

– WhatsApp / WeChat : 019-461 1246 (Ann)

– Blog : http://anggunibu.wix.com/jamu

– Facebook Page : JAMU Anggun Ibu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 Comments

Add a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme