I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Dilema Bertunang Dengan Duda

Assalamualaikum.

Di sini, saya ingin berkongsi kisah hidup saya dan inginkan pandangan daripada Ustaz Love. Saya seorang perempuan berumur 28 tahun dan belum berkahwin dan sentiasa gusar dengan isu jodoh ini. Walaupun saya mempunyai beberapa kenalan lelaki, namun saya tidak tertarik kepada mereka.

Walaubagaimanapun, baru-baru ini saya telah bertemu dengan seorang lelaki yang berumur 31 tahun dan statusnya adalah duda dan mempunyai 3 orang anak berumur antara 2 hingga 7 tahun. Beliau telah bercerai dan sedang mencari pengganti isteri dan ibu kepada 3 orang anak-anaknya. Saya amat kagum dengan sikapnya kerana pada hari pertama pertemuan, dia bersungguh untuk menjelaskan statusnya dirinya padahal dia boleh saja untuk menipu saya mengatakan belum berkahwin atau sebagainya. Pada masa yang sama, saya juga sedang mencari teman hidup setelah beberapa kali kecewa dengan lelaki-lelaki sebelum ini.  Sejak itu, saya tekad, jika berjumpa dengan lelaki yang betul-betul  bersungguh, saya juga akan bersungguh. Setiap hari saya panjatkan doa untuk tujuan ini dan 2 bulan yang lepas saya telah berjumpa dengan lelaki ini dan kadangkala saya rasakan doa-doa saya ini telah dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Saya menyukainya dan dengan sikapnya yang bersungguh-sungguh, kami telah mengikat tali pertunangan 2 minggu yang lalu walaupun pada hakikatnya keluarga saya tidak merestui hubungan kami kerana statusnya duda dan mempunyai 3 orang anak.

Keluarga mengatakan saya mencari masalah dan beban di kemudian hari kelak dan ibu bapa saya malu kerana saya seorang anak dara memilih sorang duda beranak 3 untuk dijadikan suami. Kadang-kadang saya rasa kasihan dan bersalah sangat bila melihat kesedihan ibu bapa saya dengan pilihan dan keputusan yang telah saya buat dan pada masa yang sama saya juga menyayangi tunang saya tersebut.  Kadang-kadang saya juga berasa takut menghadapi hari-hari mendatang tapi saya cuba kuatkan diri dan hanya berfikiran yang positif sahaja kerana dia juga selalu memberi kata-kata semangat dan menyakinkan saya yang dia tidak akan mensia-siakan saya dan akan membuktikan kepada keluarga yang dia mampu membahagiakan saya dan tidak akan membebankan saya dengan anak-anaknya.

Di sini, saya ingin memohon pandangan Ustaz Love mengenai persoalan yang sentiasa menghantui diri ini:

1.  Adakah betul tindakan yang saya buat ini?
2. Adakah saya hanya mementingkan diri sendiri, mengikut kata hati dan bersalah serta berdosakah saya telah membuat hati ibu bapa saya terguris?
3. Patutkah saya meneruskan perhubungan ini kerana tidak mendapat restu keluarga supaya kejadian buruk tidak berlaku di belakang hari?
4. Salahkan saya kerana memilih duda beranak 3 untuk dijadikan suami?

Ustaz Love, saya tidak meminta perkara seperti ini berlaku dalam hidup saya. Saya sendiri tidak mengetahui kenapa Allah mengatur dan merancang hidup saya sebegini. Saya teramat-amat bingung ketika ini.

Mohon jawapan dan pandangan daripada Ustaz Love. Terima kasih

~ Insan Bingung.

Penilaian manusia ini selalunya sangat berbeza. Sebab itulah agama itu diturunkan untuk menyatukan semua pandangan manusia agar menepati penilaian Allah. Jika diikutkan sangat penilaian manusia, nescaya sang duda akan menduda buat selamanya. Begitu juga dengan si janda. Sedangkan mereka ini juga makhluk Allah yang tiada bezanya dengan si teruna mahupun dara.

Hanya kerana mereka pernah berkahwin, mereka dipandang sebagai manusia second class yang hanya layak dilayan dengan layanan yang rendah dan hanya layak bernikah dengan mereka yang sama statusnya. Ini adalah suatu kasta yang masih lagi diamalkan oleh sebilangan masyarakat Melayu. Mereka dianggap sebagai membawa beban terutama jika mereka mempunyai anak-anak hasil perkahwinan terdahulu. Inilah mentaliti masyarakat kita yang agak sukar untuk dihapuskan.

Jika kita menelusuri sejarah Islam, kita akan mendapati bahawa junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. sendiri berkahwin dengan seorang janda walaupun Baginda pada ketika itu masih lagi muda dan teruna. Bahkan selepas pernikahan Baginda dengan Aisyah, Baginda telah berkahwin dengan ramai janda. Jadi, nyatalah bukan menjadi kesalahan atau suatu penghinaan jika seseorang itu bernikah dengan orang yang pernah berkahwin.

Seorang yang bernikah dengan teruna sekalipun tidak perlu berbangga kerana jika ditakdirkan jodoh beliau tidak panjang, beliau juga akan bergelar janda. Jadi, adakah pada ketika itu beliau sanggup dilabelkan dan dihina hanya semata-mata berstatus janda atau duda, sedangkan beliau juga berhak untuk bahagia dengan pasangan barunya?

Bagi menjawab persoalan saudari, secara peribadi Ustaz Love merasakan tiada salahnya saudari memilih seorang duda untuk menjadi suami. Tak kira la beliau duda beranak 3 ke, beranak sepuluh ke. Bukan itu penilaian kepada kebahagiaan. Bahkan seorang lelaki yang baik, tak kira apa juga statusnya (duda ke, teruna ke, suami orang ke) adalah layak untuk dijadikan suami sekiranya beliau itu seorang yang baik. Bahkan ada kalanya duda itu lebih baik berbanding teruna kerana mereka lebih berpengalaman dalam melayari bahtera perkahwinan.

Jika dalam situasi pekerjaan, seorang pekerja yang mahir dan berpengalaman itu lebih mempunyai nilai di mata majikan berbanding seorang graduan yang baru menamatkan pengajian yang belum mempunyai apa-apa pengalaman bekerja. Gaji mereka biasanya lebih tinggi disebabkan kecekapan mereka dalam bekerja, berbanding mereka yang tiada pengalaman. Namun, penelitian juga harus dilakukan dengan melihat kepada rekod kerja terdahulu. Jika mereka diberhentikan kerja disebabkan ada masalah disiplin, biasanya ia akan memberikan gambaran awal kepada majikan baru untuk mengambilnya bekerja. Apatah lagi jika mereka mempunyai rekod jenayah. Sebab itu di dalam resume pekerjaan, kita diminta untuk meletakkan referral supaya majikan baru boleh merujuk kepada majikan lama berkaitan rekod pekerjaaannya sebelum ini.

Begitu jugalah dalam menikahi pasangan yang pernah bernikah. Kita perlu mengetahui dengan jelas sebab perceraian mereka. Bukanlah bermaksud kita ingin mengungkit kisah silam mereka, sebaliknya kita ingin mengetahui adakah bakal pasangan kita itu seorang yang baik ataupun seorang yang bermasalah agar kita tidak terbeban dengan masalah lamanya dalam perkahwinan yang baru kita kecapi.

Jika seorang lelaki bercerai dan berkahwin lain disebabkan inginkan anak, maka kita perlu memastikan bahawa bakal suami itu sendiri seorang yang subur dan tidak mempunyai masalah. Jika beliau sendiri seorang yang mandul, bagaimana beliau mahu menggunakan alasan itu untuk bernikah lain? Mungkin juga nanti kita juga bakal diceraikannya disebabkan alasan yang sama, sedangkan punca masalah itu adalah daripada dirinya sendiri.

Jika saudari sudah yakin dan pasti dengan latarbelakang beliau yang baik, maka saudari teruskanlah dengan istikharah. Jika hati saudari cenderung untuk menerimanya, maka terimalah lelaki itu. Jangan melihat anak-anak beliau itu sebagai beban, sebaliknya anggaplah ia sebagai bonus buat saudari. Bak kata orang kahwin secara berpakej. Pakej kahwin beli satu percuma 3. Kiki.

Bila saudari mendidik anak-anak tiri nanti dengan baik, banyak ganjaran yang Allah akan berikan atas pengorbanan saudari itu. Memang tidak mudah untuk menganggap anak orang lain itu sebagai anak sendiri, namun percayalah, jika kita menjaga mereka dengan ikhlas hati, mungkin anak tiri itu akan menjadi lebih rapat dan lebih menyayangi kita berbanding anak sendiri.

Masalah yang wujud dalam kes saudari ini bukanlah pada diri saudari sendiri, sebaliknya ia berpunca daripada ibu bapa saudari yang masih tidak dapat menerima status bakal menantu mereka itu seorang duda beranak 3. Memang susah untuk meyakinkan ibu bapa yang telah lama berpegang dengan pendirian sebegitu. Mungkin juga selama ini mereka memandang lekeh kepada duda dan janda, akhirnya mereka sendiri diuji dengan anak sendiri yang ingin berkahwin dengan duda. Antara sayang dengan anak sendiri dan ego dengan pendirian mereka, akhirnya mereka terpaksa bersetuju dengan pilihan saudari.

Dalam hal ini, saudari perlu banyak bersabar. Bersabar ini memerlukan masa, dan masa itu akan menentukan kejayaan saudari dalam bersabar. Saudari ambillah masa untuk memujuk hati ibu bapa. Jangan melawan cakap mereka. Jika mereka masih lagi merungut, saudari telan saja dan diamkan diri. Itu lebih baik daripada saudari bertengkar dengan ibu bapa semata-mata nak memenangkan tunang saudari.

Pada masa yang sama, jemputlah tunang saudari itu datang ke rumah bersama anak-anaknya untuk merapatkan lagi hubungan dengan keluarga saudari. Jika boleh, bawa juga ibu bapa tunang itu. Biasanya bila dah selalu berjumpa dan bertegur-sapa, hubungan akan menjadi mesra. Bila dah mesra dan saling kenal-mengenali hati budi masing-masing, banyak salah faham dapat dibetulkan.

Ustaz Love percaya, ibu bapa saudari itu hanya risaukan saudari bakal menerima nasib seperti bekas isteri tunang itu. Tiada ibu bapa yang mahu anaknya menjadi janda. Mungkin jika tunang saudari itu bercerai mati, ibu bapa boleh menerima dengan tenang hati. Namun, disebabkan bercerai hidup, sudah tentulah mereka sedikit curiga dengan beliau kerana takut saudari juga bakal menerima nasib yang sama.

Nasihat Ustaz Love, saudari ambillah masa untuk memujuk ibu bapa. Jangan diputuskan hubungan dengan tunang itu semata-mata disebabkan halangan ibu bapa yang tidak mempunyai alasan munasabah. Zaman ini memang susah untuk mencari pasangan yang baik. Bila ia hadir dalam hidup kita, jangan mudah-mudah kita hendak melepaskannya disebabkan alasan yang remeh-temeh. Kelak kita juga yang akan menyesal jika ditakdirkan berjodoh dengan anak teruna, tetapi berperangai buruk seperti beruk.

Saudari banyakkanlah melakukan qiamullail dan berdoa kepada Allah agar dilembutkan hati ibu bapa untuk menerima tunang saudari itu seadanya. Banyakkan juga bersedekah semoga saudari terhindar daripada bala dan bencana. Jalanilah hidup dengan tenang dan terimalah apa jua ketentuan yang mendatang. Semoga Allah memberikan yang terbaik buat saudari.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

13 Comments

Add a Comment
  1. anak kepada saudara saya (anak sepupu) berkahwin dengan duda, walaupun asalnya taklah dipersetujui sangat oleh keluarga, terutama neneknya (mak saudara saya), but it turn out to be menantu kesayangan dah sekarang ini, dah ada 3 org anak pun, hidup bahagia jer. so kegagalan perkahwinan yang lalu bukanlah ukuran, tengok hati budinya jugak, kalau pun perceraian yg lepas mungkin disebabkan oleh pihak lelaki, there always a 2nd chance kan.
    MR recently posted..Restock : Mudahnya Belajar Bahasa InggerisMy Profile

    1. kalau kelemahannya tu melibatkan kes mandul tapi bernikah bernikah baru sbb nakkan anak, kebiasaannya takde dah 2nd chance.. hihi

  2. macam lebih kurang situasi yg sy hadapi sekarang ni. Bezanya suami sy nak nikah ngan ank dara lebih kurang umur sama ngan si gadis dilema tu tp mak abah si gadis xbagi sebab takut jadi beban pada ank dara diorg, tambah2 anak kami dah 4 orang nk masuk 5. siap bagitau jgn ganggu anak dara diorg lagi walaupun sy awal2 dh bg green lite. so sy ambil keputusan, sy on je bila parents dia ok n setuju. tapi disebabkn mak abah dia dh xsetuju sgt2 maka sy katakan pada mereka lupakan ajelah. sy pun xsuke membebankan orang walaupn xpernah terfikir difikiran dan kemungkinan besar yg terbeban adalah saya sendiri sebab yang nak kawinnye diorg ( suami sy n anak dara diorg tu laaa). betul ke cara saya ni?
    Ibu Aqmar recently posted..Selamat Tahun BaruMy Profile

    1. Betul dah cara puan tu. Urusan mereka, biar mereka selesaikan sendiri. Kita jangan serabut2 sangat nak fikirkan masalah mereka, sedangkan kita sendiri punya banyak masalah lain nak difikirkan.

  3. Assalamulaikum…ustaz…
    Saya ade sedikit kekeliruan..sy seorang ibu tunggal kematian suami, ade 2 anak.. Baru2 ni ade seorang duda melamar sy,isterinya meninggal disebabkan melahirkan ank…kami kini bersahabat dan dia berhasrat untuk mengahwini sy bg menjaga ank2 nya..soalnya sy keluarga sy tidak setuju untuk sy meneruskan persahabatan dengan ikatan perkahwinan, sy sudah buat istikhorah tp hati sy masih tidak tenang…ape yg ptt sy buat?

    1. Ustaz Love cadangkan puan teruskan istikharah sehinggalah hati puan bulat dan tekad untuk membuat sesuatu keputusan..

  4. Ustaz love status di ats macam kehidupan sy sekarang. Sy sedang mengenali status duda ank 1..dia dh bercerai dan sekarang dia sedang berkawan dgn sy…sy ingin mntak pendapt ustaz kerana sy keliru..cemburu pn ada..dlm masa dia nk tgk ank dia kat ex wife dia ati sy cemburu..sy terima ank dia tp sy tak boleh terima masa yg sama dia jmpa ex wife dia…uztaz mntak pendapat ustaz ,ex wife dia tak pnh bg ex husband dia bawa ank keluar..ex wife dia sampai kata belum dekat ex husband belum masa nya lg..kadang2 sy kesian dekat bakal tunang sy kerana rindukan ank..tetapi ex wife dia tak pernah ada rasa fikir dekat ex husband dia sampai masa yg sma mntak duit2….uztaz mntak pendapat .sy keliru…

  5. Assalamualaikum ustaz, sy juga dalam di lema.sy berumur 34 tahun dan belum pernah berkahwin.sekarang ini sy sedang bersahabat dgn seorang duda berumur 55thn.ada 3 anak tp semua dh hidup sndiri. Duda ini kematian isteri.masalah saya ialah dia orang kaya,lifestyle tentu la tak sama dgn sy org biasa2.dulu dia seorang yg hdup dlm kejahilan.skrg ni dia mncr seseorang yg boleh bantu dia kejalan yg benar. Sy risau.. dan bimbang.. boleh kah sy hidup dgn org mcm dia dan mampukah sy membantu dia.sy dh byk kali bt istikharah,tp masih buntu.mak ayah sy blum tahu ttg ini.sy harap ustaz love dpt membantu sy.terima kasih..

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme