I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Soal Jawab : Amalan Yang Menarik Perhatian Jin

Macam mana pula kalau kita taknak jin or hantu or apa-apa lah seumpama tu asyik ikut kita je? Hmm kalau dah halau pun datang lagi. Macam mana tu? APa yang menarik perhatian makhluk macam tu?? :O

~Adeeya

bunian? mcm pelik je kedengarannye -,-
tpi ustaz, ana nk tanya,,
tau x ape yg menyebabkan jin bole suka kat kite atau sebaliknya??
atau..apakah yang menyebabkan hubungan itu berlaku?

~miinbiiey

Ustaz Love ingat dah jawab dah persoalan ni.. rupanya baru draft dan terperam sekian lama tak sempat nak tengok. Mungkin jin telah mengalihkan perhatian mata ini daripada melihat kepada soalan seperti ni (mari fitnah jin beramai2..kikiki).

Sebelum Ustaz Love teruskan, Ustaz Love nak ceritakan sikit kisah mistik. Buat pengetahuan semua, entry ni sebenarnya dah agak lama Ustaz Love cuba siapkan. Namun, sebaik saja nak mula menaip, Ustaz Love terus blank. Seolah2 idea itu lenyap macam tu saja. Kadang2 bila dah ada idea, Ustaz Love buat benda lain.. makan nasik la, baca buku la.. Selama 4 hari Ustaz Love bergelut nak menulis entry ni.. sungguh mencabar kesabaran.. mungkin ada kaitan dengan gangguan jin.. walaupun hakikat sebenarnya Ustaz Love yang malas nak menulis.. (kihkih.. sekali lagi Ustaz Love dah fitnah jin).

Ok la.. cukup la kita bermain2 di sini. Biarlah Ustaz Love teruskan dengan entry yang sangat serius ini. Ustaz Love katakan serius kerana ia lebih kepada langkah pencegahan berbanding kaedah2 perawatan yang mengambil masa dan tenaga serta wang yang tak sedikit. Kadang2 kita tak mengetahui tindak tanduk kita itu mengundang perhatian makhluk2 yg jahat untuk mendekati diri. Ada juga yang sedar tindakannya memang akan memancing perhatian makhluk ini, tapi mereka kurang sedar akan kesan yang bakal menimpa. Ustaz Love rasa, ada baiknya Ustaz Love buat dalam bentuk point supaya senang nak faham.

1. Orang Yang Berdua2an.

Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama kerana syaitan akan hadir sebagai orang ketiga” (HR. Ahmad)

Seorang lelaki yang berkhalwat dengan wanita yang bukan mahramnya, maka akan hadir syaitan sebagai orang ketiga. Kebiasaan orang berkhalwat di tempat yang sunyi yang jauh daripada orang lain.. atau di dalam rumah yang tiada penghuni lain bagi memudahkan mereka melakukan maksiat. Dan tidaklah perbuatan khalwat itu dilakukan dengan mengadakan aktiviti berselawat ke, membaca al-Quran ke, solat ke.. melainkan aktiviti2 yang mendatangkan dosa.

Kawasan khalwat di tempat2 tersembunyi seperti kawasan hutan, air terjun, atas bukit.. juga waktu berkhalwat yg kebiasaannya dilakukan waktu maghrib, waktu malam dan awal pagi, kebiasaannya akan mengundang penumpang kepada 2 orang tadi.

Apabila berduaan, maka ia membuka ruang kepada syaitan untuk membisikkan keinginan untuk melakukan dosa.. akhirnya lelaki dan wanita itu meredhai keinginan nafsu itu (tanpa ada rasa nak insaf lalu bertaubat.. atau sekurang2nya beristighfar). Ketika itulah jarum syaitan sudah mula masuk.

Perbuatan khalwat dan maksiat (seperti perbuatan ringan2, bercumbuan dsb) kebiasaannya akan menjadi perbuatan yang berulang. Sekali buat tak cukup, nak buat berkali2. Akhirnya menjadi ketagihan yang jika tidak bertaubat, mungkin akan terjerumus ke lembah perzinaan. Perlu bertaubat dengan sesungguh hati dan mendekatkan diri dengan Allah melalui ibadah seperti berpuasa. Atau dengan cara yang lebih mudah, berkahwin sekiranya mampu. Bila dah terjerumus dalam ketagihan seksual ni, memang susah nak keluar melainkan punya kekuatan dalaman yang teguh.

2. Membuka Aurat.

Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan pada keduanya apa yang tertutup dari mereka, iaitu auratnya, dan syaitan berkata, “Tuhan kamu melarang kamu mendekati pohon ini, supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (di syurga).” (al-A’raaf : 20)

Fitrah manusia adalah menutup aurat. Secara umumnya, manusia akan memilih untuk menutup bahagian2 yang dirasakan sebagai mewakili maruah kepada dirinya. Bagi seorang Islam, batasan aurat yang ditetapkan syariat itu dianggap sebagai maruah kepadanya. Begitu juga dengan yang bukan Islam, ada bahagian2 tertentu tubuhnya yang dianggap sebagai mewakili maruah dirinya, lalu mereka bertindak menutupnya untuk waktu2 tertentu.

Sekalipun aurat dengan mahram (bagi wanita) adalah antara pusat dan lututnya, namun secara fitrahnya seorang perempuan tidak akan sanggup memakai kain tanpa baju di hadapan adik lelakinya, ayahnya mahupun abangnya. Jadi, apabila syaitan itu membisikkan supaya seorang wanita membuka aurat kepada bukan mahramnya, ia menunjukkan ia menjadi kesukaan kepada syaitan dan suku sakatnya daripada kalangan jin untuk menghampiri mereka2 yang tidak menutup aurat ini. Bukan setakat syaitan daripada kalangan jin, bahkan syaitan daripada kalangan manusia juga akan tertarik kepada wanita2 yang seksi meksi pakaiannya dan tidak menutup aurat dengan sempurna.

Begitu juga ketika tidur, kita disarankan untuk tidur dalam keadaan tidak bertelanjang bulat. Sekalipun kita memakai pakaian ketat atau nipis, disarankan agar kita menutup tubuh dengan selimut agar tidak menjadi tontonan makhluk2 yang suka menonton.

3. Tidak Menyebut Nama Allah Bila Melakukan Sesuatu Pekerjaan.

Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan (kepada kaumnya): “Kamu semua tidak mempunyai tempat untuk bermalam dan tidak juga makan malam.” Sebaliknya apabila seorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, berkatalah syaitan (kepada kaumnya): “Kamu telah mendapat tempat bermalam.” Apabila seorang tidak mengingati Allah ketika makan, berkatalah (syaitan kepada kaumnya): “Kamu telah mendapat tempat bermalam dan makan malam.” (HR. Muslim)

Setiap perbuatan yang kita lakukan, maka kita perlu melakukan dengan adab dan doa. Nak masuk jamban pun kena berdoa. Kalau tak, proses pemberakan kita itu akan disertai oleh jin khubthi dan khabaa’ith (jantan dan betina) yang mungkin mengganggu proses berak dengan membisikkan perasaan was2 sehingga kita berlama2 dalam jamban (baca buku, cari ilham, termenung dsb). Akhirnya nanti kita dihinggapi penyakit was2.

Begitu juga dengan makan minum, nak masuk keluar rumah, nak berjimak, nak bermusafir dsb, semuanya ada adab dan doa2 tertentu yang patut diamalkan agar perbuatan yg kita lakukan itu tidak membuka ruang kepada syaitan dan kuncunya untuk menyertainya sekali.

4. Suka Menyendiri.

Barang siapa berpecah belah, maka dia bukanlah dari golongan kami. Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jemaah dan sesungguhnya serigala hanya akan memakan kambing yang menyendiri.” (HR. at-Tabrani)

Kebanyakan dosa dilakukan oleh manusia ketika bersendiri.. kerana manusia ada sifat malu terhadap orang lain, tetapi mereka kurang rasa malu terhadap diri sendiri dan lupa bahawa Allah melihat apa yang dilakukannya ketika bersendirian. Orang melayari laman lucah bersendirian.. melakukan onani bersendirian.. skodeng bersendirian.. jarang kita dengar orang melakukan onani secara berjemaah..kihkih..

Sebab itulah kita disarankan agar sentiasa berada dalam jemaah. Maksud jemaah ini tidak sepatutnya disempitkan pada kumpulan atau parti tertentu saja, bahkan lebih luas lagi, ia meliputi segala aktiviti harian yang biasa dilakukan secara berjemaah seperti makan (sekalipun tak makan berkongsi satu dulang), solat fardhu berjemaah, jalan berjemaah, main berjemaah dan mematuhi peraturan berjemaah. Tidaklah dinamakan berjemaah jika kita melakukan perkara yang berlawanan dengan kehendak jemaah.. masa tu jemaah tgh main bolasepak di padang, kita sibuk dok timang bola sepaktakraw kat depan gol.

Bila kita duduk berseorangan, kita mudah untuk diganggu. Seorang yang solat secara bersendirian, selalu diganggu dengan perasaan was2 sehingga terlupa bilangan rakaat.. seorang yang duduk termenung sorang2, selalu dihadirkan dengan angan2 dan ilham yang mengarut sehingga fikiran jadi serabut.. seorang yang suka melakukan aktiviti bersendirian juga dipanggil kera sumbang kerana perbuatan seperti itu dianggap pelik dalam masyarakat. Manusia dalam pemahaman ilmu mantiq adalah haiwan natiq (haiwan yang bersosial) dan bukannya menyendiri.

Bila kita selalu berjemaah (atau banyak menghabiskan masa dengan orang lain), kita akan terpelihara daripada serangan2 yang tak diingini. Orang nak merompak kita pun fikir 2 3 kali sebab kita ada geng. Cuba kalau kita jalan sorang2, senang2 je nak kena rompak atau culik. Dan kalau kita ditimpa musibah, ada orang yang boleh membantu..

5. Melampaui Batasan Dalam Emosi Dan Perbuatan.

Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas” (al-Baqarah : 190)

Ada ketikanya, disebabkan mengalami perasaan yang terlampau, maka kita bertindak seperti orang yang hilang ingatan. Terlalu lucu sampai kita tergelak berdekah-dekah (ini biasa nampak kat tempat lepak spt restoran.. ada group remaja lelaki yg baru nak tumbuh bulu atau remaja perempuan yg baru nak naik jerawat.. gelak mengilai2 dan berdekah2 tanpa mempedulikan orang sekitar yang melihatnya). Ada juga yang terlalu suka sampai melompat2 dan menjerit2 (biasa nampak masa nak amik keputusan peperiksaan kat sekolah). Ada yang terlalu marah sampai keluar asap kat telinga (yg ni imaginasi Ustaz Love je..kikiki) dan ada yang bersedih sampai mengalami tekanan dan kemurungan.

Orang yang melampaui batas dalam emosi dan perbuatan ini sangat disukai oleh jin dan syaitan kerana mereka ini akan bertindak di luar batas kewarasan akal manusia biasa. Apabila manusia membelakangkan akal, maka perbuatannya akan lebih hampir kepada haiwan.

Sebab itu seorang yang akalnya gagal mengawal emosinya daripada marah yg keterlaluan, akan bertindak di luar batasan kemanusiaan.. memukul anak sampai mati, menempeleng isteri sampai kepala terpeleot, memaki hamun orang sampai terkeluar perkataan tuutt dan tuutt dsb.. namun, apabila mereka telah bertenang, barulah mereka akan menyedari betapa buruknya tindakan mereka itu dan merasakan alangkah baiknya jika mereka dapat bersabar dan mengawal kemarahan.

Orang yang melampaui batas dalam syahwat, akan melampiaskan nafsunya sesuka hati. Perbuatan meliwat isteri contohnya, boleh menjerumuskan seseorang ke lembah budaya songsang seperti homoseksual. Ini semua hasil dorongan syaitan terhadap nafsu manusia yang melampau.

Pada kebanyakan kes histeria yang pernah Ustaz Love handle (cewahh..), ia biasanya berpunca daripada tekanan yang melampau sehingga otak tak dapat nak berfikir dengan betul dan hati jadi kosong serta lalai daripada mengingati Allah. Kebiasaannya kes histeria di kalangan pelajar akan berlaku semasa musim peperiksaan. Masa musim peperiksaan, ramai pelajar berada di bawah tekanan akibat tidak membuat persediaan. Akhirnya, semua masalah datang bertumpu sekaligus hingga terasa kepala otak macam nak meletup.. Akibat tak tertahan dek tekanan, ada yang akan mengalami kemurungan dan tak kurang juga yang menjerit2 histeria. Kemungkinan untuk berlakunya gangguan jin ini memang ada disebabkan ketika itu mereka yang tertekan akan mengosongkan fikirannya untuk cuba melupakan masalah yg dihadapi.. dan semasa jiwa menjadi kosong inilah, syaitan akan mengambil peluang untuk menyusup masuk ke dalam hati dan fikirannya. Jadi, jika kita nak bereaksi, kawallah diri.. jangan melampaui batas sehingga terlupa banyaknya ‘mata’ yang sedang memerhati.

Termasuk juga dalam bab ini adalah mereka2 yang suka membazir.

6. Tidak Menjaga Kebersihan.

Wahai Abu Hurairah! Potonglah kuku-kukumu, kerana sesungguhnya syaitan itu mengikat kuku-kuku yang panjang” (HR. Ahmad)

Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Mereka yang pengotor, itu tandanya ada masalah dalam iman mereka. Mereka seolah2 menjemput kehadiran makhluk halus seperti semut, lalat, lipas, anai2 dsb yang bakal membawa penyakit dan kerosakan. Juga makhluk2 yang lain seperti jin kafir yang sukakan tempat2 yang kotor.

Ada beza antara kekemasan dan kebersihan. Pakaian yang renyuk dan komot (baju tak digosok dgn seterika.. tak pasti ini bahasa standard ke tak..kihkih) mungkin baru dibasuh, jadi ia bersih sekalipun nampak macam tak kemas. Baju yang berbau ketiak dan ada kesan daki di leher dah tentu ia baju yang kotor sekalipun diseterika sehingga side baju jadi tajam.. cicak jatuh pun boleh putus dua..

Kita mungkin boleh mulakan dengan melihat kebersihan diri dulu.. sama ada kita jenis yg rajin mandi.. kuku panjang ke tak.. ketiak bersepah ke tak.. gigi gosok ke tak.. pakaian bertukar ke tak.. ia sebenarnya banyak mempengaruhi keadaan sekeliling sama ada menarik untuk didekati atau dijauhi. Seorang yang kemas dan wangi, orang akan suka dekati, suka nak bercakap dengannya (sebab mulut tak busuk), suka nak memandangnya.. sebaliknya mereka2 yang busuk dan pengotor, orang akan menjauhinya, nak tengok pun tak selera, nak makan masakannya pun rasa loya.. yang akan mendekati sang pengotor adalah ejen2 pengotor yg membawa penyakit seperti lipas, tikus, lalat dan juga jin kafir.

Kuku hendaklah dipotong pendek.. begitu juga bulu2 yang dibuang daripada tubuh, jangan disepah2kan.. kerana ia boleh menjadi alat untuk pemujaan sihir.

Khusus buat kaum wanita.. sewaktu mereka haid, maka tubuh mereka mengeluarkan kekotoran melalui darah haid yang keluar. Pada waktu inilah kebersihan sangat perlu dijaga. Jangan buang iPad (tuala wanita) merata2 spt dalam lubang jamban dsb. iPad yang diselaputi darah haid adalah kotor dan berpenyakit dan ia menjadi tumpuan ejen penyebar penyakit termasuklah jin2 kafir ini. Oleh kerana ketika itu tubuh pun tengah lemah dan bercuti daripada ibadah khusus seperti solat, maka amat mudah mereka2 yg sedang dalam haid ini untuk diganggu oleh jin2 terutama mereka2 yang lalai dalam mengingati Allah.

7. Kurang Cergas.

Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah kamu mendapatkan apa yang mendatangkan manfaat bagi kamu, dan pohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu lemah, dan sekiranya suatu (musibah) menimpa kamu maka janganlah kamu mengatakan: Kalau saya melakukan itu (dulu) sudah tentu saya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah: (Ini adalah) takdir Allah, Dia berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya “KALAU” membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)

Badan yang lemah selalunya akan diserang penyakit. Seorang penghidap AIDS akan menghadapi masalah sekalipun diserang selsema dan demam biasa. Seorang yang lemah tubuhnya akan menjadi tumpangan mereka yang lebih kuat.

Kalau di sekolah pun, kaki buli biasanya akan membuli pelajar yang lebih lemah dan tidak membuli pelajar yg lebih kuat. Sebab bila pembuli mula cuba untuk membuli mereka yg sama kuat atau yang lebih kuat, ia akan menjadi pertarungan yang bakal menentukan kalah menang, hidup mati. Oleh kerana pembuli ini bukanlah betul2 nak bergaduh (sekadar nak main2), maka dia takkan sanggup untuk mendapat sakit atau terkorban nyawa sekiranya kalah dalam pertarungan.

Bagi orang yang kuat fizikalnya, maka dia akan terhindar daripada penyakit fizikal. Begitu juga orang yang kuat rohaninya, maka dia akan terbebas daripada penyakit rohani. Hanya jin dan syaitan yang betul2 nak bergaduh dengan beliau saja yang akan sanggup mencari pasal dengannya. Jin2 mahupun syaitan yang jenis menyinggah biasanya takut untuk menghampiri orang2 yg kuat rohaninya, yang menjaga amal fardhunya dan banyak amal sunatnya..

8. Mengganggu Populasi.

Janganlah salah seorang di antara kalian kencing pada lubang-lubang.” Mereka bertanya kepada Qatadah, “Mengapa kita dimakruhkan untuk kencing pada lubang-lubang?” Dia menjawab, “Kerana lubang-lubang merupakan tempat tinggal jin” (HR. Abu Daud, an-Nasa’ie dan Ahmad)

Kucing jinak yang selalu diganggu juga boleh berubah menjadi garang dan mencakar orang yang mengganggunya. Inikan pula jin yang terkenal dengan sifat kasarnya. Jika kita tak memulakan gangguan, biasanya kita tidak akan diganggu. Hanya lebah yang dibaling sarangnya akan menyengat orang sehingga mati.. Kalau dia duduk kat sarang dan tak diganggu, dia pun tak sibuk2 nak gi sengat orang sana sini.

Bukan saja perlu diperhatikan lubang2 yang biasa menjadi tempat binatang berbisa, kawasan2 hutan, paya, mata air yang bertakung, busut2, kawasan perkuburan dsb bukanlah tempat untuk kita melepaskan hajat (kencing berak) sesuka hati. Bukanlah juga bermakna kita kena minta izin kepada ‘penunggu’ tempat tersebut.. Minta izin tok nenek anak cucu nak tumpang kencing la.. sejak bila plak jin2 tu menjadi atuk nenek kita.. kihkih..

Andaikata dah tak tahan sangat nak melepas, sekurang2nya berilah salam sebagai isyarat kita nak menggunakan kawasan tersebut. Dan jangan lupa bersihkan kawasan tu.. jirus air ke, tanam tahi tu ke.. jangan biar bersepah2 sekalipun masa tu takde sapa yg nampak.

9. Keluar Malam.

Jangan biarkan ternakan dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja” (HR. Muslim)

Kadang2 disebabkan kita sibuk dengan urusan belajar atau kerja pada waktu siang, kita menggunakan waktu malam untuk bersantai bersama kawan2 atau keluarga. Ramai yang memilih waktu maghrib untuk keluar supaya program yang dirancang dapat diselesaikan awal dan tak berlanjutan hingga ke larut malam. Biasanya program makan2 la ni.

Waktu maghrib itu adalah waktu kita bersiap sedia untuk beribadah (solat Maghrib) kerana waktunya yang sangat singkat. Bukan waktunya untuk kita keluar dari rumah untuk makan minum atau melakukan aktiviti selain ibadah. Oleh kerana waktu maghrib ini syaitan banyak berkeliaran, maka tak mustahil akan ada yang mengikut mereka2 yang rajin keluar malam ni.

Bukan tak boleh keluar malam, cuma ia perlu dihadkan. Jangan dijadikan rutin harian. Dan keluarlah selepas Isyak (sesudah selesai solat fardhu) dan selesaikan segera keperluan. Kerana Allah jadikan waktu malam itu untuk kita berehat, dan bukannya untuk kita bersantai2 di luar sehingga pagi.

10. Menyeru Atau Memuja Jin Dan Syaitan.

Ia menyeru dan menyembah makhluk-makhluk yang lain dari Allah, yang tidak dapat membahayakannya dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepadanya; itulah kesesatan yang jauh terpesong. Ia menyeru dan menyembah makhluk yang – dengan perbuatan demikian – mudaratnya lebih dekat dari manfaat yang diharapkannya; demi sesungguhnya seburuk-buruk penolong dan seburuk-buruk sahabat karib ialah makhluk yang diseru dan disembahnya itu.” (al-Hajj : 12 dan 13).

Perbuatan menyeru makhluk2 tertentu untuk meminta pertolongan adalah merupakan perbuatan syirik yang tidak akan diampunkan oleh Allah. Apabila makhluk2 diseru dan dipuja, seolah2 seperti kita menjemput seorang penjahat datang ke rumah kita. Walaupun jemputan kita itu hanya untuk mengajaknya makan nasik, tapi disebabkan kejahatannya, dia akan mengkhianati perjanjian asal dan menyusahkan kita. Mungkin dia akan merogol ahli keluarga, merompak, membunuh dsb.

Begitulah juga apabila kita menyeru dan menjemput jin2 kafir ini untuk membantu kerja jahat kita, mungkin pada permulaannya kita akan nampak semuanya berjalan lancar, namun lama kelamaan kita akan merasai kesannya dalam kehidupan. Bukan setakat mengganggu kehidupan kita, bahkan kehidupan anak cucu kita juga nanti.

Ada juga yang sekadar mencuba2 dengan tujuan bermain2 atau tak tahu kesan yang bakal menimpa.. contohnya permainan pemujaan spt Ooija Board, permainan spirit (yg guna duit syiling), mengamalkan jampi dan mentera tertentu yg ada unsur2 pemujaan dsb.. Berhati2 dengan apa yang kita nak amalkan atau yg kita nak cuba.. tak semua benda kita boleh buat main2..

11. Rumah Tidak Dihidupkan Dengan Amal Ibadah.

Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.” (HR. Muslim)

Bila rumah dihidupkan dengan amal ibadah, sebarang kejahatan pun tidak sanggup nak menunggu lama2 dalam rumah berkenaan. Namun, jika dihidupkan dengan nyanyian, video2 yang melalaikan, maksiat dsb, maka ia akan menjadi tempat tumpuan jin dan syaitan.

Maka, banyakkanlah beramal di dalam rumah. Jadikan amalan membaca al-Quran sebagai amalan harian. Banyakkan zikir dan doa dan lakukan solat sunat. InsyaAllah rumah kita akan terpelihara daripada gangguan.

Ustaz Love rasa, cukuplah setakat ini. Semoga ada kebaikan daripadanya.. kalau ada salah dan silap, harap dapat dibetulkan.

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

13 Comments

Add a Comment
  1. alhamdulillah..sangat memberi manfaat dan mudah difahami sebab penggunaan bahasanya serta huraian yang padat. rasa-rasanya anak-anak muda lebih tertarik dengan cara yang macam ini ..**pandangan saya

  2. pnjelasan yg menarik siap ade cntoh lg:-) tp bab fitnah jin mmg lucu..hehe…cume bru tau kte kna beri salam jugak if gune tmpt utk mmbuang hajat..ingt juz bersihkn je after gune..

  3. saya suka dgn da’wah yg d smpaikn oleh ustaz. sgt sempoi dan mudah d fahami. d hrapkn apa yg ustaz smpaikan dpt manfaatnye.

  4. Assalamualaikum..mohon izin bertanya, boleh bantu saya dapatkan seseorang yang boleh membantu saya membuang jin yang mempunyai tuan yg menumpang di dalam badan adik saya di kota bharu kelantan.. suzelisuzeli@gmail.com

  5. Kurang produktif dan mengajak kepada kemungkaran semuanya tergolong kepada perbuatan yg mendorong syaitan atau jin jahat berkuasa ke atas seseorang itu sebab orang itu ‘lemah’ dan iman boleh jadi semakin tipis kerana selalu melakukan perbuatan dosa yg boleh menipiskan iman.

    Selain itu, solat fardhu selalu tinggal pun antara faktor penyebab kpd pendekatan makhluk2 jahat dan menggalakkan seseorang itu melakukan perbuatan mungkar. Sesungguhnya solat itu mencegah kita daripada melakukan perbuatan mungkar.
    Ummar Farouk recently posted..Bukan Semua Yahudi Jahat. Ini Buktinya…My Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme