I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Pengalaman Pahit Membantutkan Hajat Berkahwin

Assalamualaikum Ustaz Love.

Saya nak minta pandangan ustaz tentang masalah macam mana nak berterus-terang dengan ibu bapa untuk berkahwin. Saya merupakan anak sulung daripada 6 adik-beradik. Ibu bapa saya sangat bergantung harap pada saya untuk melakukan segala kerja rumah dan menguruskan adik-adik. Saya akur untuk melakukan semua itu tapi ada kalanya saya perlukan kebebasan memilih untuk membuat apa saja yang terbaik dalam kehidupan saya. Saya rasa susah untuk bergerak ke mana-mana dan membuat sebarang keputusan sebab pengakhirannya saya akan rasa terluka (dunia saya hanya untuk keluarga, tiada masa untuk keluar berjumpa dan menghabiskan masa dengan kawan-kawan).

Kekasih saya telah lama bertanya untuk berjumpa dengan ibu bapa saya berbincang tentang hubungan kami ke fasa seterusnya iaitu perkahwinan (saya berumur awal 20 an dan kekasih saya 30 an), tapi saya takut untuk berdepan dengan ibu bapa saya untuk menceritakan perkara tersebut. Saya pernah bagi ‘hint’ pada mereka yang saya telah mempunyai kekasih hati tapi mereka seolah-olah tiada ‘respond’. Antara sebab saya rasa takut untuk berterus-terang dengan ibu bapa saya ialah:

a) Jarak jauh, berlainan negeri (Terengganu vs Melaka, sedangkan mak ayah saya kalau boleh nak orang 1 negeri)

b) Saya baru saja menamatkan pelajaran di peringkat ‘degree’ (baru bekerja tapi tak tetap di samping buat kerja sambilan membuat kuih). Kekasih saya berkelulusan SPM (kerja tetap tapi berjawatan rendah dan ada kerja sambilan buat bisnes secara kecilan)

c) Pernah melihat perkahwinan sepupu saya ditentang oleh datuk sebab katanya sepupu saya baru habis belajar, kerja tak sampai setahun dah kawin, tak sempat nak makan jasa.

d) Adik-adik semua masih belajar.

e) Mak ayah cerewet dalam segala hal sehinggakan saya nak bekerja pada awalnya seolah-olah tidak direstui. Saya faham mak ayah nak yang terbaik untuk anak-anak, tapi kami perlukan kebebasan untuk memilih selagi mana tidak melanggar syariat.

f) Bimbang kalau ayah setuju tapi mak tak setuju, akan timbul pergaduhan antara mak dan ayah. Apatah lagi berkaitan mas kahwin dan sebagainya sebab ayah pernah cakap kalau ada orang datang minta anak dia, tentang mas kahwin abah nak cakap ”kalau ada banyak bagi banyak, kalau ada sikit bagi sikit, kalau tak ada tak apa ikut kemampuan”

~missnoyu.

Setiap sesuatu itu bermula dengan langkah pertama. Seorang bayi tidak akan mampu untuk melangkah sekiranya dia takut untuk jatuh. Tapi percayalah, setiap kali beliau terjatuh, dia akan lebih bersemangat untuk bangun dan kembali mencuba sehingga akhirnya mampu untuk berjalan dan berlari.

Sekiranya saudari takut untuk memulakan langkah pertama, maka saudari akan terperangkap dalam situasi yang sama tanpa ada apa-apa perbezaan. Bahkan air bertakung yang asalnya jernih itu pun semakin lama akan menjadi keruh dan membusuk.

Mendiamkan diri tanpa membuat apa-apa tindakan, tidaklah menghasilkan sesuatu yang baik. Situasi mungkin akan jadi lebih buruk dengan prasangka dan telahan yang belum tentu pasti akan berlaku.

Ada baiknya Ustaz Love menjawab satu persatu persoalan saudari supaya kita lebih faham di manakah punca masalahnya.

a) Jarak jauh, berlainan negeri (Terengganu vs Melaka, sedangkan mak ayah saya kalau boleh nak orang 1 negeri).

~ Dalam dunia serba moden ini, pastinya tak sama dengan keadaan zaman dulu. Jika dulu kita nak pergi ke Terengganu dari Melaka, mungkin akan mengambil masa berhari-hari dengan berjalan kaki atau menunggang kambing. Tapi pada zaman ini, hanya memerlukan tak sampai satu jam untuk sampai ke sana dengan menaiki kapal terbang. Begitu juga dengan perhubungan. Jika dulu boleh dikatakan perhubungan jarak jauh disebabkan satu-satunya medium perhubungan hanyalah menggunakan surat yang mungkin mengambil masa selama seminggu. Hari ini, menggunakan poslaju atau pos ekspres pun cuma mengambil masa sehari saja. Apatah lagi jika menggunakan medium aplikasi internet seperti skype yang membolehkan kita berhubung tanpa batasan.

Jadi, keinginan ibu bapa untuk mencari menantu satu negeri itu bukanlah suatu jawapan mutlak yang tidak boleh ditolak. Tambahan pula jika yang datang meminang itu adalah seorang yang baik dan sudah stabil kehidupannya.

b) Saya baru saja menamatkan pelajaran di peringkat ‘degree’ (baru bekerja tapi tak tetap di samping buat kerja sambilan membuat kuih). Kekasih saya berkelulusan SPM (kerja tetap tapi berjawatan rendah dan ada kerja sambilan buat bisnes secara kecilan).

~ Mungkin persoalan yang cuba saudari timbulkan di sini adalah taraf pendidikan. Tapi, yang Ustaz Love nampak, kehidupan lelaki itu lebih baik berbanding saudari. Walaupun beliau cuma berkelulusan SPM, tetapi beliau sudah mempunyai pekerjaan tetap yang menjamin pendapatannya. Bahkan beliau juga rajin berusaha memperbaiki tahap ekonominya dengan berniaga secara sambilan. Sedangkan saudari yang sudah mempunya ijazah, masih lagi terkontang-kanting mencari kerja tetap dan terpaksa menjaga adik-adik di rumah. Persoalan taraf pelajaran ini boleh diperbaiki. Ada kawan Ustaz Love yang bermula dengan SPM saja dan merangkak naik ke atas sehingga akhirnya berjaya memperolehi ijazah dan dinaikkan pangkat dengan jawatan yang lebih baik. Yang penting di sini adalah sikap lelaki tersebut. Tak guna jika beliau ada Phd sekalipun, tapi malas berusaha.

c) Pernah melihat perkahwinan sepupu saya ditentang oleh datuk sebab katanya sepupu saya baru habis belajar, kerja tak sampai setahun dah kawin, tak sempat nak makan jasa.

~ Tanggungjawab ibu bapa menjaga dan memberikan pendidikan kepada anak-anak bukanlah dengan tujuan supaya jasa mereka itu dibalas. Itu adalah amanah daripada Allah. Seorang yang memahami persoalan amanah ini, tidak akan menuntut ganjaran bagi kebaikan yang dilakukan. Jika beliau meminta ganjaran, bermakna beliau tidak menjaga amanah, sebaliknya sedang bekerja dan mengharapkan gaji.

Kedudukan ibu bapa bukanlah sebagai pekerja atau majikan kepada anak-anak. Anak-anak juga tidak wajar menjadikan ibu bapa sebagai penerima gaji disebabkan menjaga cucu-cucunya. Begitu juga ibu bapa tak wajar menjadikan anak sebagai barang dagangan untuk mereka mendapatkan manfaat dunia.

Apabila sudah sampai masanya anak-anak mencari teman hidup, ibu bapa perlu rela untuk melepaskannya. InsyaAllah, anak-anak yang dididik dengan baik, takkan melupakan jasa dan pengorbanan ibu bapa mereka. Sebaliknya, ibu bapa yang terlalu berkira dengan anak-anaknya, pasti anak-anaknya juga akan berkira dengan mereka. Akibatnya, perhubungan keluarga akan dinilai sebagai sebuah perhubungan yang berasaskan material semata-mata.

d) Adik-adik semua masih belajar.

~ Yang nak berkahwin adalah saudari, bukannya adik-adik. Tiada kaitan antara adik-adik masih belajar, dengan keinginan saudari untuk berkahwin. Mungkin saudari memikirkan untuk membantu meringankan beban ibu bapa yang terpaksa menanggung belanja pengajian adik-adik, tapi saudari kena fikir, adakah saudari perlu membujang sampai ke tua sekiranya saudari bakal mendapat adik yang baru? Ustaz Love tak pasti berapa umur ibu bapa saudari sekarang ini. Yang cuba Ustaz Love sampaikan, soal mereka nak belajar, biarlah ibu bapa yang fikirkan perkara itu. Itu bukan tanggungjawab utama saudari. Saudari hanya boleh membantu saja. Dan memberi bantuan itu masih boleh diteruskan sekalipun bila saudari dah berkahwin nanti.

e) Mak ayah cerewet dalam segala hal sehinggakan saya nak bekerja pada awalnya seolah-olah tidak direstui. Saya faham mak ayah nak yang terbaik untuk anak-anak, tapi kami perlukan kebebasan untuk memilih selagi mana tidak melanggar syariat.

~ Ibu bapa jadi cerewet bukanlah disebabkan mereka mahu menyusahkan anak-anak, sebaliknya ingin yang terbaik untuk anak mereka. Mereka juga ada kerisauan yang mungkin kita tak faham. Tapi akhirnya mereka juga dapat faham setelah kita bertindak memberi kefahaman kepada mereka.

Begitu juga dengan persoalan jodoh saudari ini. Mungkin mereka juga akan cerewet pada awalnya, tapi jika diberikan penerangan yang betul dengan cara yang betul, insyaAllah, mereka akan dapat menerimanya dengan hati terbuka.

f) Bimbang kalau ayah setuju tapi mak tak setuju, akan timbul pergaduhan antara mak dan ayah. Apatah lagi berkaitan mas kahwin dan sebagainya sebab ayah pernah cakap kalau ada orang datang minta anak dia, tentang mas kahwin abah nak cakap ”kalau ada banyak bagi banyak, kalau ada sikit bagi sikit, kalau tak ada tak apa ikut kemampuan.

~ Kebimbangan saudari itu adalah kebimbangan yang tak berasas. Jangan jangkakan sesuatu yang belum pasti berlaku. Kenapa ibu bapa nak bergaduh, kalau mereka nanti sudah setuju dengan pilihan saudari? Persoalan mas kahwin, ia telah ditetapkan oleh jabatan agama. Saudari tak perlu susah-susah nak berfikir pasal itu. Mungkin yang merisaukan saudari adalah persediaan lelaki itu sama ada mampu untuk menyediakan wang hantaran yang tinggi seperti yang diinginkan oleh kebanyakan ibu pengantin perempuan (kihkih).

Sebenarnya, dari sinilah saudari dan pasangan akan mula belajar untuk merancang. Tak semestinya bila beliau berjumpa dengan ibu bapa saudari hari ini, esoknya dah nak kena sediakan mas kahwin dan wang hantaran untuk saudari. Rancanglah sebaiknya. Mungkin juga ia memakan masa bertahun-tahun untuk menyimpan, namun itu lebih baik daripada berhutang.

Apa yang penting, saudari mulakan dulu langkah pertama untuk membuka pintu kepada lelaki itu datang ke rumah saudari. Mulakan dengan berterus-terang dengan ibu bapa dan tengoklah bagaimana reaksinya. Jika ok, maka teruskanlah. Jika nampak tak ok, maka ambillah masa untuk memujuk mereka.

InsyaAllah, bila langkah pertama sudah dimulakan, langkah yang seterusnya pasti akan menjadi lebih mudah.

WA

——————————————————————

Iklan :

Sebarang pertanyaan berkaitan produk Jamu Anggun Ibu, boleh hubungi :

– WhatsApp / WeChat : 019-461 1246 (Ann)

– Blog : http://anggunibu.wix.com/jamu

– Facebook Page : JAMU Anggun Ibu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4 Comments

Add a Comment
    1. Fuhh.. entry beribu khatam dalam masa semalam je? Kalau khatam quran, dah berapa gunung pahala dah boleh dapat.. hihi..

      Apa pun, terima kasih kerana sudi mengikuti penulisan Ustaz Love. Kena sabar sikit nak tulis komen sebab kena jawab soalan kira2, sebab nak elakkan robot spammer menghantar komen yang tiada kaitan dengan topik.

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme