I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Salahkah Menggunakan Telefon Bimbit Berkamera?

Salam ustaz.

Saya nak tanya, salah ke saya menggunakan handphone yang ada camera? Saya teringin nak guna handphone tapi family saya tak bagi. Kalau saya guna pun mereka rampas. Umur saya pun dah 19 tahun. Kadang-kadang fikir nak mati saja. Saya dilayan macam anak yatim di rumah. Kalau cakap nak guna handphone camera, terus layan saya macam anak yatim. Tak tentu pasal pukul saya. Apa pendapat ustaz?

~ Aini.

 

Banyak kenyataan yang Ustaz Love terima daripada kalangan remaja dan budak sekolah menyatakan mereka mahu mati, membunuh diri, lari dari rumah dan sebagainya hanya disebabkan masalah yang remeh-temeh. Berselisih faham dengan ibu bapa pun nak bunuh diri, bergaduh dengan kawan baik pun nak telan racun. Apa murah benar harganya nyawa mereka ini? Kucing pun tak sanggup nak bunuh diri, sekalipun dipercayai oleh orang Melayu mempunyai 9 nyawa (entah datang daripada mana kenyataan tersebut).

Ini kebanyakannya berpunca daripada mengikutkan rasa hati. Sebab itu ada pepatah Melayu mengatakan, “Ikut nafsu, lesu. Ikut hati, mati”. Adakah kita menyangka dengan membunuh diri itu akan menamatkan penderitaan kita di dunia? Benar, ia menamatkan penderitaan kita di dunia, sebaliknya ia memulakan penderitaan di akhirat buat selama-lamanya. Orang yang membunuh diri, akan mengulangi perbuatan yang dilakukannya itu di dalam neraka. Jika membunuh diri dengan pisau, dia akan mengulangi perbuatan itu buat selamanya di dalam neraka. Jika membunuh diri dengan meminum racun, dia akan mengulangi perbuatan minum racun itu. Jadi, sakitnya rasa membunuh diri itu cuma akan dirasai sekali sahaja di dunia, tapi akan dirasai berulang-kali di akhirat nanti.

Jangan sekali-kali terfikir untuk menamatkan riwayat hidup disebabkan menghadapi masalah. Zikir nak mati itu tak selayaknya bermain di bibir mulut. Kita diperintahkan untuk mengingati mati supaya kita membuat persediaan bekalan untuk alam akhirat yang bakal kita tempuhi nanti, dan bukannya suruh kita menyebut-nyebut perkataan “nak mati” sedangkan amalan kita masih kurang. Dosa saja yang semakin hari semakin bertambah.

Masalah menggunakan handphone berkamera bukanlah masalah besar. Jika kita faham matlamat dan arah tuju kehidupan kita, gadjet-gadjet semua itu takkan mendapat tempat yang istimewa dalam hati kita. Apa guna ada handphone yang canggih, sedangkan baki kredit nak membuat panggilan pun tak cukup. Terpaksa pula minta ibu bapa untuk tolong top-up.

Handphone adalah suatu keperluan untuk berhubung, dan bukannya keperluan untuk bermewah atau nak tunjuk kepada orang lain. Soal kemampuan itu letakkan di tempat kedua. Mampu membeli atau tidak bukanlah persoalannya. Yang menjadi persoalan adalah, natijah kepada penggunaan telefon berkamera itu sendiri.

Jika saudari perlu menggunakannya untuk tujuan mengambil gambar, boleh saja saudari gunakan kamera sebenar. Tak pakai telefon berkamera pun tak apa. Yang paling ditakuti oleh para ibu bapa adalah bila telefon berkamera itu disalahguna oleh anak mereka yang masih mentah dalam memahami pancaroba hidup. Tambahan lagi budaya ber-selfie (mengambil gambar sendiri dan syok sendiri) telah semakin berleluasa di negara ini.

Bayangkan seorang anak perempuan yang sentiasa menjaga ikhtilat (pergaulan), jarang keluar rumah dan menutup aurat dengan sempurna, dikesan menggunakan telefon berkamera untuk mengambil gambar auratnya di dalam bilik dan akhirnya tersebar di internet? Akhirnya nanti siapa yang malu? Mereka dan juga keluarga mereka juga.

Jika saudari telah berkerjaya, tiada masalah jika saudari nak menggunakan duit sendiri untuk membeli telefon berkamera, nak beli kamera bertelefon pun boleh. Masa tu, tiada siapa yang mampu nak melarang. Walaupun harga telefon berkamera sekarang ini sudah murah, namun jika peruntukan yang digunakan untuk membeli telefon itu digunakan untuk tujuan lain, mungkin ia lebih memberikan manfaat.

Saudari terlalu berprasangka dengan keluarga sehingga mengganggap diri seperti anak yatim bila tidak dibenarkan menggunakan telefon berkamera. Daripada sini sebenarnya sudah boleh nampak betapa kematangan saudari masih lagi belum sampai ke tahap yang boleh dibanggakan walaupun sudah akil baligh. Anak yatim, jangan kata nak pakai telefon berkamera, nak pakai telefon cikai pun belum tentu lagi. Makan minum pun terpaksa menumpang belas ihsan keluarga angkat atau penjaga. Bab saudari dipukul tu memang tak sepatutnya berlaku sebab saudari sudah dewasa, dah tak layak dipukul.

Jangan hanya melihat kepada satu saja kehendak saudari yang tidak dipenuhi sehingga melupakan betapa banyak jasa ibu bapa dalam membesarkan saudari. Ustaz Love percaya, ada sebabnya mengapa ibu bapa menghalang kehendak saudari itu. Saudari tanyakan saja terus-terang kepada ibu bapa untuk mengetahui sebabnya, dan hormatilah keputusan mereka. Saudari masih lagi mampu menjalani hidup seperti biasa sekalipun tidak mempunyai telefon berkamera.

Saudari banyakkan bersabar. InsyaAllah, banyak hikmah di sebalik perkara yang berlaku. Jangan terlalu memikirkan perkara ini sehingga menyebabkan tekanan melampau sampai ke tahap terfikir untuk mati. Fikirkan bagaimana nanti kehidupan saudari selepas mati, nescaya keinginan saudari terhadap kesempurnaan dunia ini akan termati dengan sendirinya.

Ustaz Love ada terbaca sebuah komik di internet. Seorang budak lelaki ternampak satu iklan Play Station 4 (PS4 -permainan video) akan keluar tak lama lagi. Beliau telah mengumpulkan duit dengan melakukan pelbagai kerja seperti membersihkan halaman rumah jiran, menjual biskut dan sebagainya. Bila duitnya sudah cukup, beliau telah berjalan menuju ke kedai yang menjual PS4 itu. Dalam perjalanan, beliau telah melihat satu lagi iklan yang ditampal berkaitan suatu bencana ribut taufan yang berlaku di Filipina. Beliau melihat kanak-kanak yang sebaya dengannya hidup dalam keadaan kekurangan makan, pakaian dan tempat tinggal yang tidak sempurna. Akhirnya, beliau memutuskan untuk memberikan semua wang yang dikumpulkannya untuk membeli PS4, kepada mangsa bencana alam tersebut.

Ustaz Love yakin, itulah sebenarnya kepuasan dan kegembiraan dalam hidup, iaitu bila kita memberikan apa yang kita ada untuk keperluan orang lain. Suatu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata berbanding kepuasan memiliki apa yang kita kehendaki. Bukan sahaja Allah memberikan kegembiraan kepada mereka yang memerlukan, Allah akan memberikan kepuasan dan kegembiraan juga kepada kita yang memberikan sedekah. Bahkan di akhirat nanti, kita akan diberikan ganjaran pahala atas sedekah yang kita lakukan.

Hidup ini adalah untuk memberi. Berikanlah kegembiraan kepada ibu bapa selama hayat mereka masih ada. InsyaAllah, kegembiraan juga akan menjadi milik kita, bila kita menggembirakan orang lain, apatah lagi kepada orang yang telah banyak berjasa kepada kita.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme