I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Diajak Bercerai Setiap Kali Ditegur

Salam Ustaz,

Saya kini sedang mengandungkan anak kedua, dan anak pertama masih kecil. Suami saya seorang yang tidak boleh dibawa berbincang, dan tidak mendengar nasihat. Namun, terdapat beberapa perkara yang dilakukannya tidak menyenangkan hati saya dan keluarga saya. Contohnya, beliau pergi mendaki gunung bersama rakan-rakan selama seminggu dan mengabaikan tanggungjawab sebagai suami ketika di rumah. Masalah yang timbul tidaklah begitu besar, namun apabila diajak berbincang dan diberi teguran, beliau akan mengugut dan mengajak untuk bercerai. Saya mohon nasihat ustaz, apakah yang harus saya lakukan kerana setiap kali ditegur akan diajak bercerai. Tujuan saya adalah untuk berbincang untuk kebahagiaan rumahtangga namun, yang berlaku sebaliknya.

~ Anon.

Jika seorang isteri selalu meminta cerai, maka ia boleh difahami dengan situasinya yang tidak memiliki hak untuk menceraikan suaminya melalui lafaz (melainkan melalui permohonan di mahkamah). Jika seorang suami yang mempunyai kuasa talak di tangannya, tetapi selalu mengeluarkan perkataan mengugut untuk bercerai, itu tandanya suami itu bukan serius pun nak menceraikan. Itu hanyalah satu kaedah yang beliau cuba praktikkan dan telah terbukti berkesan untuk men’diam’kan isterinya daripada terus membebel dan merungut. Kalau beliau betul-betul nak menceraikan, beliau tak payah nak bising-bising nak ugut sana ugut sini, beliau bagi terus je.

Bila diugut dengan perkataan cerai, isteri biasanya akan jadi takut dan cuba mengelak daripada terus melakukan provokasi yang memungkinkan perceraian itu berlaku. Maka, si suami akan menganggap dirinya sebagai seorang hero  yang berjaya menutup mulut isterinya  dengan hanya mengeluarkan ugutan cerai. Tak perlu nak pujuk isteri untuk memenuhi kehendak suami, tak perlu susah payah nak fikirkan jalan terbaik nak berbincang dengan isteri. Hanya gunakan ugutan cerai. Suruh isteri jangan melawan cakap, kalau tak nanti kena cerai. Suruh isteri basuh baju, kalau tak kena cerai. Suruh isteri mandikan kucing, kalau tak kena cerai. Suruh isteri urutkan bahu, kalau tak kena cerai. Inilah ‘zikir’ cerai yang selalu dijadikan senjata oleh sebahagian lelaki.

Pada pandangan Ustaz Love, puan tak perlu rasa takut dengan ugutan cerainya itu. Biasanya lelaki yang selalu menyebut nak bercerai ni, takkan melafazkan cerai. Sebab ia dah jadi semacam satu tabiat buat dirinya yang sukar dibuang. Umpama seorang yang selalu mengorek hidung, dia akan terasa suatu kehilangan jika tak korek hidung dalam sehari. Begitu juga dengan suami jenis ini, dia akan rasa tak lengkap sebuah pertengkaran, jika tak disertai dengan ugutan bercerai. Berbeza dengan lelaki yang tak pernah mengungkapkan perkataan cerai, biasanya kalau dah sampai ke tahap maksimum kemarahannya (mungkin disebabkan perlakuan isterinya yang sudah melampaui batas), mau dibaginya talak tiga sekaligus. Tak main ajak-ajak cerai dah.

Namun, puan kena bersedia juga dengan sebarang kemungkinan. Seorang yang berjalan di tebing sungai, kebarangkalian baginya untuk tergelincir ke dalam sungai adalah tinggi. Seorang suami yang selalu menyebut ugutan bercerai kepada isterinya, mungkin suatu hari nanti akan tergelincir lidahnya menyebut perkataan cerai itu (bukan ugutan lagi dah). Ini yang biasanya terjadi kepada suami yang selalu mengugut isterinya dengan perkataan cerai, sehingga tak sedar melafazkan talak taklik yang tidak mungkin dapat ditarik kembali. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata terimalah akibatnya.

Dalam menyelesaikan masalah ini, tak dapat tidak, puan dan suami kena berbincang terus-terang. Tak akan berlaku perbincangan jika salah seorang tidak bersedia melakukannya. Jika dibiarkan terlalu lama, masalah akan menjadi semakin besar. Tidak ada tumor yang bertukar menjadi telur, sebaliknya ia bakal menjadi kanser yang sampai ke satu tahap nanti, tidak akan mampu lagi untuk diubati. Biarlah makan sekarang, daripada makan kemudian. Kalau perut dah masuk angin nanti, makanan yang sedap pun tak mampu nak ditelan. Jika nak selesaikan masalah, selesaikanlah sekarang. Jangan tunggu sampai masing-masing memendam perasaan dan menyimpan api kemarahan, kelak nanti akan meletus dan memuntahkan lahar yang membinasakan seluruh ikatan.

Puan jangan terlalu takutkan ugutan beliau, sebaliknya puan kena bertenang dan berlembut dalam ketegasan. Buangkan segala emosi dan perasaan yang boleh mengganggu kelancaran perbincangan. Bicarakan fact and figure, jangan melalut sampai mengungkit-ungkit segala yang tidak berkaitan. Mungkin ia takkan berjaya pada pusingan pertama, tetapi percayalah banyak lagi pusingan yang akan puan tempuhi. Jadi, susun strategi dengan baik. Jangan disebabkan terburu-buru nak selesaikan dalam tempoh yang cepat, puan menang satu pusingan, tetapi kalah pada 99 pusingan lagi.

Dalam hal ini, situasi dan masa sangat memainkan peranan. Perbincangan yang melibatkan hati dan perasaan memerlukan masa, dan memerlukan kesesuaian waktu. Saat yang paling sesuai untuk berbincang adalah ketika berada di dalam bilik tidur, kerana hanya ada 2 aktiviti saja yang biasa dilakukan di dalam bilik tidur iaitu aktiviti tidur dan aktiviti ehem-ehem. Sementara menunggu waktu lena, maka bincangkanlah perkara ini dengan lembut. Jangan menyalahkan suami, kerana beliau mempunyai ego yang tinggi dan hampir mustahil untuk mengakui kesalahan sendiri. Hanya fokuskan pada kehendak puan sebagai isteri yang inginkan lebih perhatian dan masa, tambahan lagi sedang mengandung. InsyaAllah, ia akan masuk ke dalam kepala suami (mungkin akan masuk sampai ke dalam mimpi) dan suami akan cuba mengubahsuai jadualnya agar tidak bertembung dengan keperluan puan.

Biarkan beliau dengan hobi yang beliau ingin lakukan. Jangan terlalu mengongkong pergerakannya, apatah lagi yang melibatkan hobinya sejak muda. Cuma puan berbincanglah dengan beliau untuk menghadkan masa beliau di luar. Jika beliau dah biasa keluar seminggu untuk mendaki, pujuklah beliau untuk kurangkan masa menjadi 6 hari. Begitulah juga seterusnya. Berikan beliau masa untuk berubah perlahan-lahan. Usaha mesti dilakukan dan tak boleh dibiarkan macam itu saja, tetapi usaha itu memerlukan kesabaran dan perancangan yang teratur.

Pada kesempatan ini, Ustaz Love ingin memberikan ingatan juga kepada para lelaki yang bergelar suami. Jangan sesekali mengugut isteri dengan perkataan talak. Banyak lagi cara yang boleh difikirkan untuk mengawal isteri, dan bukannya dengan kerap mengungkapkan ugutan cerai. Sekali terlepas cakap, seumur hidup akan menyesal.

Islam telah mengajarkan cara terbaik untuk mendidik isteri yang degil iaitu dengan memberikan nasihat dan teguran dengan baik. Jika dia tidak berubah, maka pisahkan tempat tidur. Biar dia tidur seorang diri ditemani hantu dan lipas. Jika beliau masih tak berubah, dibenarkan memukul dengan tujuan mendidik, iaitu pukulan yang perlahan di tempat yang banyak daging. Bukan di muka atau di kepala. Kalau isteri gemuk, boleh cubit lengannya. Kiki.

Kalau tak berubah juga, maka janganlah mencari-cari jalan untuk menyakitinya sama ada melalui lisan atau perbuatan. Gunakanlah khidmat ibu bapa untuk mendamaikan dan memujuk isteri. Jika tiada jalan lagi, barulah usulkan proses perceraian. Perceraian itu adalah jalan terakhir dan bukannya langkah pertama dalam menangani masalah rumahtangga.

Jangan berlagak hero mengugut isteri dengan perkataan cerai. Begitu juga dengan isteri, jangan ringan sangat mulut meminta cerai. Kelak jika suami terlepas cakap, pegang kepala la dua-dua tu nanti. Fikir dulu sebelum bertindak.

Yang paling penting, puan kena banyakkan berdoa semoga Allah melembutkan hati suami untuk berubah. Ajaklah suami untuk menjaga ibadah fardhu dan memperbanyakkan ibadah sunat. InsyaAllah, jika hubungan kita baik dengan Allah, hubungan kita sesame manusia juga akan menjadi baik.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 Comments

Add a Comment
  1. Assalamualaikum ustaz.

    Berlaku perbalahan antara saya dan suami. Dan saya meminta cerai. Suami tidak mahukan melepaskan saya. Atas desakan saya suami telah melafazkan janji suami mahukan peluang untuk dirinya. Suami berjanji sekiranya suami tidak berubah suami akan menceraikan saya. Suami mengingatkan saya jika suami tidak berubah terjatuh lah talak pada saya. Berubah yang dimaksudkan pada saya seorang yang lebih baik.

    Persoalannya, jatuh ke talak jika suami saya tidak berubah. Ataupun suami perlu melafazkan kata cerai semula. Dan setelah saya buat sedikit carian saya menemui video ustaz Azhar Idrus. Dan suami telah menarik balik kata2nya untuk menjaga kemashalatan rumah tangga kami. Tetapi kami juga pernah bersetuju sekiranya kami tertalak kami sedia untuk rujuk.

    Tetapi sejak 2 3 hari ini saya kembali takut, kerana ada membaca perkataan serupa suami adalah taklik yang tidak boleh ditarik balik.

    Perkara ini telah berlaku sebulan yang lalu, saya merasakan suami tidak berubah tetapi suami mengatakan berubah dimaksudkan padanya dia menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab. Tetapi saya nampak suami kurang bermain game, lebih masa melayan dan meluangkan bersama saya dan anak, kalau main game waktu saya dan anak dah tidur.

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme