I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Tipah Tertipu Lagi

Saya pun dalam situasi yang sama. Kami berkenalan masa saya ada krisis dengan bekas tunang. Sebab sayangkan dia, saya sanggup putuskan pertunangan. Lepas daripada itu baru saya tahu yang dia sudah beristeri dan punya 2 orang anak. Nak putus dah terlanjur sayang. Kadang bila fikir balik terasa menyesal. Ditipu banyak kali. Sekejap kata dah bercerai, sekejap kata belum cerai. Isterinya menuduh saya yang memaksa dia menceraikannya. Saya sangat sayangkan dia. Saya terlalu percayakan cakapnya. Kawan-kawan saya sampai cakap saya macam dibomohkan. Dah tau ditipu pun masih teruskan juga. Isteri dia pun kadang-kadang ok, kadang-kadang tuduh saya macam-macam. Dia tak berani nak sound laki dia sebab dia tau selama mereka tak duduk bersama, saya yang sara laki dia. Penah kawan-kawan cakap saya bodoh sebab bukan dia saja yang menumpang kesenangan saya, isteri dia pun sama. Dalam pada dia memaki hamun saya, boleh pula dia suruh laki dia ambil kereta saya untuk kegunaan mereka. Memang saya mengaku saya diperbodohkan tapi saya macam tak mampu buat nak buat apa. Berapa kali saya cuba membenci tapi sayang tu terlalu kuat. Ustaz tolong saya.

~ Tertipu.

Kebanyakan manusia memang suka menyelesaikan masalah dengan cara menambahkan masalah. Mereka tak sanggup nak luangkan sedikit masa untuk memikirkan punca masalah dan menyelesaikannya di peringkat akar umbinya, sebaliknya cuba melarikan diri daripada masalah kepada masalah yang lain. Akhirnya masalah yang ada tak dapat diselesaikan, sebaliknya masalah yang baru pula yang bertambah.

Kesanggupan saudari untuk memutuskan pertunangan demi meraikan sebuah cinta yang tak pasti itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Untuk menjalinkan sebuah perhubungan sehingga sampai ke tahap mengikat hubungan itu dengan pertunangan, bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan suatu keazaman dan komitmen yang tinggi untuk menjayakannya, kerana melalui cara pertunangan itu, kedua belah keluarga telah mencapai kata sepakat. Berbeza dengan sebuah perhubungan yang tiada apa-apa perjanjian yang serius, ia bagaikan sebiji telur yang berada di hujung tanduk. Bila-bila masa boleh terjatuh dan boleh pecah tanpa disedari.

Menjalinkan hubungan dengan suami orang bukanlah suatu kesalahan yang serius. Yang serius cuma bila hubungan itu dijalani dengan cara yang melampaui batasan syarak. Seorang lelaki itu berhak untuk berkahwin maksimum dengan 4 orang isteri pada satu-satu masa. Jadi, tak munasabah bagi seorang suami untuk menceraikan isterinya semata-mata ingin bernikah lagi. Sebuah rumah yang siap dibina dan lengkap dengan perabut, tidak perlu diruntuhkan hanya semata-mata disebabkan ingin membina sebuah lagi rumah di sebelahnya. Lagi bagus kalau rumah itu bercantum sekali menjadi sebuah rumah yang besar. Boleh main kejar-kejar dalam rumah.

Bila seorang lelaki memikat wanita dengan cara memburukkan isterinya, maka ketahuilah bahawa lelaki itu bukanlah seorang yang baik. Untuk naik ke atas, tak perlu sampai nak pijak kepala orang lain. Cukuplah dengan berusaha memanjatnya sendiri tanpa perlu merendah-rendahkan isterinya yang sudah tentu telah banyak berkorban untuk dirinya. Bila beliau berjanji untuk menceraikan isterinya, saudari sendiri dah boleh nampak di mana sebenarnya pendirian beliau. Bab berjanji satu hal, bab menipu satu hal lagi. Berdasarkan cerita saudari, nampak sangat banyak penipuan yang dilakukannya terhadap saudari. Itu dalam belum berkahwin dengan saudari lagi. Agak-agaknya, jika difikirkan secara logik, bagaimana nanti bila beliau dah berjaya ‘memegang’ saudari dengan status suami?

Dalam kehidupan ini, jangan utamakan perasaan. Kita diberikan akal untuk memikirkan baik dan buruk sesuatu perkara. Kita juga dikurniakan orang sekeliling yang sentiasa memberikan nasihat dan teguran bila nampak kita tersilap melangkah. Terpulang pada penilaian kita sendiri sama ada nak menerima pandangan mereka atau menolaknya. Kadang-kadang, bila kita duduk di dalam rumah, kita tak mampu nak menyedari sama ada rumah kita itu tegak ataupun senget. Kita memerlukan orang yang berada di luar rumah untuk memberikan pandangan, sebab mereka melihat dari sudut yang berbeza.

Secara peribadi, Ustaz Love bersetuju dengan pandangan kawan-kawan saudari itu (walaupun ada yang tak berapa kena terutama bila melibatkan hal-hal mistik seperti terkena guna-guna, gula-gula, coklat dan sebagainya). Ustaz Love tak nafikan kemungkinan boleh jadi begitu (sebab orang Melayu ni masih ramai lagi yang terlibat dengan perbuatan syirik dan khurafat), namun Ustaz Love lebih suka melihatnya daripada sudut zahir.

Disebabkan saudari sendiri sudah terlalu sayang dengan lelaki tersebut, tak mustahil bagi saudari untuk menyerahkan seluruh jiwa dan raga kepadanya. Saudari mungkin menganggap ia satu bentuk pengorbanan daripada seorang kekasih kepada kekasih, namun ia sebenarnya suatu bentuk kegilaan bagi pasangan yang mabuk dengan cinta. Terlalu banyak orang yang terpedaya dengan permainan perasaan ini sehingga kerapkali melakukan tindakan di luar batas kewarasan.

Saudari seorang perempuan. Jika diikutkan jalan percintaan romantis, biasanya lelaki yang banyak melabur untuk mendapatkan cinta seorang wanita. Umpama seorang pemancing yang memancing ikan di sungai. Beliau tak kisah berapa banyak pun umpan yang digunakan. Yang penting, bila ikan terlekat pada mata kail, itulah sebenarnya suatu nikmat yang tak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Sedangkan apa yang berlaku dalam kes saudari ini pula adalah sebaliknya. Saudari pula yang melabur banyak kepada lelaki itu. Ustaz Love pun tak pasti saudari nak anggap itu sebagai apa. Sebagai pengorbanan ke, sebagai pemberian ikhlas ke, sebagai sedekah ke, sebagai tanda kejujuran ke? Apa yang jelas, itu adalah suatu kesilapan bila saudari memberikan segala apa yang saudari ada demi menggembirakan hatinya, sebaliknya saudari sendiri dihimpit dengan tekanan dan kedukaan.

Jika ditanyakan pada Ustaz Love, Ustaz Love lebih suka untuk mencadangkan agar saudari memutuskan saja perhubungan dengan lelaki itu. Saudari ambil kembali segala apa milik saudari yang telah saudari pinjamkan padanya, dan saudari teruskan hidup sendiri sehinggalah saudari bertemu dengan orang lain yang lebih berbaloi untuk saudari tumpahkan kasih dan sayang kepadanya. Nampak jelas yang beliau sebenarnya hanya mempergunakan saudari untuk kesenangan dirinya dan keluarganya sahaja.

Saudari perlukan ruang masa untuk berfikir dengan jelas. Ambillah masa untuk bercuti dan menenangkan fikiran. Selepas fikiran saudari sudah tenang, saudari berbincanglah dengan keluarga dan mintalah pandangan mereka. InsyaAllah, mereka akan memberikan pandangan yang sudah tentunya untuk kebaikan saudari sendiri.

Saudari dekatkanlah diri dengan Allah. Banyakkan melakukan ibadah malam (qiamullail) dan berdoalah sungguh-sungguh pada Allah supaya diberikan petunjuk dan ketetapan hati untuk membuat pilihan yang sukar ini. Jangan takut untuk bertindak. Kalau tak, saudari akan menjadi tua dengan masalah yang tak berkesudahan ini. Fikirkan baik-baik terutamanya terhadap zuriat yang bakal saudari lahirkan nanti. Adakah berbaloi anak itu mempunyai bapa seperti lelaki itu? Jangan heret mereka nanti ke dalam masalah yang saudari mampu untuk menyelesaikannya sekarang.

Saudari tak perlu sampai ke tahap membenci. Cukuplah saudari menamatkan segala permainan ini. Enough is enough. Saudari tamatkan saja tanpa perlu bermusuhan dengan sesiapa. Anggaplah saja ia satu ujian dan pengalaman buat saudari menempuh hari mendatang dengan lebih matang.

Itu sekadar pandangan Ustaz Love. Terpulang pada saudari untuk menerimanya atau menolaknya. Sebaiknya saudari melakukan istikharah agar saudari lebih tetap pendirian dalam membuat keputusan. Keputusan hanya ada di tangan saudari. Anda mampu mengubahnya.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

6 Comments

Add a Comment
  1. Terimalah nasihat ustaz love ini..Insha Allah ianya terbaik utk diri saudari. sy juga akan mendoakan semoga saudari diebri kekuatan utk membuat pilihan yg terbaik.

  2. Salam ustaz..

    Terlambat sy membaca entry ustaz berkenaan dgn sy ni..sbrnya sy da pon ditinggalkn suami org ni..sejak dia dpt perempuan yg jauh lebih cantik dan lebih kaya dr sy. Mmg sakit ditinggalkn. Yg bertambah sakit bila sblm ditinggalkn kitorg bergaduh teruk. Tangan sy patah disepak oleh dia smata2 sy tnykn hal dia dgn pompuan lain. 3 ari sy dihospital operation. Kwn2 srh sy report polis tp sy x smp ati bila pikirkn ank2 dia dan klu boleh sy xnk family sy tau ape yg tlah terjadi. Sy xnk family sy risau. Pd mula sy fikir dia menyesal dgn perbuatan dia. Tp rupanya tak..mcm2 dia burukkan sy nk cover kecurangan dia. Smp laa skang dia tgglkn sy camtu je..smbl menunjuk2 kebahgiaan dia skarang dgn pompuan lain. Sakit ati ini Allah saja yg tahu. Kdg sy terfikir kenape dia begitu kejam? Klu btul kitorg ditakdirkn x bersama kenapa perpisahan yg penamatnya bkn stakat sakit ati.. patah tgn pon sy dpt. Dia mmg alim..slalu nasihat sy..solat x pnh tggl.. tp aniaya sy smp mcm nie? Kwn2 dia sdr sukar nk percaya yg dia sggp buat sy camni. Tahlah ustaz.. penamat yg buat sy derita.. dan yg plg derita sy masih x dpt lupakn dia. Tiap2 ari sy doa agar buang cinta ni…buang rindu ni jauh2 tp makin sy igt pd dia.

    1. Saudari banyakkanlah berzikir dan melakukan qiamullail.. insyaAllah, dengan berlalunya masa, hati saudari akan sembuh daripada kedukaan ini walaupun mungkin parutnya masih bersisa. Bila memandang pada parutnya, ambillah iktibar agar tidak terjebak dalam perkara yg sama. Ustaz Love doakan semoga Allah temukan saudari dengan lelaki yang lebih layak untuk dicintai dan mencintai saudari.

      WA

  3. Salam Ustaz Love.Saya dulu pun pernah bercinta dengan suami orang tetapi setelah saya membaca entry Ustaz Love,saya insaf dan merasakan yang dia memang tidak ada usaha untuk memperisterikan saya.Saya mengambil keputusan untuk meninggalkan dia.Walaupun dia memujuk rayu,saya tetap tegas dengan keputusan saya.Saya memilih untuk menyayangi diri saya daripada menunggu kasih sayang dia.Alhamdulillah,kini Allah mempertemukan saya dengan seorang lelaki yang baik dan beragama.Terima kasih kerana menyedarkan saya.

    1. alhamdulillah.. semoga Allah memberikan kebahagiaan kepada puan dan pasangan di dunia dan akhirat

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme