I Love Tamil Movie!!

Set Lego Yang Mesti Dibeli Kalau Ada Masa Tu!!

Teringat Masa Zaman Kegemilangan Dulu!!

Rahsia Silam Rahsia Semalam

Assalamualaikum…

Segala puji bagi Allah s.w.t., Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat Baginda r.anhum.

Dinamakan insan itu insan disebabkan manusia itu seorang pelupa. Tiada yang sempurna melainkan sentiasa melakukan kesilapan. Rasulullah s.a.w. bersabda “Setiap kamu adalah tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, dan sebaik2 orang yang melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat”.

Tiada siapa boleh mendabik dada bahawa mereka itu tidak berdosa. Hanya para nabi dan malaikat sahaja yang maksum (terpelihara daripada dosa). Jika tidak terlibat dengan dosa besar sekalipun pasti tidak akan terlepas daripada dosa kecil. Maha Suci Allah yang telah mengurniakan suatu rahmat yang sangat besar buat semua manusia iaitu taubat. Sebesar mana kesalahan sekalipun akan diampunkan oleh Allah s.w.t. jika bertaubat kecuali dosa mensyirikkanNya.

Suatu perbuatan dosa merupakan keaiban bagi diri mereka yang melakukan perbuatan tersebut. Rasulullah s.a.w. melarang menyebarkan keburukan dan keaiban seseorang apatah lagi menyebarkan keburukan sendiri. Bukan dengan tujuan hendak menunjuk atau berlagak baik, namun implikasi penyebaran keburukan ini sebenarnya sangat besar dalam pembentukan masyarakat yang berakhlak dengan nilai murni.

Atas nama kejujuran, kadangkala kita tersilap dalam membuat pertimbangan sehingga melahirkan keputusan yang bakal membuatkan kita menyesal seumur hidup. Seluruh akal fikiran dan perbuatan kita hendaklah diselaraskan mengikut kehendak agama. Kadangkala apa yang kita sukai tak semestinya itu yang terbaik buat kita. Sebaliknya perkara yang kita benci itu mungkin menjadi ubat yang paling mujarab untuk kesihatan rohani kita.

Kita ini hanyalah penganut dan pengikut. Dan bukannya pereka cipta dalam hal berkaitan agama. Cukuplah sekadar kita sedaya upaya mengikuti segala ajaran Islam, maka kita akan terselamat di dunia dan akhirat. Akal manusia amat terhad untuk berfikir. Majoriti tidak bermakna suatu kebenaran. Islam menolak konsep demokrasi yang mementingkan pendapat setiap ahli dalam sesuatu masyarakat.

Dalam suatu kitab ada menceritakan kisah sebuah kapal yang sedang dalam pelayaran yang terkandas di sebuah pulau. Tiada yang terselamat kecuali seorang. Apabila mendarat di pulau tersebut, dia mendapati terdapat suatu budaya pelik dilakukan oleh penduduk setempat. Keseluruhan penduduk yang hidup di pulau itu tidak mempunyai hidung! Suatu yang pelik.

Menurut mereka, hidung mereka dipotong semenjak lahir untuk tujuan kecantikan. Selama beberapa tahun mendiami pulau tersebut, hampir setiap hari dia dipandang pelik dan jelik oleh penduduk setempat kerana hanya dia seorang mempunyai hidung. Akhirnya, setelah sekian lama menetap, dia mengambil keputusan untuk memotong hidungnya kerana berasakan itulah tindakan terbaik supaya tidak dianggap sebagai manusia yang pelik. Dia telah terlupa akan negara asalnya.

Hingga tiba suatu masa, satu rombongan pedagang telah singgah ke pulau itu untuk mencari bekalan. Dia memutuskan untuk mengikut rombongan tersebut untuk pulang ke negara asalnya. Apabila tiba di negaranya, dia mendapati kehadirannya disambut dengan pandangan pelik. Sama seperti ketika mula2 terdampar di pulau suatu ketika dulu. Ini kerana dia tidak mempunyai hidung. Tidak seperti penduduk di situ yang lengkap sifat dan anggota. Pada ketika itu, dia tidak mampu lagi berbuat apa2 kerana dia sendiri yang telah membuat keputusan memotong hidung kerana terpengaruh dengan keadaan sekeliling di pulau tersebut.

Walaupun kisah ini mungkin suatu kisah rekaan, namun pengajaran yang dapat diambil amat bernilai. Akibat daripada terpengaruh dengan majoriti, kita seakan terlupa hakikat kebenaran. Kesilapan yang telah dilakukan menjadi suatu penyesalan buat seumur hidup.

Kita semua akan kembali kepadaNya. Dalam keadaan baik mahupun buruk, bersedia atau tidak, ia suatu hakikat yang mesti kita terima. Oleh itu, perkara terbaik yang bakal kita bawa ke akhirat hanyalah kepercayaan dan amalan yang bertepatan mengikut syariat. Allah s.w.t. telah menghantar Nabi s.a.w. sebagai petunjuk kebenaran. Sejauh mana kita mengikuti amalan Baginda, maka sebanyak itulah kejayaan yang bakal kita capai.

Berbalik kepada perbincangan kita berkaitan kerahsiaan, tidak dapat tidak kita perlu mengikuti segala apa yang telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. sama ada melalui perbuatan mahupun perkataan Baginda. Terlalu banyak beremosi dan berfantasi berkaitan sesuatu tindakan bakal menjerumuskan kita dalam masalah yang besar. Mungkin kita banyak membaca panduan dan nasihat daripada para kaunselor, namun perlu diperhatikan sejauh mana nasihat tersebut bertepatan dengan ajaran Islam yang sebenar.

Sejarah hitam atau apa jua nama yang kita berikan kepada segala keaiban yang kita lakukan pada masa silam perlu dirahsiakan. Kita boleh berkongsi masalah demi melegakan sedikit perasaan bersalah mahupun tekanan yang dihadapi akibat kesilapan kita pada masa lalu. Namun harus diperhatikan kepada siapa kita mengadu. Sebaik2 tempat mengadu hanyalah pada Allah s.w.t. kerana Dia sahaja yang Maha Mengetahui segala perkara tersurat mahupun tersirat. Dan hanya Allah sahaja dapat menyelesaikan segala masalah kita.

Implikasi akibat tersebarnya amalan keburukan ini amat besar. Antaranya kita mungkin pada suatu hari nanti akan berbangga dengan amalan kejahatan tersebut. Mungkin kita pernah dengar dialog seperti “Alah…aku dulu lagi jahat daripada dia” ataupun “Aku dulu macam2 kejahatan aku pernah lakukan”. Berbangga dengan kejahatan merupakan suatu perkara yang dikutuk dalam Islam. Jika perkara tersebut disebarkan oleh seorang ketua kampung, mungkin suatu hari nanti anak2 kariahnya akan terdorong untuk melakukan perkara yang sama. Jika diceritakan oleh ayah kepada anak, mungkin suatu hari nanti anak itu akan mengikut jejak langkah ayahnya dengan beranggapan bahawa ianya suatu percubaan masa muda. Alangkan ayahnya sempat bertaubat. Sedangkan kita tidak mengetahui saat bila kematian bakal menjemput.

Selain itu, ia bakal menimbulkan tanggapan buruk masyarakat terhadap seseorang yang telah bertaubat. Si isteri akan hilang sebahagian kepercayaan terhadap suaminya, menyebabkan tingkah laku isteri akan berubah dan mendorongnya untuk kurang menghormati suaminya. Tidak semua orang boleh menerima kesilapan masa lalu walaupun hakikatnya dia telah bertaubat. Paling tidak gurisan itu pasti melekat dalam hati. Jika terjadi sesuatu perkara seperti salah faham, habis segala kisah lalu akan diungkit. Akhirnya tamatlah sudah keharmonian dalam masyarakat.

Seorang pencuri yang telah bertaubat, pasti akan dianggap sebagai pencuri buat selama2nya. Jika berlaku kecurian di kawasan kejiranan, pastilah dia orang yang pertama yang akan dituduh dan disoal siasat. Sanggupkah kita menghadapi segala perkara seperti ini? Pepatah Melayu “bagai anjing buruk kepala” cukup untuk menggambarkan situasi masyarakat Melayu yang sukar menerima perubahan. Terutama daripada seorang yang jahat menjadi baik. Paling tidak akan dituduh berpura2 baik dsb.

Seorang suami yang mengetahui rahsia silam isterinya yang pernah berzina dengan kekasih lama sebelum berkahwin dengannya mungkin akan tercabar keegoaannya lalu bertindak membuat hubungan sulit dengan wanita lain demi memenuhi perasaan dendamnya terhadap isterinya. Lihatlah! Dimanakah kebaikannya berterus-terang akan kesilapan yang lalu?

Di dalam sebuah hadis yang agak masyhur, diceritakan kisah seorang yang telah membunuh 99 orang. Hinggalah datang petunjuk Ilahi kepadanya, dia ingin bertaubat. Ditemuinya seorang pendeta untuk bertaubat. Namun pendeta itu berkata tiada ruang untuknya bertaubat kerana kesalahannya terlalu besar. Pendeta ini mewakili pendirian masyarakat secara umumnya. Akibat daripada itu, dia telah membunuh pendeta tersebut lalu berjumpa seorang alim.

Orang alim itu berkata bahawa rahmat dan keampunan Allah itu lagi besar daripada segala dosanya. Beliau mencadangkannya supaya meninggalkan tempat tinggalnya dan berpindah ke suatu tempat asing yang tiada orang mengenalinya. Ini bagi memudahkan segala urusannya untuk bertaubat dan berubah menjadi seorang manusia yang berguna. Dia bersetuju dengan cadangan tersebut.

Di pertengahan jalan, dia telah menemui ajal. Malaikat rahmat dan malaikat azab saling berebut untuk mengambil jasad tersebut dengan dakwaan kepunyaan masing2. Malaikat azab menganggap dosanya masih belum diampunkan sedangkan malaikat rahmat menganggap dia telah berazam untuk bertaubat. Selayaknya dia mendapat keampunan.

Maka Allah s.w.t. memerintahkan supaya diukur jarak mayatnya dari tempat kematiannya ke tempat yang hendak dituju dan tempat tinggal asalnya. Jika hampir dengan tempat tinggal asalnya, maka ruhnya kepunyaan malaikat azab. Sebaliknya jika lebih hampir jaraknya dengan tempat yang dituju, maka ia kepunyaan malaikat rahmat. Dipendekkan cerita, jaraknya dengan tempat yang hendak dituju lebih dekat. Maka dia telah mendapat rahmat dan keampunan Allah s.w.t.

Daripada kisah ini, kita dapat mengambil beberapa pengajaran. Antaranya kita dapat memahami bahawa niat yang baik akan mendapat ganjaran walaupun belum lagi melakukan amalan kebaikan tersebut. Jika melakukan kebaikan, maka kita akan mendapat ganjaran berganda, ganjaran niat dan amalan kebaikan. Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud “Sesungguhnya amalan kebaikan akan menghapuskan segala amalan kejahatan”. Ini merupakan suatu kaedah untuk menebus segala dosa silam kita. Lakukan amalan kebaikan dan kebajikan dengan ikhlas sebanyak mungkin. InsyaAllah, Allah akan memberikan kita ketenangan dalam hati.

Selain itu, meluahkan masalah kepada orang yang tepat akan dapat menghasilkan keputusan yang tepat. Dalam kisah tadi, kita mendapati bahawa dia tidak bertemu dengan orang yang sepatutnya dapat membantu menyelesaikan masalahnya. Akibatnya dia telah terjebak dalam satu lagi kesalahan. Jika kita aplikasikan dalam kehidupan kita, kesilapan menceritakan kesilapan lalu kepada rakan2, pasangan, ipar duai dsb mungkin membuatkan kita terpaksa menanggung masalah baru. Hati manusia tidak boleh dijangka.

Kadang2 kita terfikir, kenapa suatu nasihat yang sama tapi diberikan oleh orang yang berlainan akan memberikan kesan yang berbeza. Umpamanya jika kita meminta nasihat daripada ulamak berkaitan masalah rumahtangga, baik isteri mahupun suami akan mudah menerima nasihat dan cadangannya. Sebaliknya jika nasihat yang sama diberikan oleh suami kepada isteri dan sebaliknya, mungkin semakin memburukkan keadaan. Semua ini ada kaitannya dengan hati.

Jika kita membuka hati kita untuk menerima pandangan dan nasihat, maka kita akan mendapat manfaat daripada nasihat tersebut. Apabila kita berjumpa dengan kaunselor dan ulamak, kita telah membuka minda dan hati kita untuk menerima segala nasihat yang diberikan. Kadangkala, pemberi nasihat juga gagal memberikan nasihat yang berkesan disebabkan keikhlasan di hati tiada. Nasihat yang diberikan lebih berbentuk sindiran dan kutukan menyebabkan hati orang yang meminta nasihat tersebut semakin hancur. Ini merupakan soal hati. Hanya hati sahaja yang akan berbicara dengan hati.

Selain itu, antara kaedah untuk bertaubat dan memulakan kehidupan baru yang lebih baik adalah dengan berhijrah meninggalkan komuniti tempat dia biasa melakukan maksiat ke tempat baru yang tiada orang mengenalinya. Dengan cara ini, rahsia silamnya akan tersimpan. Masyarakat sekeliling yang baik pasti akan memudahkannya untuk melakukan kebaikan. Jika di tempatnya dahulu, hendak pergi ke masjid pun akan disindir jiran dan rakan, maka bagaimanakah hati akan menahan segala dugaan tersebut? Akibatnya kita akan tetap meneruskan kegiatan lama dengan anggapan tiada ruang untuk kita bertaubat.

Ditakdirkan kita dapat menjalani kehidupan yang baik di tempat baru. Tapi, bagaimana jika suatu hari nanti rahsia kita terbongkar? Mungkin dibongkarkan oleh orang yang mengenali kita? ‘Suatu hari’ yang kita takuti itu belum lagi berlaku. Jangan bertindak melulu dengan sesuatu perkara yang belum pasti akan berlaku. Kita perlu serahkan segalanya pada Allah s.w.t. Hanya Allah sahaja yang boleh membantu kita.

Jika ditakdirkan suatu hari nanti rahsia silam kita terbongkar, maka terimalah dengan hati yang tabah. Pada ketika itu, jangan disalahkan takdir. Mungkin ada kebaikan tersembunyi di sebaliknya. Kita hanya menjalankan tugas mengikut syariat (menyembunyikan keburukan lalu). Soal kesan dan natijah serahkan sahaja pada Allah. Jika suatu hari nanti kita dipersoalkan oleh isteri atas rahsia lampau kita yang dirahsiakan daripadanya, fahamkan isteri bahawa itu merupakan suatu amanah dalam agama. Jika ditakdirkan terpisah, maka terimalah dengan redha. Yang penting kita meletakkan kehendak agama di hadapan melebihi kehendak isteri dan sesiapa sahaja.

Islam menggalakkan supaya menyebarkan segala kebaikan. Supaya dengan tersebarnya kebaikan, manusia akan terdorong untuk melakukannya. Umat Islam di akhir zaman ini kebanyakannya beriman dengan suasana. Jika mereka berada dalam suasana kebaikan, maka akan menggerakkan hati dan anggota mereka untuk melakukan kebaikan.

Perkara ini boleh kita lihat di sekeliling kita. Jika aktiviti keagamaan aktif di sesuatu kawasan, maka penduduk di situ tidak segan silu untuk datang ke masjid bagi mengikuti segala aktiviti yang dijalankan. Sebaliknya jika masjid itu hanya ada solat berjemaah waktu maghrib dan isyak sahaja, maka kita akan mendapati bahawa solat zuhur dan asar tiada orang yang mahu bersolat di masjid walaupun terdapat ramai lagi orang yang mungkin tidak bekerja mahupun bercuti. Ada antara mereka memberi alasan tak nak orang kata alim dan warak.

Apabila keburukan disebarkan, maka kita mendapati bahawa ia akan menjadi suatu fenomena. Jika hari ini disiarkan berita pembuangan bayi, maka pasti akan dituruti pada hari2 yang lain. Ini kerana hati manusia ini seumpama tanah lapang. Jika dibiarkan tanpa diusahakan, maka akan tumbuhlah lalang, belukar dan seterusnya hutan rimba. Akhirnya akan dipenuhi dengan binatang liar dan berbisa. Ini kerana suasana persekitaran akan mempengaruhi hati manusia.

Kebaikan yang paling mudah disebarkan adalah memberi salam kepada orang yang dikenali mahupun tidak dikenali. Dengan menyebarkan salam, maka kita telah menyebarkan doa kebaikan kepada umat Islam. Tidak perlu dialog panjang berjela, cukuplah dengan lafaz yang ringkas. Ini akan menggalakkan kebaikan dan mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam.

Allah Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati kita. Serahkan segala urusan kita pada Allah s.w.t. Allah akan menyelesaikan segala masalah kita. Kita hanya bertanggungjawab untuk melakukan tugasan yang diamanahkan. Berdoa dan memohon ampun serta kebaikan daripada Allah semoga hidup kita akan sentiasa diliputi dengan rahmat dan berkat. Diampunkan segala dosa dan dimasukkan di kalangan orang2 yang beriman dan beramal soleh.

Wallahua’lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

20 Comments

Add a Comment
    1. cerita org potong hidung tu sebagai perumpamaan org yg dah terlupa negeri asalnya (iaitu akhirat).. jadi, dia melakukan apa yang biasa orang lain lakukan walaupun ia salah.. akhirnya, bila dah kembali ke negeri asal, baru nak menyesal.. masa tu penyesalan dah tiada gunanya 😉

  1. Assalam ustaz..syukron ustaz suruh baca entry ni..lebih menjelaskn lag..

    first time ana baca entry ustaz x de perkataan2 lawak..hikhikhik..serius ajer..tp tetap mantop.. 😀

    yang kesah pembunuh 99 orng tu memng femes,smpi rasanya ana dah hafal jln ceta nya..hikhik

    na’am..Allah dah smbunyik aib kita,lbih baik kita jgn senng hati nak mmbukknya plak..utk kemudian,berserah pada Allah..

    syukron wajazakallahu khairan khatira..

    1. Salam nur..

      awal2 blogging dulu, memang penulisan Ustaz Love agak poyo sket.. konon2 nak tulis macam artikel kat majalah la.. kihkih 😀

  2. Saya ingin meminta pandangan ustaz mengenai hal ini, sy seorang pelajar dan tertarik ingin mengambil peluang dalam satu pelaburan matawang. Sy telah meminjam wang dari kawan sy untuk membeli matawang tersebut kerana agak kurang bkemampuan pada ketika itu.. Tetapi selepas membaca dari blog Ustaz Zaharrudin (sy paste di sini)

    “Jika dilihat menurut ‘Maqasid Shariah’ atau objektif Shariah pula. ADALAH TIDAK HARUS untuk seseorang yang kurang berkemampuan untuk membeli set dinar tadi walaupun harganya RM 720 sahaja. Ini kerana dibimbangi ada umat Islam yang terlampau yakin maka, sanggup bergolok gadai dan membahayakan diri bagi membeli Dinar ini sehingga hilang kemampuannya untuk menyara saraan wajib terhadap anak, isteri dan keluarga. Dalam hal ini, hukum ‘gharar’ (ketidaktentuan) sudah menjadi amat besar dan hukum judi telah jatuh kepada si pembeli. Ini bermakna , hukum ‘judi’ dalam ‘spekulasi’ Forex jenis ini bergantung juga kepada kemampuan individu. Bagi sesetengah individu yang berada, membeli RM 720 adalah tidak memberikan apa-apa mudarat kepada tanggungan wajibnya. Maka tika, itu, elemen ‘gharar’ akan berkurangan tidak sampai tahap haram. Berbanding seorang yang kurang berkemampuan yang menggadaikan kewajibannya, dengan harapan dinar itu akan naik pada satu masa yang tidak diketahui. Ia sudah jatuh dalam tahap judi. wallahu a’lam.”

    Selepas membacanya sy berasa takut adakah sy telah jatuh dalam perjudian atau ghahar?? Sedangkan sy tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap diri sy atau keluarga sy dan tidak memudaratkan dengan membeli matawang tersebut? Sy telah menceritakan hal ini kepada kawan yg memberi bantuan kewangan tersebut dan telah menghalalkan wang tersebut untuk sy gunakan dan dia tidak akan memintanya lagi.. dan sy sudah tidak berhutang lg dengan dia wang tersebut telah mnjadi hak sy..

    1) Dari pandangan ustaz adakah sy telah terlibat?

    1. Ini saudara yang bertanya di e-mail tu kan? insyaAllah, Ustaz Love akan cuba jawab secepat mungkin 😉

  3. ustaz betulkah setiap kesalahan lampau kita tidak kira dosa besar ke kecil ke sengja atau tidak sengaja,sembunyi atau terng terangan ,apabila kita sudah bertaubat kita mesti menutupnya rapat2?dan lupakan masa lalu itu?

  4. Salam Uztaz,

    Saya amat perlukan pertolongan dari Uztaz atau sesiapa yang boleh memberikan nasihat. Dengan ringkasnya, saya sering merasa sedih bahkan setiap hari akan merasa tidak tenang dari sebelum berkahwin sehingga sekarang sudahpun masuk 20 tahun berumahtangga.

    Masalahnya kerana suami saya telah melakukan perhubungan badan dengan seorang wanita beberapa kali sebelum kami bertunang. Semasa itu, saya memaafkannya dan berpendapat yang saya boleh melupakan dan bahgia selepas berkahwin tetapi sangkaan saya tidak menjadi kenyataan. Setiap hari saya akan terbayang kisah itu dan ia menganggu fikiran dan keintiman saya. Sudah terlalu lama dan terlalu penat saya menanggung derita ini walaupun sudah lama dan mempunyai 3 anak. Bermacam cara sudah saya usahakan untuk merasa tenang seperti berdoa, bertaubat nasuha, berzikir dll tetapi saya masih tetap kecewa.

    Tolonglah saya uztaz. Terimakasih

    1. Itu tandanya puan belum dapat menerima bahawa kesilapan lampaunya itu telah jadi sejarah. Sejarah ni memang kita tak mampu nak ubah. Puan banyakkan istighfar dan mengadu pada Allah supaya ditenangkan hati untuk menerima kenyataan ini. Puan tiada kaitan pun dengan sejarah silam suami, kerana perkara itu berlaku sebelum puan berkahwin dengannya. Jadi, jangan dilayankan sangat emosi tersebut dan bersyukurlah kerana dikurniakan seorang suami yang baik, dan dipanjangkan jodoh sehingga usia perkahwinan mencecah 20 tahun, sedangkan masih ramai lagi wanita yang menjadi tua tanpa ada teman.

      1. Terimakasih atas respon Uztaz. Sudah lama saya mencari seseorang untuk meluahkan kekecewaan saya tetapi baru sekarang terjumpa blog UztazLove ini. Memang betul perkara itu terjadi sebelum kami berkahwin tetapi ketika itu kami sudah pun ada rancangan untuk masa depan dan keluarga kedua pihak sudah pun memberi restu. Bila saya tanya sebab dia melakukannya, dia kata dia tidak ada jawapannya dan wanita itu pun memang suka membuat perbuatan itu juga.

        Tolong beri lagi nasihat dan saya ucapkan berbanyak terimakasih yang tak terhingga untuk Uztaz. Semoga keluarga Uztaz dimurahkan rezeki dan selamat dunia dan akhirat. Selepas ini saya berharap tidak akan bertanya lagi. InsyaAllah. Assalamualaikum.

  5. Assalammualaikum ustaz..apa hukumnya jika kita telah berzina bersama lelaki tersebut tetapi lelaki itu mahu lari dan tidak mahu bertanggungjawab. lalu kita menceritakan kisah kita kpada adik beradiknya dengan hrapan dpt menarik adiknya itu. Adakah ini dikatakan membuka keaibaan diri dan memburukkan drinya? sy dtuduh menganiayainya.sedangkan pada hakikatnya saya juga dimarahi.mhon pencerahan

    1. Memang itulah yang dikatakan membuka keaiban diri, bukan setakat keaiban dirinya, bahkan keaiban diri saudari sendiri. Sepatutnya saudari simpan aib itu daripada pengetahuan orang lain, sebab dalam bab zina, bukan salah satu pihak saja, tetapi salah kedua2 pihak. Tidak akan berlaku zina tanpa kerelaan kedua belah pihak. Sebab tu dalam hukum hudud, hukuman zina dikenakan kepada kedua2 pihak lelaki mahupun perempuan.

      Sebaiknya saudari bertaubat daripada dosa zina, kerana zina itu termasuk dalam dosa besar yang takkan diampunkan oleh Allah melainkan dengan bertaubat. Lepaskan saja lelaki itu, kerana beliau bukanlah lelaki yang baik untuk membimbing saudari. Berusahalah menjadi seorang wanita yang baik, insyaAllah akan diberikan jodoh yang baik oleh Allah.

  6. Salam.. Saya xmlakukan zina tpi hmpir mlakukan..saya dan pasangan cuma buat benda ringan2 ..dia dah janji xkan tgglkan saya..mcm2 dia janji..tpi suatu hri tu lelaki tu insaf dan ajak saya bertaubat..saya terima sbb saya pun sedar apa yg kami lakukan ni berdosa..tpi saya takut klu dia tgglkan saya..saya sgt sygkan dia ustaz..dia dh janji mcm2 dgn saya..dan saya juga takut klu dia tgglkan saya..dia dh tau mcm2 psl saya bila kami buat ringan2..saya rasa malu dan xnk dia tgglkan saya..apa yg patut saya buat.. ;-(

    1. Saudari patut bertaubat dengan bersungguh2 dan memutuskan perhubungan dengan lelaki itu, sebelum terjadi perkara yang lebih berat seperti zina. Jika sampai masanya untuk bernikah, maka bernikahlah. Jangan buang masa dengan bercinta dan memenuhi hawa nafsu dengan maksiat dan dosa. Itu yang sepatutnya saudari takutkan, berbanding takut ditinggalkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge

Ustaz Love Menulis... © 2010 Frontier Theme