I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Sumbang Mahram

Salam ustaz,

Seorang kakak dan adik pernah dicabul oleh abang-abang kandung sendiri dan diganggu secara seksual di rumah. Kakak dan adik memberitahu ibu dan bapa tetapi tiada tindakan dilakukan. Setelah dewasa, perkara ini disenyapkan begitu sahaja. Soalan saya, apakah hukum ibu dan bapa berbuat begitu? Apa yang perlu saya lakukan utk mendapatkan pembelaan sedangkan peristiwa sudah lama berlaku? Untuk pengetahuan ustaz, bapa saya sangat tidak adil terhadap anak perempuannya sendiri. Adakah bapa saya wajar dilabel dayus?

~ Anonymous.

Ustaz Love bersimpati dengan nasib yang menimpa saudari. Sepatutnya dalam rumah itu menjadi tempat yang paling selamat buat seorang wanita, sebaliknya telah menjadi tempat paling bahaya pulak. Ahli keluarga yang lelaki selayaknya menjadi pelindung kepada wanita dalam rumahnya, namun mereka pula yang menjadi pencerobohnya. Di manakah lagi kaum wanita nak bersembunyi? Siapa lagi yang kaum wanita mampu harapkan? Harapkan pegar, pegar makan padi. Harapkan mamak, hari-hari makan roti.

Sejauh mana kerosakan yang berlaku akibat perbuatan abang-abang saudari itu, hanya saudari sendiri yang mengetahuinya. Namun untuk membuat pendakwaan pada kes yang telah terlalu lama berlaku, memang susah. Apatah lagi dengan ketiadaan bukti dan saksi.

Tindakan yang saudari ambil itu memang suatu langkah yang terpuji. Ada ramai di kalangan mangsa sumbang mahram yang bertindak menyembunyikan kejadian yang menimpa dirinya disebabkan perasaan malu dan takut dengan ancaman ahli keluarga sendiri. Akhirnya mereka menyimpan perasaan dan bertukar menjadi tekanan yang hebat kepada mereka. Akhirnya mereka membesar dalam keadaan dendam, sehingga terjebak dalam melakukan perkara-perkara yang lebih buruk seperti terlibat dalam perzinaan (disebabkan menganggap dirinya sudah tercemar), aktiviti lesbian (kerana terlalu berdendam dengan lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung dirinya), pisau cukur, pisau sayur dan sebagainya.

Namun, respond yang diterima daripada ibu dan bapa itu sebenarnya sangat mengecewakan. Biasa terjadi salah seorang daripada ibu atau bapa itu tidak mengambil kisah akan aduan anaknya terutama yang berkaitan dengan maruah, tetapi sangat mengejutkan bila kedua-duanya berpakat untuk tidak mengambil tahu berkenaan perkara itu dan memandang remeh terhadapnya. Apatah lagi seorang ibu yang mempunyai naluri seorang wanita, pasti lebih memahami kesan psikologi yang dialami oleh anak perempuannya.

Sebelum Ustaz Love teruskan pada point persoalan, Ustaz Love ingin mengambil kesempatan di sini untuk membuat teguran buat semua para bapa dan para ibu termasuklah diri Ustaz Love sendiri. Apabila Nabi s.a.w. menyuruh para ibu bapa mengasingkan tempat tidur anak-anak (yang sebelum itu mungkin tidur bercampur sekali lelaki dan perempuan) ketika mereka berusia 10 tahun, ia merupakan suatu arahan yang perlu diambil serius oleh ibu bapa. Bukan setakat diasingkan tempat tidur sahaja, bahkan dilarang bagi anak lelaki untuk memasuki bilik anak perempuan tanpa keizinan dan begitulah juga sebaliknya. Ketika usia anak perempuan menjangkau 10 tahun (atau mungkin lebih awal daripada itu), biasanya tubuh badan mereka akan mengalami perubahan terutama bagi mereka yang telah mencapai akil baligh (seawal umur 9 tahun). Perubahan ini bukan setakat perubahan fizikal, bahkan perubahan mental dan emosi juga berlaku.

Kalau zaman dulu, seawal umur 12 tahun pun ada kalangan ibu-ibu kita yang isteri orang, zaman ini juga tiada bezanya. Bahkan sudah banyak kes-kes melibatkan isu nafsu serakah ini yang berlaku di kalangan kanak-kanak bawah umur seperti kes perzinaan, rogol, cabul, sumbang mahram dan sebagainya. Bila mereka sudah mencapai akil baligh, mereka telah menjangkau tahap remaja. Remaja ini adalah suatu tahap yang berada di tengah-tengah antara zaman kanak-kanak dan zaman dewasa. Tubuh mereka dah nampak macam orang dewasa, tapi pemikiran mereka kebiasaannya masih kebudak-budakan. Sebab itu mereka jarang menyedari akan bahaya sesuatu perkara itu, melainkan ia ditunjukkan oleh ibu bapa mereka.

Disebabkan masyarakat Melayu masih lagi tebal dengan sikap taboo mereka berkaitan pendidikan seks, maka ia jarang dibincangkan bersama anak-anak sehingga mereka bertindak mencari pengetahuan itu melalui jalan lain seperti menonton video lucah, mencuba sendiri perlakuan seks luar nikah, menjadikan ahli keluarga sebagai bahan ujikaji dan sebagainya. Bahkan bila berlakunya kes sumbang mahram di kalangan ahli keluarga, ibu atau bapa sendiri tak tahu nak bertindak macam mana. Nak report polis takut malu satu kampung. Kalau didiamkan saja, perkara itu akan berterusan.

Sebab itu ada di kalangan ibu bapa yang buat tak tahu saja dengan menganggap bahawa perbuatan sumbang anak-anak mereka itu sebagai suatu perbuatan ‘nakal’ budak-budak. Nak diasingkan tempat tidur mereka, rumah pun cuma ada satu bilik. Jadi, terpaksa la mereka mendiamkan saja perkara itu dengan harapan perkara itu akan berhenti sendiri dan akan dilupakan dengan berlalunya masa.

Namun, perbuatan yang buruk tak semudah itu untuk dilupakan. Alangkan orang yang kentut di muka kita 20 tahun yang lalu pun masih lagi terbayang-bayang dalam pemikiran kita, apatah lagi peristiwa dicabul orang, tambahan lagi orang itu sendiri adalah ahli keluarga kita.

Persoalan sama saudari perlu menuntut bela atau tak, itu sebenarnya hak saudari. Saudari boleh membuat tuntutan atau melupakan saja peristiwa hitam itu dan fokus pada kehidupan sekarang dan akan datang. Pada pandangan Ustaz Love, jika saudari mempunyai bukti yang kukuh, saudari boleh adukan kepada pihak berkuasa agar si pencabul durjana itu akan menerima pembalasannya. Namun, bila dilihat secara zahir (dengan keadaan ibu bapa yang tidak memihak kepada saudari), ia agak sukar untuk dibuktikan. Apa pun tindakan yang saudari nak buat, saudari mintalah pertolongan Allah melalui jalan istikharah. Minta Allah tunjukkan apa yang harus saudari lakukan. Cuma saudari perlu yakin bahawa Hari Pembalasan itu akan tiba. Jika beliau tidak diadili di dunia ini, beliau pasti takkan terlepas di akhirat nanti.

Cuma untuk diri saudari sendiri, Ustaz Love cadangkan agar saudari meluangkan masa untuk merawat kelukaan dan kedukaan serta tekanan yang saudari hadapi selama ini. Saudari buatlah temujanji dengan kaunselor atau sesiapa saja yang berkelayakan untuk memberikan kaunseling dan nasihat bagi menenangkan jiwa saudari. Selebihnya, saudari dekatkanlah diri dengan Allah melalui amalan ibadah dan sedekah. InsyaAllah, hati saudari akan menjadi tenang dan lapang serta dapat fokus pada masa depan tanpa terlalu risau memikirkan peristiwa silam.

Perbuatan ibu bapa yang tidak menghiraukan keselamatan dan maruah anaknya itu bolehlah diibaratkan seperti penjual makanan yang membiarkan makanannya terdedah kepada debu dan habuk serta lalat dan ulat tanpa ada inisiatif nak menutupnya. Penjual ini tidak bertanggungjawab terhadap pelanggan yang membeli dan memakan makanannya. Bila berlakunya keracunan makanan, maka penjual itu akan dipertanggungjawabkan oleh pihak berkuasa. Begitulah juga keadaannya dengan ibu bapa yang membiarkan ahli keluarganya terdedah kepada bahaya. Mereka akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak. Tak pasti la perumpamaan ni berkaitan ke tak. Ustaz Love terfikir sepintas lalu saja. Kihkih.

Saudari jangan terlalu fokus nak melabel bapa itu dayus atau tak (walaupun label itu memang tepat kena atas kepala otak bapa tu), sebaliknya saudari kena fokus untuk memperbaiki diri saudari yang telah banyak terkesan dengan peristiwa silam tersebut. Ada kalanya melepaskan itu lebih mudah. Umpama nak memperbaiki sebatang pokok yang telah reput dahannya. Dahan itu perlu dicantas supaya ia tak merebak sehingga merosakkan batang dan akarnya. InsyaAllah, jika akar itu disiram dan dibaja serta dijaga dengan baik, akan tumbuh tunas baru yang bakal menjadi dahan yang lebih kuat buat berpaut para monyet dan musang berjanggut.

Semoga Allah memberikan ketenangan dan kekuatan hati kepada saudari dalam menghadapi ujian hidup ini.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 Comments

Add a Comment
  1. assalamualaikum ustaz saya ingin mengemukakan persoalan tentang perhubungan suami isteri yang telah dicemari dengan perbuatan suami yang telah mencabul anak sendir(anak x sah taraf) adakah tertalak pernikahan tersebut? saya ingin mengambil tindakan kernaa tidak mahu dikata sebagai seorang ibu yang tidak mengambil berat kebajikan anak2, tetapi suami pandai mencari sebab atau kesilapan isteri yang menyebabkan saya berdiam diri tetapi makan hati.saya tidak sampai hati bila memikirkan keadaan suami yang tidak bekerja dan tiada tempat bergantung.tolong ustaz jelaskan bagaimana caranya untuk saya kuatkan hati saya dengan hukum2 allah yang adil..wassalam

    1. Talak itu hanya akan berlaku dengan lafaz. Perbuatan sumbang mahram itu tak menjatuhkan talak. Namun, jika puan mendiamkan perkara ini, puan boleh dikira bersubahat dengan perbuatan suami. Sepatutnya puan laporkan perbuatan suami itu kepada pihak berkuasa. Jangan risau sangat tentang suami itu kerana beliau seorang lelaki dewasa dan seorang pesalah. Yang sepatutnya puan kena lebih risaukan adalah masa depan anak puan yang menjadi mangsa itu. Selesaikan masalah itu sekarang dan jangan tunggu lama2, nanti akan jadi makin besar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme