I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Jual Mahal Atau Jual Murah?

Assalamualaikum.

Ustaz, saya sudah berkenalan dengan seorang pemuda yang alhamdulillah, baik dan cukup segala syarat untuk menjadi seorang suami. Paling utama saya cukup tertarik dengan kebaikan agamanya. Cuma satu sahaja yang pernah menjadi kegusaran saya satu ketika dahulu, adalah usianya yang muda 2 tahun dari saya. Namun, alhamdulillah, antara kami berdua, perkara itu dapat dipersetujui dan diselesaikan dengan baik.

Setelah hampir 5 bulan berkenalan, kami bercadang untuk meneruskan kepada pernikahan. Apabila dia cuba menyatakan hasrat kepada ibu bapanya, bapanya menentang keras kerana usia saya.

Dan apa yang menyedihkan saya adalah, pemuda ini setelah lama berbalah dengan ayahnya, terpaksa melepaskan saya pergi kerana tidak mahu saya terluka akibat kemarahan mertua.

Saya meminta nasihat ustaz tentang 2 perkara:

1. Saya sedikit kecewa kerana pemuda itu mahu melepaskan semua ini begitu sahaja. namun saya bersangka baik bahawa beliau terpaksa melakukan begitu untuk kebaikan saya. Saya memohon pandangan ustaz dari kaca mata seorang lelaki.

2.. Selama berkenalan, saya cuba bermain tarik tali dan jual mahal, dan cuba menyimpan segala perasaan sampai hari kami bernikah. Tindakan saya selama ini, sebenarnya mempengaruhi keputusan pemuda itu, kerana beliau beranggapan, saya mungkin takkan apa-apa kerana saya tidaklah nampak seperti mahu bersungguh-sungguh untuk meneruskan perhubungan ini. Apabila perkara ini berlaku,saya berpendapat, bahawa once and for all, i need to let him know. Is this going to be helpful?

3. Paling utama, saya tak tahu, samada ini petunjuk saya tidak berjodoh dgn dia, and i should just let this go, atau ini sebenarnya ujian dalam perhubungan ini, and i should fight for it. Ustaz sebut dalam entry, lelaki yang baik bukan mudah dicari, bila sudah ada, teruskan perhubungan itu. I’m caught in between. Perlu berserah pada ketentuan jodoh ke atau berusaha mempertahankan yang telah datang dan ini jodohnya.

I’m lost in words. I hope you get the whole point I’m trying to ask. Balasan ustaz yang segera amat-amat saya hargai.

Wassalam

~ Khawla.

Bagi seorang lelaki, beliau tidak memerlukan persetujuan seorang wali untuk beliau menikahi seorang wanita yang diinginkannya. Berbeza dengan wanita yang memang memerlukan izin dan persetujuan wali untuk bernikah. Namun, persamaan antara keduanya dalam hal ini adalah keredhaan dan restu ibu bapa yang sangat diperlukan bagi memulakan sebuah perhubungan yang sah. Ini kerana apabila seorang lelaki dan wanita itu bernikah, mereka bukan sekadar bernikah secara individu, sebaliknya mereka turut ‘bernikah’ dengan ahli keluarga pasangan itu. Maksudnya di sini, ibu bapa pasangan turut dianggap sebagai ibu bapa sendiri. Adik beradik pasangan juga akan dianggap sebagai adik beradik sendiri, sekalipun ada beberapa perkara yang masih perlu dijaga seperti aurat dan pergaulan yang perlu dibatasi berbanding dengan keluarga kandung.

Jika seseorang itu bernikah tanpa restu ibu bapa, maka perkahwinan itu akan bermula dengan agak payah. Kepayahan ini mungkin akan menggugat keharmonian rumahtangga suatu masa nanti. Jika kita bergaduh dengan seorang yang asing dalam hidup kita, kita mungkin boleh melupakan terus beliau daripada kehidupan kita. Namun, bagaimana kita nak buang ibu bapa kepada pasangan kita jika mereka berterusan tidak sukakan kita? Mungkin nanti kita akan terpaksa makan hati berulam pegaga sehingga ke akhir hayat kita atau mereka.

Cuma yang perlu saudari perhatikan, sejauh mana usaha saudari untuk menjalin hubungan baik dengan bapa kekasih itu. Adakah saudari hanya mengharapkan kekasih saudari memujuk bapanya semata-mata? Mungkin once for all, saudari perlu juga berjumpa dengan bapa kekasih saudari itu. Mungkin dengan pertemuan empat mata atau sepuluh mata, bapa kekasih saudari itu akan lembut hati untuk menerima saudari sebagai menantunya.

Pada Ustaz Love, tindakan yang diambil oleh lelaki itu adalah tepat untuk kebaikan kedua belah pihak. Bila kita cintakan seseorang, kita takkan sanggup melihat orang yang kita cintai itu dilukakan oleh orang lain, apatah lagi orang itu adalah orang yang paling kita kasihi dan hanya ada satu saja dalam dunia ini iaitu ibu bapa. Beliau mungkin tidak sanggup untuk memikirkan bagaimana situasinya nanti bila sudah berkahwin, terpaksa menjadi orang tengah dalam perhubungan saudari dan mertua. Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Keputusan ini sebenarnya tidak ada kaitan dengan isu saudari jual mahal atau jual murah. Jika saudari jual murah sekalipun, ia tetap takkan mengubah keputusan lelaki itu kerana beliau lebih mementingkan keluarganya. Bahkan ia nampak seperti saudari pula yang terhegeh-hegeh mengharapkan kasih lelaki itu. Lebih baik jual mahal kerana ia lebih eksklusif dan hanya orang terpilih saja yang layak untuk membelinya. Barang yang mahal biasanya diletak dalam bekas yang selamat. Sama seperti perhiasan emas yang diletak dalam cermin di dalam kedai, siap dengan pengawal bersenjata yang menjaganya. Berbeza dengan emas tiruan yang dijual di tepi jalan.

Mungkin juga ada kaitan dengan sikap saudari yang tidak berterus-terang tentang isi hati saudari. Namun, ia bukan persoalan utama. Apabila sudah merancang perhubungan sampai ke tahap untuk bernikah, ia secara tak langsung telah menjelaskan hasrat hati saudari dan kekasih. Bagi seorang lelaki, mereka biasanya tidak memerlukan ucapan kasih sayang setiap hari daripada pasangannya, sebaliknya hanya memerlukan layanan yang baik yang mengikat hati mereka (ini bagi pasangan yang sudah berkahwin). Berbeza dengan wanita yang sangat memerlukan ucapan kasih sayang walaupun ayat yang diucapkan itu adalah ayat yang sama sejak 10 tahun yang lepas.

Saudari perlu yakin bahawa jodoh saudari sebenarnya telah ditentukan oleh Allah. Usaha saudari mencari jodoh itu hanyalah sebahagian daripada ikhtiar kita mencari yang terbaik untuk diri. Sama juga seperti kita bekerja untuk mencari rezeki. Hakikatnya, jodoh dan rezeki itu ditentukan oleh Allah juga.

Kita tidak akan mengetahui siapa jodoh kita, berapa lama jodoh kita dan bagaimana kita akan bertemu jodoh. Itu semua rahsia Allah. Bukan tugas kita untuk menilik adakah itu jodoh kita disebabkan kita mempunyai iras wajah yang sama, hobi yang sama, warna kegemaran yang sama, genre muzik yang sama. Kalau jantina yang sama, memang sah-sah itu bukan jodoh kita. Hihi.

Ada orang bercinta dengan orang lain, tapi berkahwin dengan orang yang lain. Ada yang bercinta dan berkahwin dengan orang yang sama. Ada yang berkahwin dengan orang yang pernah dimusuhinya. Ada yang berkahwin dengan orang yang dicintai pada awalnya, tetapi berakhir dengan perceraian. Ada yang berkahwin dengan orang yang tidak pernah dicintainya, tetapi berkekalan sehingga akhir hayat. Semua itu adalah keajaiban jodoh. Ia jadi ajaib kerana tiada seorang manusia pun yang mampu menentukan jodohnya.

Kalaulah dengan sikap ‘jual mahal’ itu, saudari menyangkakan ia menyebabkan jodoh saudari berat, maka ia merupakan suatu perkara yang boleh menjerumuskan diri dalam syirik. Berapa ramai wanita yang ‘jual murah’ sampai nampak seperti wanita murahan, mengakhiri hidup mereka tanpa berjodoh? Berapa ramai wanita yang jual mahal, tetapi menjadi rebutan jejaka-jejaka yang berkenan?

Buah yang jatuh daripada pokok, mungkin tiada orang yang sanggup mengambilnya untuk dimakan kerana isinya sudah terdedah dan kulitnya sudah merekah. Mungkin hanya akan disepak dan dipijak oleh orang yang lalu-lalang. Buah yang tergantung di tangkainya, tidak semua orang mampu mencapainya. Hanya mereka yang terpilih dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya sahaja yang akan sanggup memanjat untuk memetiknya daripada tangkainya.

Saudari jangan terlalu risaukan perkara ini. Anggap saja ia bukan jodoh saudari. Itu lebih mudah. Sama seperti kita nak membeli nasik lemak sambal sotong daripada makcik yang menjual di tepi jalan. Bila diberitahu bahawa sambal sotong dah habis dijual, kita mungkin akan rasa sedikit terkilan. Namun, minda kita akan cepat untuk menyerap kesedihan itu dan beranggapan kita tiada rezeki pada hari itu. InsyaAllah, esok mungkin kita akan punya rezeki untuk menikmati nasik lemak sambal sotong tersebut.

Cuma dalam bab perhubungan ini, sikap yang patut diambil berat adalah bersikap sederhana dalam semua perkara. Jangan jadi terlalu pendiam seolah-olah macam ada ketulan emas dalam mulut. Jangan pula jadi terlalu peramah sehinggakan orang nampak seperti murai tercabut ekor. Jangan pula jadi terlalu sombong dan ego sehingga mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang cuba nak berkenalan dan sebagainya. Macam mana kita mahu orang menjaga hati kita, macam itu jugalah orang mahu kita menjaga hati mereka. Jika nak terima, terimalah dengan baik. Jika nak menolak juga, tolaklah dengan baik.

Memang benar bahawa lelaki yang baik itu sukar untuk dicari, namun bukanlah bermakna hanya kekasih saudari itu saja lelaki baik yang ada dalam dunia ini. Ramai lagi lelaki yang baik yang mungkin belum saudari temui. Ustaz Love juga seorang lelaki yang baik, tetapi Ustaz Love sudah berpunya. Maaf ye. Kiki.

Apa yang penting, kita jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Anggap saja ini ujian buat saudari. Mungkin Allah nak berikan lelaki yang lebih baik yang lebih menyintai saudari dan saudari lebih menyintainya suatu hari nanti. Dekatkanlah diri dengan Allah dengan menjaga amalan fardhu dan memperbanyakkan amalan sunat. Bacalah al-Quran setiap hari dan berikanlah sedekah. InsyaAllah, hati saudari akan lebih tenang dan dapat mengatasi masalah ini dengan lebih waras. Lakukanlah solat istikharah dan mintalah petunjuk daripada Allah. Semoga Allah memberikan petunjuk yang terbaik buat saudari.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4 Comments

Add a Comment
  1. Rasanya kalau alasan bapa lelaki tersebut tak munasabah, mungkin masih boleh dipujuk, but lelaki tersebut kena usaha lebihlah.
    Just sharing, saya pun tidak disukai oleh keluarga mertua pada asalnya dsebabkan kami jauh, saya org pahang dan suami orang sarawak. Mereka takut suami akan terus menetap disemenanjung dan tak balik2.
    Tapi alhamdulillah, suami berjaya memujuk hati ibu dan ayahnya, kami berkahwin juga dan isu ni sekarang dah tiada lagi. Tambahan kami memang sebaik mungkin cuba untuk selalu balik dan spend time with them… telefon selalu, duit belanja tak pernah lupa. alhamdulillah… ibu mertuaku dah seperti ibuku jua 🙂
    MR recently posted..Restock : Mudahnya Belajar Bahasa InggerisMy Profile

  2. Assalamualaikum ustaz…maaf jika cara saya menghantar pertanyaan ini salah krn sy kurang tentang IT cuma apa yg ingin sy tanyakan sy ini sgt kecewa dgn ibu sy krn terlalu tidak merestui sy dgn pasangan sy hingga snggup memaksa menikah dgn anak spupunya yg juga bekas tunang kakak sy smpai sanggup mengatakan kalau sy tidak menerima anak spupunya sy bukan anak dia, mmng benar anak spupu ib sy sgt baik tp itu krn ingin menumpang khidupan kami krn ibu beliau spupu kpd ibu sy mmpunyai byk hutang dan cara langsaikan hutang ini dgn menolak anak llaki sulong dia kpd ibu sy… Sy sangat kecewa mmng benar ibu sy inginkan yg trbaik tp bg sy ibu sy silap langkah ibu sy tidk merestui sy dgn pasangan sy hnya krn spupu pasangan sy ialah seorg penjual dadah dan mmpunyai kisah silam dgn adk kpd ibu sy sehingga pasangan sy yg dipersalahkan sedangkan pasangan sy sudah melalukan perlbagai cara untuk mendapat restu ibu sy sehingga trpaksa menebalkan muka meluahkan perasaanya trhdp sy kpd ibu sy tapi ada saja yg salah pd pandangan ibu sy serba tidak kena walhal ibu sy yg memulakan langkah dahulu ingin pasangan sy dtg kerumah utk kenal2 bila makin rapat ibu sy berperangai seperti ini smpai sanggup menuduh dan menghina pasangan sy krn pasangan sy bukanlah anak org berada dan rumahnya hnya dibelakang rumah sy… Ustaz.. Tolong sy untuk menyelesaikan masaalah ini bantu sy untuk kuat ssunguhnya sy tidak kuat sama sekali sy amat kecewa 😢😭 bantu sy ustaz…???

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme