I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Hijab Terbuka

Salam.

Macam mana nak tutup mata kanak-kanak 8 tahun dari dapat melihat benda-benda yang menakutkan dan membuka pintu hatinya untuk ke sekolah kembali? Anak saya ini tidak mahu ke sekolah kerana dia melihat benda-benda yang menakutkan dan apabila ditukarkan ke dua tiga buah sekolah lain, perkara ini masih berlaku.

Saya juga telah berikhtiar dengan cara moden dan tradisional dan jawapan yang saya terima Tuhan membuka Hijab kepada anak saya dan anak saya ada pendamping iaitu di kalangan alim ulamak dan pengamal agama dan anak saya dapat merawat orang yang terkena gangguan. Masalah saya bagaimana cara saya untuk mengatasi perkara ini memandangkan anak saya masih kecil dan masih bersekolah.

~ Ibu.

 

Hijab adalah sesuatu yang menutup. Jika memakai tudung, ia dikatakan memakai hijab untuk menutup kepala yang merupakan sebahagian aurat wanita. Tirai yang menutup jemaah wanita daripada pandangan jemaah lelaki di masjid juga dipanggil hijab atau tabir. Jika disingkapkan hijab itu, akan terbukalah apa yang disembunyikan selama ini.

Alam ghaib dihijab oleh Allah daripada pandangan mata kasar manusia. Manusia hanya mampu melihat alam nyata kecuali manusia yang diberikan kelebihan untuk melihat perkara yang tidak nyata. Pengalaman Ustaz Love yang sudah hidup berpuluh tahun ini, belum pernah sekalipun Ustaz Love dibuka hijab untuk melihat makhluk halus seperti jin dan syaitan. Malaikat memang tak pernah jumpa la secara nyata. Walaupun Ustaz Love juga pernah menjadi pengamal perubatan Islam yang cuba membantu untuk merawat pesakit yang terkena gangguan jin, sama ada dirasuk atau saka keturunan, namun Ustaz Love tidak mampu untuk melihat makhluk tersebut. Hanya sekadar dapat merasai kehadirannya. Dan jika boleh, Ustaz Love memang tak ada pun keinginan untuk berjumpa dengan makhluk-makhluk ini. Takut terkencing dalam seluar saja nanti. Kiki.

Tidak dapat dinafikan bahawa makhluk jin ini adalah makhluk yang buruk rupanya. Secara zahirnya, mereka digambarkan mempunyai tanduk, ekor dan wajah yang menakutkan. Sebab itu mereka dipanggil dengan gantinama ekor dan bukan orang. Seekor jin, bukan seorang jin. Keburukan rupa paras mereka memang menakutkan bagi mereka yang penakut, dan tetap juga memberikan keseraman bagi mereka yang berani. Jika kita melihat seorang manusia dewasa yang meleleh hingusnya dengan bau yang busuk pun kita boleh nak termuntah, apatah lagi melihat makhluk jin yang mungkin lebih buruk wajahnya daripada itu.

Cukup setakat itu berkaitan jin. Kita kembali kepada cerita manusia.

Manusia adalah makhluk yang paling sempurna diciptakan oleh Allah. Tiada makhluk lain yang lebih hebat ciptaannya berbanding manusia. Walaupun manusia tak mampu terbang seperti ayam, tak mampu menyelam lama seperti penyu ataupun hidup di dalam tanah seperti cacing, namun itu bukanlah penentu kecacatan manusia. Manusia adalah khalifah di atas muka bumi. Makhluk-makhluk lain hanya berkhidmat untuk keselesaan kehidupan manusia. Seorang khalifah tak perlu terbang, tak perlu menyelam dan sebagainya. Seorang khalifah hanya perlu menguruskan kehidupannya di dunia ini sesuai dengan kehendak Allah dan RasulNya.

Bagi Ustaz Love, kebolehan melihat alam ghaib ini bukanlah suatu kelebihan. Ada kalanya, ia lebih kepada kekurangan. Allah sudah menutup hijab manusia daripada melihat perkara ghaib, namun jika ia dibuka dengan sebab mencari-cari jalan untuk membukanya, maka ia tak lebih menampakkan kekurangan manusia itu sendiri yang tidak menghargai nikmat yang diberikan oleh Allah.

Hasil daripada hijab ditutup ini, manusia lebih dinilai akan keyakinannya terhadap perintah Allah dan RasulNya. Jika hijab dibuka seluruhnya seperti yang dialami oleh ahli kubur, maka keyakinan mereka ketika itu sudah tidak bernilai kerana sudah nampak segala perkara yang disembunyikan selama ini seperti azab kubur, dosa pahala dan sebagainya. Sebab itulah diceritakan dalam surah as-Sajdah, bagaimana ahli kubur meminta supaya dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal kebaikan disebabkan mereka telah melihat segala perkara yang dihijab sebelum ini dan mereka telah yakin sepenuhnya, namun keyakinan ahli kubur tidaklah diterima. Jika nak beriman dan yakin, tempatnya adalah di dunia.

Kebolehan melihat makhluk halus ini adalah sebahagian daripada kebolehan melihat alam ghaib. Sebab makhluk halus seperti jin dan syaitan ini tidak mampu dilihat oleh orang biasa melalui mata kasar. Bahkan nak melihat lubang pusat kerengga pun terpaksa menggunakan kanta pembesar, apatah lagi makhluk jin yang tidak mempunyai jisim yang nyata.

Akibat daripada terbukanya hijab ini, maka manusia tidak akan dapat hidup dengan aman. Bayangkan tengah makan, nampak makhluk itu bertenggek di atas meja. Nak berak, nampak beliau tengah main skipping dalam jamban. Nak tidur, mereka main peek-a-boo (cak cak) depan muka. Boleh jadi gila dibuatnya.

Ada orang yang dibukakan hijabnya atas sebab ilmunya (contohnya menuntut ilmu perbomohan, khurafat dan sebagainya). Ada yang dibukakan hijab atas sebab karamah (keramat) yang juga dipanggil kasyaf. Ada juga yang dibukakan hijabnya disebabkan gangguan jin.

Nyatalah, terbukanya hijab ini bukanlah suatu kelebihan, sebaliknya ia merupakan sejenis gangguan. Seorang yang terkena gangguan jin ini kebiasaannya boleh melihat makhluk halus yang orang lain tak mampu nak melihatnya. Pengalaman Ustaz Love berhadapan dengan seorang pelajar wanita yang mengalami kerasukan, beliau menjerit-jerit sambil menunjuk ke arah tingkap biliknya mengatakan ada makhluk berwajah hodoh sedang mengintai di celah tingkap nako tersebut, sedangkan Ustaz Love dan kawan-kawannya yang ramai berada di dalam bilik itu tidak melihatnya. Dan agak mustahil manusia yang sedang mengintainya, kerana bilik beliau berada di tingkat empat asrama. Mana ada manusia setinggi itu mampu melakukan aktiviti skodeng, sedangkan bahagian belakang bilik itu tiada balkoni.

Gangguan jin yang berdamping ini biasanya disertai dengan kebolehan-kebolehan tertentu. Ada orang yang dikurniakan kebolehan mengurut walaupun tidak pernah belajar. Ada orang yang mampu bersilat walaupun tidak pernah berguru. Ada orang yang mampu mengubati penyakit walaupun tidak pernah menuntut ilmu perubatan. Ada juga orang yang mampu melihat makhluk halus. Mereka mungkin menyangka bahawa ia merupakan anugerah yang diberikan oleh Allah, tetapi bagi Ustaz Love, ia merupakan suatu ‘kehebatan’ yang dibantu oleh jin dan syaitan yang mana ia diizinkan oleh Allah untuk berlaku.

Dunia ini adalah darul asbab. Tempat untuk semua sebab dan musabab. Itu adalah sunnatullah. Kita kenyang dengan sebab kita makan. Kita sembuh dengan sebab makan ubat. Kita mati dengan sebab kemalangan. Kita mendapat anak disebabkan melakukan hubungan kelamin dengan isteri. Itu semua adalah asbab. Namun, ada satu lagi yang mengatasi sunnatullah ini iaitu qudratullah. Dengan kudrat Allah, Allah boleh menjadikan sesuatu ia berlaku dengan asbab, tanpa asbab mahupun berlawanan dengan asbab. Ini biasa kita dengar daripada kisah-kisah Nabi dan para wali yang penuh dengan mukjizat dan karamah. Kisah Nabi Musa a.s. dengan Firaun contohnya. Dengan air laut yang sama, Allah menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya. Dengan air laut yang sama juga, Allah menenggelamkan Firaun dan tenteranya. Begitu juga dengan kisah Nabi Ibrahim a.s. dan Namrud. Nabi Ibrahim selamat dan sejahtera di dalam api yang sepatutnya membakar, sedangkan orang-orang yang melihat peristiwa itu pula kepanasan akibat bahang kepanasan api tersebut. Begitu juga dengan kisah Maryam yang melahirkan Nabi Isa a.s. tanpa bapa, walaupun secara logiknya kita memerlukan lelaki dan perempuan untuk mendapatkan seorang anak. Lesbian yang melakukan hubungan intim pastinya tidak akan menghasilkan apa-apa zuriat, begitu juga sebaliknya. Keyakinan kepada kisah-kisah yang diceritakan dalam al-Quran inilah yang dinamakan iman, sekalipun kita tidak melihatnya ataupun berlawanan dengan logik akal kita.

Sunnatullah tidak mendatangkan keyakinan kepada kita, bahkan mungkin boleh menyebabkan kita tersilap keyakinan. Jika kita meyakini asbab yang memberikan kesembuhan kepada penyakit kita adalah ubat ataupun doktor, maka tanpa kita sedari sebenarnya kita telah mensyirikkan Allah yang merupakan Pemberi Kesembuhan kepada kita. Kita hanya berikhtiar, sebaliknya kita tetap kena meyakini bahawa Allah yang menyembuhkan kita, dan bukannya ubat-ubatan yang kita makan. Begitu juga dengan pekerjaan kita. Kita bekerja kerana ia perintah Allah, tetapi dengan meyakini bahawa pekerjaan kita itulah yang memberi rezeki, kita telah menidakkan Allah sebagai Pemberi Rezeki kita. Sebab itu ada orang yang bekerja sehingga melalaikan perintah Allah dan ada yang sanggup melakukan jenayah kerana takut rezekinya tidak cukup untuk dirinya dan ahli keluarga.

Selain itu, sihir dan istidraj juga merupakan sesuatu yang luar biasa dan melanggar logik akal kita. Namun, jika diizinkan Allah untuk berlaku, maka ia boleh berlaku. Cuma natijah akhirnya, bukanlah kebenaran yang akan kita dapat, bahkan kesesatan yang nyata. Semua ini adalah asbab. Terbukanya hijab itu juga adalah asbab gangguan jin, yang berlaku dengan izin Allah.

Daripada cerita puan yang bertemu dengan pengamal perubatan tradisional, pada pandangan Ustaz Love, itu adalah suatu langkah yang kurang tepat. Berjumpa bomoh yang kebanyakannya menipu, maka penipuan jugalah yang akan dikhabarkan. Tak perlu ambil berat sangat apa yang dikhabarkan oleh bomoh itu. Bahkan puan perlu bertaubat kerana bertemu dengan bomoh, terutama yang melakukan upacara menilik dan sihir.

Carilah pengamal perubatan Islam yang lebih jelas ikhtiar dan amalannya seperti perawat Darul Syifa’. Dalam usia anak puan yang baru mencapai 8 tahun, masih terlalu muda untuk menanggung kesan dan akibat daripada perkara ini. Ustaz Love sendiri tidak tahu caranya untuk menutup hijab itu, tetapi Ustaz Love yakin sekiranya gangguan yang berlaku pada anak itu disingkirkan, insyaAllah, anak puan akan kembali normal seperti kanak-kanak biasa. Jangan dibiarkan saja perkara ini berlarutan tanpa usaha dan ikhtiar dengan anggapan anak itu didampingi oleh jin yang alim yang memberikan kebolehan kepada anak puan untuk merawat orang yang terkena rasukan.

Disamping itu, puan perlu lakukan solat hajat dan banyakkan berdoa semoga Allah menutup kembali hijab yang terbuka itu. Hidupkan rumah dengan amalan ibadah seperti bacaan al-Quran, zikir, solat sunat dan banyakkan bersedekah. Tanggalkan semua gambar-gambar dan patung-patung permainan. Kurangkan hiburan daripada TV atau radio. InsyaAllah, bila rumah kita hidup dengan amal ibadah, jin dan syaitan tidak akan sanggup untuk tunggu lama-lama.

Semoga Allah menyembuhkan penyakit anak puan dan diberikan ketenangan dalam hidup puan sekeluarga.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

7 Comments

Add a Comment
  1. Ya Allah. Anak puan mungkin sama apa yg saya alami dahulu…
    Alhamdulillah skrg dh berkurang. Tp ketakutan itu masih ada.

    1. saya rasa ia kelebihan sbb dpt mmbntu org lain sesama makhluk yg x nmpk ni..dpt mngubat dpt mnghalau jin syitan yg ada di rumah yg mereka ni nmpka…..sama blaku..jumpa ustaz dia ckp emang ada pendamping org alim yg di gelar tok ayah….anak kecil ini dpt mengubat org sakit dan sbgainya…..mampu melihat alam ghaib..kt skolah nya ada beberapa org dan mereka berkawan..kalo berlaku kerasukan mereka inilah yg akan menolong mnghalau…itulah sedikit yg dpt dikongsi…wallahualam

  2. nak tahu jugak! ap yg akan terjadi kalau hijab terbuka dan macam mna kita nk taw yg seseorang itu dibukakan hijabnya??

  3. Apabila manusia boleh melihat rupa jin yg sebenar, lintang pukang manusia lari. Sebab itu Allah cuma bagi kelebihan hijab terbuka pd orang2 tertentu krn tak semua orang mampu tanggung beban boleh melihat rupa jin yg agak menakutkan itu. Yg selalu ada orang pernah nmpak rupa jin itu pasal jin tersebut sudah menyerupai sesuatu, tetapi bukan rupa jin yg sebenar. Itu pun dh cukup menakutkan.
    Ummar Farouk recently posted..Adakah Manusia Boleh Melihat Dan Membunuh Jin?My Profile

  4. salam ustaz..anak saya baru berusia 3 tahun..dan hijabnya telah terbuka..ada tak kaedah untuk merawat anak saya..kerana anak saya masih terlalu kecil…dan dia sering ketakutan….

  5. Ada cara lain untuk tutup semula hijab tuh?Saya pernah mengalami perkara di atas.Selepas berubat saya ketakutan,malam mimpi yang bukan2x,pernah sekali terjaga dari tidur mimpi yang berada di tempat lain.
    Saya minta pandangan& cara penyembuhan dengan keadaan diri saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme