I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Diugut Ibu Tunggal

Salam Ustaz Love.

Tunang saya berkenalan dengan seorang ibu yang melahirkan anak luar nikah. Ibu ini telah dibuang oleh keluarganya. Anak kepada ibu ini sudah berusia 3 tahun. Tunang saya bercadang untuk menjaga anak ini tanpa memisahkan anak ini dengan ibunya kerana keadaan kehidupan ibunya yang masih muda dan tak mampu nak memberikan didikan yang sempurna pada si anak. Dalam masa yang sama, ibu ini selalu mengugut tunang saya untuk mencederakan anaknya jika kemahuannya tidak dipenuhi. Mohon nasihat dan pandangan ustaz mengenai hal ini.

~ Hamba Allah.

 

Seorang ibu yang benar-benar menyayangi anaknya tidak akan sanggup untuk mencederakan anak sendiri, bahkan tidak akan terfikir pun untuk mempergunakan anaknya untuk memenuhi kepentingan peribadinya. Bila seorang ibu itu sanggup melakukan perkara sebegitu, nyatalah bahawa ibu itu bukanlah begitu mengasihi anaknya, apatah lagi anaknya itu lahir daripada hubungan yang terlarang. Hanya seorang ibu yang mengalami masalah jiwa sahaja yang sanggup melakukan perkara sebegini.

Seorang ibu yang baik akan melindungi anaknya sendiri. Beliau sanggup mengorbankan diri sendiri demi mempertahankan keselamatan anaknya. Jika ibu haiwan sendiri sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk mempertahankan anaknya, apa lagi seorang ibu manusia yang dikurniakan akal dan fikiran yang dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk.

Daripada cerita saudari, nyatalah bahawa ibu itu hanya mempergunakan kelembutan hati tunang saudari untuk kepentingan dirinya. Tak mustahil suatu hari nanti, beliau juga akan menuntut tunang saudari itu untuk meninggalkan saudari dan bertanggungjawab terhadap dirinya dan anaknya.

Walaupun tunang saudari itu belum berkahwin, beliau mempunyai sifat kasih sayang seorang bapa yang tinggi. Sejauh mana hubungan tunang saudari dengan ibu kepada anak itu, tidaklah dapat Ustaz Love untuk mentafsirkannya. Mungkin saudari sendiri lebih mengetahuinya. Jika tidak, saudari perlu bertanyakan tunang itu secara terus-terang atau menyiasat tentang perkara ini. Kita menyiasat sesuatu perkara bukan bertujuan untuk mengetahui keburukannya, sebaliknya kita ingin mengetahui apakah puncanya sehinggakan tunang saudari itu boleh terjebak dengan permainan wanita itu.

Udang sama udang, takkan sama anak tenggiri. Anak orang tetap anak orang, takkan sama anak sendiri. Jangan serabutkan diri dengan masalah orang lain. Kita hanya mampu untuk membantu setakat kemampuan kita saja, dan jangan sampai menggadaikan kebahagiaan sendiri demi nak membantu orang lain, apatah lagi bila orang yang dibantu itu seolah-olah tidak menghargai bantuan yang diberi.

Dalam sebuah permainan bola sepak, keadaan dianggap selamat jika bola berada di kawasan lawan atau pasukan kita sedang melakukan serangan. Jika bola berada di kawasan kita dan pasukan lawan sedang melakukan serangan, kubu pertahanan perlu diperkuatkan. Namun begitu, sampai bila agaknya kita mampu bertahan. Lama kelamaan banteng pertahanan kita akan kucar-kacir dengan asakan pihak lawan yang bertali arus dan kemungkinan besar pintu gol kita akan ditembusi.

Berada dalam keadaan bertahan tidak akan menjamin keselamatan buat selama-lamanya. Kita perlu membalas serangan. Jangan biarkan wanita itu mempergunakan kelemahan tunang saudari itu untuk kepentingan dirinya. Awasi rentak permainannya dan jika berpeluang, lakukan serangan kilat yang mungkin tidak dijangka olehnya.

Ustaz Love bukan nak menyuruh saudari menyerang wanita itu, sebaliknya mempergunakan kesempatan yang ada untuk mengajar tindak tanduk beliau yang keterlaluan itu. Jika saudari mampu, dapatkan bukti fizikal (seperti rakaman percakapan atau sms ugutan) dan buat cover report di balai polis berhampiran. Ini sebagai langkah awal kita berjaga-jaga untuk menjaga keselamatan anak itu. Kemudian, tunjukkan padanya report polis tersebut dan berikan kata dua kepada beliau, sama ada beliau berhenti mengugut tunang saudari ataupun bersedia untuk masuk ke dalam. InsyaAllah, jika beliau masih waras, beliau akan lebih berhati-hati dalam tindakannya pada masa akan datang.

Di pihak tunang saudari pula, saudari nasihatkanlah beliau agar tidak terlalu mempedulikan ugutan wanita tersebut yang ternyata hendak mempergunakannya. Kita takkan mampu nak mengawal semua perkara. Kita hanya mampu memohon pertolongan dan perlindungan daripada Allah agar anak itu selamat di bawah jagaannya.

Jika beliau masih lagi berkelakuan seperti dulu yang mengugut untuk mencederakan anaknya, ada baiknya saudari teruskan dengan laporan polis kerana bimbangkan keselamatan anak itu yang mungkin berada di bawah jagaan seorang ibu yang sedang mengalami tekanan jiwa. Orang yang sakit jiwa ini, kita tak mampu nak menjangka tindakannya. Luaran nampak seperti waras, sedangkan apa yang ada di dalam hati dan kepala hotak berjambulnya itu, hanya Allah saja yang mengetahuinya. Banyak kes-kes pembunuhan yang dilakukan oleh ahli keluarga, disebabkan oleh masalah tekanan jiwa. Mereka tidak boleh dibiarkan hidup dengan orang yang normal, sebaliknya mereka perlu dikurung di tempat yang khusus (seperti di hospital sakit jiwa) untuk diberi bantuan bagi memulihkan tekanan perasaannya.

Saudari banyakkanlah berdoa semoga masalah ini dapat diselesaikan dengan baik. Cuma saudari kena berhati-hati dan jangan mengambil tindakan secara bersendirian, kerana dikhuatiri bakal membahayakan nyawa saudari sendiri. Air yang tenang, jangan disangka tiada ikan.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

1 Comment

Add a Comment
  1. Kita sebagai manusia biasa yang mempunyai komitmen dan tanggungjawab tersendiri mungkin tidak mampu membantu setiap masalah insan lain walupun dihati kita wujud rasa belas kasihan.
    Sekiranya di luar kemampuan kita untuk membantu, cubalah merujuk kepada Pihak Berwajib. Mereka mempunyai cara dan mekanisme yang lebih berkesan untuk menolong golongan ini. Mungkin dengan campur tangan mereka nasib si ibu tunggal dan anaknya ini masih boleh dibela. Kadang kala mereka sendiri tidak mahu dirujuk kepada pihak seperti ini, tapi mungkin mereka mempunyai kaunselor atau siapa sahaja yang berkemahiran untuk memujuk orang seperti ini.
    azwans recently posted..Penakrifan Semula Ibu Tunggal; tiga kategori ibu tunggalMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme